suria

Pasangan ini berniaga sambil sedekah! Buka carwash tapi cuci van jenazah, kereta polis percuma... murah rezeki kini ada 14 buah lori

Yusuf dan isteri tawar khidmat cucian percuma untuk van jenazah dan kereta polis.

BERNIAGA sambil bersedekah.

Begitulah konsep yang diamalkan pengusaha carwash, Yusuf Abd Latif, 37, dan isterinya Salina Yatiman, 36, apabila mereka menawarkan khidmat cucian percuma untuk van jenazah dan kereta polis di sekitar Segamat, Johor.

Senang disapa Yusuf, dia berkata idea untuk memulakan usaha murni itu tercetus secara spontan yang mana ia dianggap sebagai salah satu cara untuk berbakti kepada masyarakat setempat.

yusuf

Yusuf turut menggunakan lorinya untuk membantu masyarakat setempat yang berada dalam kesusahan.

"Idea ini sebenarnya dah lama. Tapi sebelum ni kita tak kongsi di media sosial. Risau kalau orang fikir nak menunjuk. Kebetulan baru-baru ini masa cuci van jenazah, isteri ambil gambar. Jadi kami kongsi di Facebook.

"Tapi biasanya memang saya tak ambil duit kalau van jenazah datang nak cuci. Lagi-lagi kalau musim hujan, van jenazah kotor selepas masuk ke tanah perkuburan. Bila keluar, habis terpercik lumpur pada van jenazah.

"Jadi kalau mereka datang nak sembur, saya bagi percuma saja. Selain van jenazah, saya juga tak ambil duit kalau kereta polis yang ronda tu datang nak cuci. Sebab mereka pun meronda, jaga ketenteraman di sini. Ibaratnya dia jaga kita, kita jaga dia," ujarnya kepada mStar.

yusuf2

Empat cahaya mata hasil perkongsian hidup pasangan itu.

Menurut Yusuf yang turut mengusahakan khidmat pengangkutan, dia percaya akan ketetapan rezeki Allah dan berharap dirinya terus diberi kemampuan untuk membantu orang sekeliling.

Jelasnya lagi, dia bersyukur banyak urusan hariannya dipermudahkan sehingga ke hari ini, sekali gus meniup semangat untuknya meneruskan khidmat bakti pada masa akan datang.

"Saya juga ada buat khidmat pengangkutan menggunakan lori. Saya pandu lori dan ada pekerja juga. Sebelum ini saya juga pernah gunakan lori untuk angkut barangan mangsa banjir.

yusuf8

Jika berkelapangan, Yusuf juga akan membantu untuk mencuci kenderaan di carwash itu.

"Selain itu, kalau terjumpa motor rosak tepi jalan, saya juga memang akan bantu mereka. Saya dah terasa benda ni, Allah bayar cash. Bila kita tolong tanpa mengharapkan wang, banyak urusan dipermudahkan.

"Anak-anak saya empat orang tiada penyakit, Alhamdulillah. Anak sihat pun satu rezeki. Banyak sangat urusan kami sekeluarga dipermudahan," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Master Lim paling sibuk setiap kali Tahun Baharu Cina, kepala singa buatan tangan laris sampai Perancis, Amerika

Dalam pada itu, Yusuf berkata dia juga menerima sambutan menggalakkan sejak mengusahakan carwash itu pada tahun 2012 dan berharap ia akan terus maju pada masa akan datang.

"Alhamdulillah, sambutan okay di sini. Kita pula terletak di pekan. Belakang ni estet. Jadi bila kereta-kereta dan motor dari estet nak keluar ke bandar, mereka datang cuci dulu kesan tanah merah yang melekat.

"Rezeki berniaga di sini, dekat dengan kawasan estet. Kalau ada motor datang nak sembur tu, kami tak ambil duit pun," ujarnya lagi.

yusuf6

Sebahagian lori miliknya.

Menurut Yusuf, dia menyerahkan perniagaan itu kepada isterinya memandangkan dirinya lebih banyak menghabiskan masa dengan khidmat pengangkutan yang diusahakan.

"Saya buka carwash ni masa bujang lagi. Lepas kahwin saya buat transport lori, kemudian saya serahkan carwash untuk isteri uruskan. Kalau saya pergi bawa lori, dia yang jaga carwash.

"Masa mula kahwin dulu saya tak ada lori. Kemudian bila ada sebuah lori, saya cuma amalkan bersedekah tolong orang, Alhamdulillah sekarang dah ada 14 buah lori," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berkaitan

Artikel Lain