suria

Graduan gigi rongak gamatkan majlis konvo... Rupanya di sebalik senyuman ada kisah ngeri, 3 hari terlantar di hospital

Dewan konvokesyen bertukar gamat gara-gara aksi graduan ini.

BARU-BARU tular rakaman sidang konvokesyen sebuah institusi pengajian tinggi bertukar gamat dengan hilai tawa susulan aksi lucu seorang graduan yang disiarkan di skrin besar di dalam dewan.

Menerusi rakaman itu, seorang graduan lelaki menunjukkan simbol tangan isyarat 'peace' sambil tersenyum hingga kelihatan giginya yang rongak.

Keadaan itu menyebabkan dewan kecoh seketika sehingga Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Zulfikri Osman yang sedang berucap di atas pentas turut berpaling untuk melihat rakaman di skrin.

"Saya terkejut juga. Saya baca ni macam tak ada yang kelakar, tapi satu dewan ketawa. Tapi tak apalah, hari ini memang hari untuk kita bergembira," katanya yang disahut dengan tepukan dan sorakan gemuruh hadirin.

Berkongsi cerita kepada mStar, pemuda berkenaan, Muhammad Hazim Roslan berkata, insiden itu berlaku ketika Majlis Konvokesyen Perdana Institut Pendidikan Mara (IPMA) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.

Datuk Zulfikri memberi respons susulan aksi Ayim terpapar di skrin. sumber FB IKM KL

Graduan daripada Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru itu memberitahu, dia pada awalnya mahu menunjukkan paparan 'ayat bergerak' menerusi telefon bimbit yang menjadi trend semasa anak-anak muda.

"Saja nak ikut trend yang graduan tunjuk telefon setiap kali konvo dalam dewan tu. Tapi masa visual di skrin sudah terpampang muka saya... tak sempat buka telefon dan saya hanya mampu senyum.

"Terlupa pula dua batang gigi depan tak ada, walaupun sebelum masuk dewan, kawan dah ingatkan jangan senyum nampak gigi. Itu yang saya cepat-cepat tunduk apabila satu dewan ketawa," ujarnya kepada mStar.

riuh dewan konvo 8

Ayim (empat, kanan) bersama rakan-rakan pada majlis konvokesyen.

Lebih mesra disapa Ayim, pemuda berusia 23 tahun itu mengakui dia malu kerana giginya yang rongak, namun menerima hakikat kejadian yang berlaku adalah di luar kawalannya.

Malah, graduan Diploma Kompetensi Kimpalan itu menjelaskan sebenarnya dia kehilangan dua batang gigi selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, kira-kira tiga minggu lalu.

Alhamdulillah, Allah panjangkan umur dan beri peluang kedua.

MUHAMMAD HAZIM ROSLAN

"Sebelum majlis konvo, saya berdepan dengan satu ujian. Saya terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal dekat Johor Bahru.

"Saya dimasukkan ke hospital selama tiga hari. Dua batang gigi saya patah, hidung senget dan sedikit kesan lebam di bahagian mata selain beberapa kecederaan lain di tangan dan kaki," ujarnya yang berasal dari Johor Bahru.

riuh dewan konvo 6 W

Ayim terlibat dalam kemalangan jalan raya, kira-kira tiga minggu sebelum majlis konvokesyen.

Susulan kejadian itu, anak ketiga daripada enam beradik itu pada awalnya dirinya tidak bercadang untuk menghadiri ke majlis konvokesyen kerana kurang berkeyakinan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan Azlan Typewriter, majlis konvo jadi konsert! Graduan pemalu gamatkan dewan, tak percaya dirinya mampu buat 'show' sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan bikin keliru, majlis konvo disangka ada isu teknikal! Pergi kuliah pakai kemeja, naik pentas cantik berbaju kurung

"Apabila video saya di dewan konvo tular, ramai yang tanya tip macam mana saya boleh begitu yakin senyum dengan gigi tak ada. Tapi sebenarnya saya sendiri tak yakin nak datang konvo.

"Penampilan wajah saya berubah. Tapi syukur ada ibu dan ayah yang kuatkan semangat saya untuk hadir, sekali gus menambah keyakinan di hari konvo," ujarnya lagi.

riuh dewan konvo 4 W

Ibu bapa merupakan penguat semangat Ayim.

Ayim yang kini bekerja sebagai jurukimpal berkata, dia bersyukur kerana selamat dalam nahas itu dan menganggap apa yang berlaku sebagai ketentuhan Ilahi.

"Keadaan saya agak teruk ketika kemalangan, malah pengsan sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans. Alhamdulillah, Allah panjangkan umur dan beri peluang kedua," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain