suria

[V] Ramai kagum si cilik petah ‘speaking’, siap nak jadi PM... ada sebab tak nak ikut jejak mak ayah bergelar doktor, jurutera

Kepetahan Fateh raih pujian netizen.

VIDEO memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang petah bertutur dalam bahasa Inggeris meraih pujian netizen.

Menerusi video itu, Fateh Affan yang sedang menjamu selera di sebuah restoran dilihat rancak bercerita mengenai sepupunya yang dikenali sebagai Maryam.

Bapanya, Fazrul Azreen Nazri, 34, yang memuat naik video tersebut menerusi aplikasi TikTok sehingga meraih lebih 700,000 tontonan dalam tempoh yang singkat.

Menurut jurutera itu, dia sendiri kagum dengan kebolehan anak lelakinya yang mampu berfikir seperti orang dewasa dan cukup petah bercakap.

"Sejak kecil dia didedahkan dengan bahasa Inggeris. Dengan saya, dia akan bercakap bahasa Inggeris, dengan ibunya pula dia akan bercakap bahasa Melayu. Kami nak dia tahu kedua-dua bahasa.

"Cuma cara dia berfikir saya tak boleh kawal. Saya baca komen di TikTok, ada yang kata cara dia bercakap macam orang dewasa. Lenggok dia bercakap pun saya tak boleh kawal. Dia memang boleh fikir macam orang dewasa.

Saya ni long distance relationship (LDR) dengan isteri. Setiap kali balik, saya akan luangkan masa dengan anak.

FAZRUL AZREEN NAZRI

"Sekarang dengan adanya YouTube, dia tengok cerita-cerita kartun dari United Kingdom (UK) and Amerika Syarikat (AS). Ini juga banyak mempangaruhinya," ujarnya yang senang disapa Fazrul.

Bercerita lanjut, Fazrul berkata Fateh merupakan penggemar kismis dan sering kali akan menolak sekiranya ditawarkan makanan ringan yang tak berkhasiat.

"Sampai sekarang dia masih minum susu, cuma tak guna botol. Biasanya orang cut susu masa usia tiga tahun, kemudian mula bagi Milo. Tapi Fateh masih minum susu sampai sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya pun pelik, dia belajar sendiri sampai orang kampung panggil dia Aishah London” - Bapa murid petah B.Inggeris

ARTIKEL BERKAITAN: Mulanya cakap Terengganu, tiba-tiba wanita ‘speaking’ dengan anak di restoran... Paling geram tuduh pemuda penculik

"Dia juga suka kismis. Pagi-pagi dia akan minta kismis. Orang breakfast makan mi, dia pula nak kismis yang akan dibawa sebagai bekal ke sekolah. Jangan bagi jajan, dia tak suka.

"Saya perasan macam tu. Saya bagi jajan, keropok atau gula-gula, memang dia tak minat," ujar Fazrul yang mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Dr Hamizah Hamzah, 34, pada 2015.

Mengulas mengenai video yang tular, Fazrul berkata dia jarang berkongsi hal peribadi di media sosial, namun bertindak memuat naik telatah anaknya ke TikTok kerana rindu yang menebal.

fateh5

Fateh merupakan anak tunggal dalam keluarganya.

Cerita Fazrul, dia kini bertugas di Pengerang, Johor, manakala anaknya itu menetap bersama isteri yang bekerja di Langkawi, Kedah.

"Saya ni long distance relationship (LDR) dengan isteri. Setiap kali balik, saya akan luangkan masa dengan anak. Saya akan keluar berdua dengan anak untuk bagi dia bercakap apa-apa saja yang dia nak luahkan.

"Dengan ini, dia akan jadi lebih terbuka untuk meluah perasaan dia. Fateh pun memang banyak bercakap, dia tak suka senyap.

fateh7

Komen netizen mengenai Fateh.

"Walaupun berjauhan dengan keluarga, saya rasa Tuhan itu maha adil, Tuhan tak bagi semua. Saya kena terima takdir dengan hati terbuka. Saya fikir pengorbanan ini demi keluarga.

"Yang penting kena sentiasa berhubung setiap hari. Lepas tu bila dah jumpa, gajet semua tolak tepi, utamakan anak dan isteri," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai Fateh, Fazrul berkata anaknya yang kini belajar di tadika menggemari subjek Sains dan Sejarah.

fateh6

Fazrul yang bekerja di Johor terpaksa berjauhan dengan keluarganya.

Malah, anaknya turut meluahkan hasrat untuk bergelar perdana menteri selepas kerap melihat bapanya menonton berita ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

"Fateh tak nak jadi doktor macam ibunya, sebab dia kata doktor sibuk. Dia juga tak nak jadi jurutera seperti saya. Dia cakap saya selalu kerja jauh.

"Ketika saya balik masa PRU15, saya asyik tengok berita mengenai pelantikan perdana menteri. Dia bising kenapa saya asyik tengok berita? Jadi saya pun terangkan kepadanya mengenai perdana menteri.

fateh3

Fateh (kanan bersama bapanya.

"Sejak itu, dia asyik sebut perdana menteri je. Dia cakap nak jadi perdana menteri. Dari segi subjek, dia minat Sains. Mungkin genetik saya dan isteri. Dia juga suka dengar kisah sejarah," ujar Fazrul lagi.

Akhir bicara, Fazrul menzahirkan rasa terima kasih buat pengguna media sosial yang menitipkan doa serta kata pujian buat putera tunggalnya.

"Saya gembira dan bersyukur. Ramai juga yang mendoakan Fateh, itu yang membuatkan saya paling tersentuh," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain