suria

Jejaka 'wheelchair' dihalang main gim, pengurus risau bisnes lingkup jika kemalangan... “Dia cakap  OKU tak sesuai guna alatan di situ”

Afiq dimaklumkan keahliannya di gim berkenaan bakal ditamatkan.

SEBUAH video menunjukkan seorang wanita yang didakwa pengurus sebuah gim menghalang orang kelainan upaya (OKU) menggunakan fasiliti di pusat kecergasan itu mengundang kemarahan ramai.

Rata-rata melahirkan rasa kecewa kerana hak golongan OKU untuk mengamalkan gaya hidup sihat dinafikan hanya kerana kekurangan yang ada pada mereka.

Tampil menjelaskan tentang isu berkenaan, Muhammad Afiq Azman, 29, berkata perkara itu berlaku kepadanya dan seorang lagi rakan OKU ketika mereka berada di sebuah gim terletak berhampiran kediamannya di Taman Mutiara Simpang Empat, Pulau Pinang.

“Saya pergi gim ni sebab syarikat yang sponsor. Tunjuk saja ID (identification card) terus boleh guna equipment macam orang lain.

“Masa baru habis workout tu ada seorang wanita datang dekat saya dan salah seorang kawan OKU. Dia tanya kenapa kami ada dekat situ? Saya beritahu yang saya bersenam.

“Lepas tu dia cakap yang kami tak boleh bersenam dekat situ. Nanti bahayakan keadaan diri dan ahli gim yang lain,” ujar Afiq ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekumpulan pemuda tenang bersenam di gim kampung... dumbbell buat sendiri guna simen, tiada yuran tapi tetap boleh sado!

ARTIKEL BERKAITAN: Kos mahal sangat, lelaki ini buat sendiri gim, alat bersenam guna barang terpakai... sengaja tak letak bumbung sebab ada ‘sejarah hitam’

Menurutnya yang masih bujang, ini merupakan pengalaman pertama dia berdepan situasi sedemikian setelah kira-kira empat bulan menggunakan fasiliti gim tersebut.

Malah, Afiq yang menghidapi multiple sclerosis atau penyakit auto imunisasi sehingga mengakibatkan dia lumpuh sejak 2022 berasa kecewa apabila cubaannya untuk mempertahankan diri ditolak mentah-mentah.

“Sebelum ni saya tak pernah jumpa dia pun. Biasanya dengan staf dia. Semua okey tak pernah ada masalah pun saya workout di sana. Dia siap salahkan stafnya kenapa benarkan kami bersenam dekat situ.

Lelaki ini mula bersenam di gim tersebut sekitar empat bulan lalu.

“Katanya sebab saya bersenam menggunakan wheelchair, risau kalau terjadi apa-apa yang buruk, mereka kena tanggung. Nanti saya akan jatuhkan bisnes dia. Dia ada juga cakap OKU tak sesuai guna alatan di situ.

“Ada beritahu juga yang saya bukan main hardcore, nak bina muscle strength saja. Saya tahu kemampuan sendiri. Tapi manager tu tetap nak pertahankan juga bahawa bahaya jika saya teruskan,” kata Afiq yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat di Pulau Pinang sejak setahun lalu.

Selain itu pemuda berkenaan berharap syarikatnya dapat mengeluarkan surat hitam putih bagi meminta kebenaran daripada pengendali gim berkenaan untuk membenarkan dia terus menggunakan kemudahan di situ.

Kalau ada sebarang kecederaan, saya tanggung sendiri dan bukannya syarikat atau gim tu.

AFIQ

Katanya lagi, senaman yang dilakukan bukanlah satu aktiviti bahaya malah dia juga turut mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan di gim sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya datang gim dekat di sini sebab kedudukannya di tingkat bawah tak seperti tempat lain. Lagipun lokasinya dekat, sekitar 200 meter saja dari rumah saya.

“Masa dia tegur kami, saya ada minta dia keluarkan kenyataan mengenai regulations dan policy bagi jelaskan kenapa golongan OKU tak boleh bersenam di gim.

Afiq bekerja di sebuah syarikat di Pulau Pinang.

“Malah kalau ada sebarang kecederaan, saya tanggung sendiri dan bukannya syarikat atau gim tu. Saya pun cuma buat bahagian atas saja iaitu chest press, bahu, bicep dan tricep,” ujarnya.

Namun dakwa Afiq, apa yang lebih mengecewakan ialah wanita tersebut memberitahu bahawa pihaknya akan menamatkan keahlian OKU di gim berkenaan.

“Saya tak tahu kontrak gim sampai bila sebab syarikat yang bayarkan. Tapi manager tu ada bagitahu yang dia akan beritahu HR untuk terminate.

“Bagi saya apa yang berlaku sangat mengecewakan. Sudah 2023 tapi masih ada lagi orang dengan mindset macam ni terhadap OKU. Lepas cakap dengan dia tu saya balik rumah, lagipun dah habis workout.

“Apabila kena diskriminasi macam ni jadi buntulah... lepas ni nak pergi gim mana pula. Kalau ada gim lain di tingkat bawah pun semua jauh dari rumah. Buat masa sekarang saya workout dekat rumah saja," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain