suria

Mak ayah makan gaji bukan alasan untuk meminta-minta... MPP UKM cari duit jual sushi, tak balik kampung masa cuti semester

Aiman memilih untuk tinggal di kampus dan bekerja semasa cuti semester.

APABILA tiba cuti semester, pelajar universiti pastinya tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman dan bertemu dengan keluarga.

Namun, lain pula situasinya melibatkan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini yang memilih untuk tinggal di kampus bagi mencari pendapatan sampingan.

Biarpun rindu dengan keluarganya di Kelantan, Ahmad Aiman Afnan Ahmad Nazli, 23, memanfaatkan cuti semester dengan berniaga sushi di Uptown Jalan Reko, Kajang, sejak dua tahun lalu.

aiman04

Kata Aiman, dia mahu mencari wang sendiri dan enggan meminta-minta dengan keluarganya.

"Saya tak balik kampung ketika cuti semester, memang niat nak cari duit dalam tempoh itu. Semuanya bermula pada tahun 2020, saya tanya mengenai kekosongan kerja di Facebook.

"Ada seorang peniaga sushi memaklumkan mengenai kekosongan kerja. Jadi saya bekerja dengannya di Jalan Reko. Dah beberapa kali saya bekerja dengannya.

"Sejujurnya agak sunyi apabila sendirian di kampus masa cuti semester, kawan-kawan pula balik kampung. Saya sendirian je. Tapi kesunyian tu tak terasa sangat sebab saya fikir nak cari duit.

Ibu dan ayah saya bekerja sebagai guru. Tapi saya jenis tak meminta dengan keluarga.

AHMAD AIMAN AFNAN AHMAD NAZLI

"Keluarga pun okey je walaupun saya tak balik, mereka sokong saya cari duit sendiri," ujar penuntut bidang pendidikan sukan dan rekreasi itu.

Senang disapa Aiman, dia yang juga anak kedua daripada tujuh beradik akui seronok dapat mencari pengalaman ketika berniaga, sekali gus membuatkan dia lebih bersedia untuk ke alam pekerjaan tidak lama lagi.

Menurut Aiman, dia juga sedar sikapnya yang kadang-kala boros, jadi segala wang yang dikumpul ketika berniaga dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan di kampus tanpa menyusahkan kedua ibu bapanya di kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan sebulan berniaga, influencer kuyup selamatkan gerai... khemah baru beli musnah dibadai angin kencang

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan perlekeh graduan berniaga takoyaki siap campak duit, terbongkar rupa-rupanya anak pemilik stesen minyak!

"Ibu dan ayah saya bekerja sebagai guru. Tapi saya jenis tak meminta dengan keluarga. Saya lebih selesa untuk usaha sendiri. Duit hasil berniaga saya akan kumpul dan simpan dalam bank.

"Saya jenis suka kumpul wang. Pada masa sama, saya juga suka membazir. Jadi, saya berusaha dengan berniaga untuk kumpul balik wang yang saya dah bazirkan," ujarnya berseloroh.

Bercerita mengenai kehidupannya sebagai mahasiswa, Aiman berkata dia merupakan salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di UKM.

aiman3

Aiman merupakan pelajar bidang pendidikan sukan dan rekreasi.

Biarpun sibuk dengan pelbagai tugasan dan tuntutan, Aiman turut menjalankan perniagaan baju di kampus untuk menambah wang poketnya.

"Sebagai MPP di UKM, banyak program yang kami kena laksanakan. Selain itu, saya juga berniaga. Tapi setakat ini saya dapat bahagikan masa sebaiknya. Alhamdulillah ia tak menganggu pelajaran.

"Memang mencabar apabila bekerja semasa belajar. Kita tak ada masa nak keluar lepak. Namun ini semua pengalaman yang mematangkan saya," ujarnya yang pernah aktif dalam sukan hoki sebelum ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain