suria

Tubuh kecil molek, gagah angkat karpet sampai pelanggan pun seriau! Ada diploma tapi selesa jadi ‘gadis cuci’

Afiqah membantu abangnya mengusahakan bisnes perkhidmatan cucian karpet.

MELIHAT tubuhnya yang kecil molek dan boleh dikategorikan sebagai kurus, wanita ini menjadi tumpuan warga maya apabila berkongsi videonya mengangkat gulungan karpet milik pelanggan yang sudah dicuci.

Malah menerusi kapsyen yang mengiringi video tersebut, wanita berkenaan mengakui dia sudah biasa mendapat reaksi pelanggan yang terkejut apabila melihat dia mengambil dan menghantar karpet.

Perkongsian videonya di laman Twitter sehingga kini meraih 1.9 juta jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis bernama Afiqah Yusof berkata, dia membantu abangnya mengusahakan perkhidmatan cucian karpet atau permaidani sejak hampir lima tahun lalu.

"Bisnes ini bermula pada 2019 dan ia adalah idea abang saya, Amir Yusof. Kiranya bisnes keluarga. Ketika itu saya baru tamat pengajian peringkat diploma.

cuci 3

Bisnes perkhidmatan cucian karpet dimulakan sejak 2019.

"Pada mulanya saya tolong sikit-sikit saja, iaitu mempromosikan bisnes, pemasaran dan bungkus karpet.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sado tak hirau tanggapan ‘lelaki takut nak dekat’, angkat apa saja kalau tak pergi gym... tong gas pun boleh!

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ini dah tak peduli dipanggil ‘mok’ atau ‘papan’, yang penting angkat tong gas rasa ringan je... ibu pun akui anaknya betul power!

"Kemudian saya rajin ikut abang pergi rumah pelanggan dan saja-saja cuba belajar handle mesin untuk cuci karpet. Mula-mula memang susah nak handle tapi lama-lama saya rasa okay pula.

"Apabila tiba musim perayaan, servis ini mendapat sambutan hangat jadi abang tak menang tangan juga. Bertitik tolak daripada situ, saya terus membantu hingga sekarang," cerita wanita berusia 24 tahun ini mengenai bisnes yang diusahakan bersama abangnya iaitu Anak Ibu Multi Services di Subang Bestari, Shah Alam.

Selain cucian karpet, jelas Afiqah, mereka turut menyediakan perkhidmatan cucian sofa, tilam dan kerusi kereta yang beroperasi dari rumah.

cuci 4

Afiqah dan abangnya, Amir yang menjadi tulang belakang Anak Ibu Multi Services.

Hampir lima tahun bergelumang sebagai 'gadis cuci', Afiqah berkata dia sudah terbiasa mengangkat gulungan karpet yang berat seorang diri apabila perlu membahagikan tugas bersama abangnya.

"Kami belum mampu gajikan pekerja tetap. Tapi saya melakukan tugas yang saya mampu mengikut kudrat. Yang tak mampu, pekerja lelaki part-time yang akan handle.

"Pernah juga berdepan dengan insiden lucu. Apabila saya sampai rumah pelanggan nak hantar karpet yang sudah dicuci, dia terkejut tengok saya angkat... terus dipanggil anak-anaknya membantu.

Musim perayaan, servis ini mendapat sambutan hangat jadi abang tak menang tangan juga. Bertitik tolak daripada situ, saya terus membantu hingga sekarang.

AFIQAH YUSOF

"Letih tu benda biasa, tambah-tambah lagi musim perayaan ramai orang hantar karpet. Saya pun dah pernah cuba macam-macam kerja sebelum ini... jaga anak orang, taska, cleaner. Saya cuba apa sahaja yang berikan sumber pendapatan. Inilah sumber rezeki.

"Orang kata bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian," ujar anak bongsu daripada tiga adik beradik ini lagi.

Tidak menyangka perkongsian videonya di Twitter menjadi tular, Afiqah melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana rata-rata netizen memberikan komen positif dan kata-kata semangat.

cuci 2

Antara komen netizen terhadap perkongsian Afiqah.

"Saya sedar ramai yang prihatin lebih-lebih lagi bimbang aktiviti angkat benda berat beri kesan kepada wanita di kemudian hari.

"Saya hargai keprihatinan mereka dan akan ikuti saranan yang disyorkan. Namun jangan risau, saya hanya buat ikut kapasiti kudrat saya sahaja. Terima kasih atas komen-komen yang baik dan membina.

"Secara tak langsung, saya berharap agar menerusi video tersebut, orang ramai tahu mengenai bisnes kami dan berikan sokongan. Doakan moga impian kami untuk mengembangkan bisnes ini, menggaji pekerja serta menyewa sebuah premis yang selesa akan dimakbulkan," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain