suria

Isteri jenis ‘tahi hidung masin’, beli KFC makan dalam bilik! Sudahnya saudara datang tegur, terkait punca lambat dapat anak

Selepas konsisten amalkan tiga nasihat yang diberikan, pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata.

UNGKAPAN ada mengatakan, tak akan miskin hidup seseorang dengan bersedekah.

Sebaliknya, rezeki akan berlipat ganda dan semakin lancar jika bersedekah dengan ikhlas lebih-lebih lagi jika membantu golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, ada juga segelintir individu yang tidak gemar melazimi sedekah malah terlalu berkira biarpun dengan ahli keluarga atau saudara mara sendiri.

Kisah yang dikongsikan oleh seorang guru, Mohd Fadli Salleh di laman Facebook baru-baru ini cukup memberi pengajaran mendalam untuk sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki diri sendiri.

"Seorang kawan bercerita, tentang bagaimana hidupnya yang selalu sangat sulit akhirnya dipermudahkan. Dia kahwin lama. Tapi tak dapat anak. Macam-macam ikhtiar, tapi susah sangat nak lekat. Pergi check doktor, dua-dua sihat dan subur.

"Kemudian isterinya dapat kerja. Tapi malang lagi sekali, tempat kerja jauh beratus batu. Perhubungan jarak jauh (PJJ) la pula hubungan mereka.

"Isi borang tukar, bertahun-tahun tak dapat. Entah mana silap, orang lain cepat je lulus, sampai turn wife dia entah kenapa susah benar.

sedekah 1

Pasangan berkenaan mula rajin bersedekah selepas menyedari kekhilafan masing-masing. Gambar hiasan

"Kemudian katanya hidupnya macam selalu disukarkan. Kena penyakit susah nak sembuh, padahal penyakit biasa. Urusan apa-apa selalu jadi sulit," kongsi Mohd Fadli mengenai kisah rakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejar saham akhirat, wanita ini sedekah buah ciku dengan jiran tak kira bangsa... ada yang mahu beli, tetap kasi percuma

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan ini berniaga sambil sedekah! Buka carwash tapi cuci van jenazah, kereta polis percuma... murah rezeki kini ada 14 buah lori

Dipendekkan cerita, pertemuan rakannya itu dengan seorang saudara menjadi titik mula untuk dia berfikir dan mula bermuhasabah selepas diberikan teguran.

"Teguran lembut tapi sentap teruk juga katanya dia. Saudara dia ni dah perhati lama kehidupan mereka suami isteri ni. Dia perasan isterinya jenis kedekut yang amat termasuk pada keluarga sendiri.

"Pulang rumah mentua tak pernah bawa buah tangan. Kadang beli makanan, beli KFC, buah-buahan, coklat ke apa, bawa masuk dalam bilik makan seorang diri.

"Nak belanja adik-beradik, ipar duai, lagilah payah. Dah kerja dapat gaji pertama, usah kat nak hulur duit sedikit buat keluarga rasa gaji dia, sate secucuk pun tak ada bawa pulang.

Mereka suami isteri buat tabung Sedekah Subuh... setiap Jumaat duit tu akan dimasukkan dalam tabung masjid.

MOHD FADLI SALLEH

"Saudara dia pesan tiga perkara. Jangan kedekut. Banyakkan bersedekah. Bela kucing," Mohd Fadli berkongsi semula sebagaimana yang diceritakan rakannya itu.

Teguran dan nasihat yang diberikan itu, kemudian diceritakan kembali oleh rakan tersebut kepada isterinya.

Walaupun pada mulanya agak sukar menerima hakikat, namun si isteri akhirnya akur untuk cuba mengikuti tiga nasihat yang diberikan.

"Mereka suami isteri buat tabung Sedekah Subuh. Setiap hari Jumaat, duit tu mereka akan masukkan dalam tabung masjid.

"Dekat rumah pula, mula belanja ahli keluarga, pulang rumah mentua bawa buah tangan, beli barang dapur.

"Cuma mereka tak bela kucing sahaja. Sebab katanya isteri dia alergik bulu kucing. Ada asma. Namun mereka beli makanan kucing dan selalu bagi kucing liar makan," ceritanya lagi.

Selepas beberapa bulan konsisten dengan amalan-amalan tersebut, alangkah terkejutnya pasangan berkenaan apabila si isteri akhirnya disahkan berbadan dua.

sedekah 3

Amalan memberi makan kepada haiwan seperti kucing juga menjadi antara petua untuk dimurahkan rezeki. Gambar hiasan

Tidak terhenti di situ, beberapa bulan selepas bersalin anak sulung, permohonan si isteri untuk bertukar tempat kerja diluluskan.

"Katanya sepanjang mereka istiqamah buat tiga perkara ini, banyak betul urusan mereka dipermudahkan.

"Kawan-kawan... sedekah ni banyak sungguh keajaibannya. Layanan baik pada ahli keluarga pula tuntutan agama.

"Berbuat baik pada binatang itu pun antara punca urusan kita dipermudahkan.

"Yang mana selalu susah dalam urusan, masih belum ada rezeki anak, banyak masalah hidup, cubalah tiga tip mudah ini. Moga-moga apa yang dihajati dimakbulkan Tuhan. Amin," kongsinya lagi.

Sehingga kini perkongsian Mohd Fadli meraih 2,200 shares di Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain