suria

Anak tumpang berniaga dalam klinik, tak sangka pula 20 biji roti sosej habis licin! Tapi bapa pesan siap-siap, kena belajar cakap Melayu

Anak Dr Ahmad Samhan menjual roti sosej di klinik.

MEMILIKI lebih 1.4 juta pengikut di TikTok, Dr Ahmad Samhan cukup dikenali ramai menerusi perkongsiannya tentang hal kesihatan dan ilmu perubatan.

Namun kali ini lain pula kisahnya apabila dia bercerita mengenai hasrat anak lelakinya yang mahu berniaga di kliniknya.

"Baba, can I sell something at your clinic? (Baba, boleh saya jual sesuatu di klinik ayah?)," demikian pertanyaan anak lelaki Dr Ahmad Samhan Awang yang bersungguh-sungguh.

anak berniaga di klinik 9

Anak Dr Ahmad Samhan menyediakan roti sosej.

Dia dan isteri memberi sokongan kepada anaknya memandangkan hujung minggu, sambil mengimbas zaman kecilnya ketika belajar darjah tiga yang turut berniaga.

"Nenek minta letak tempoyak di kedai-kedai sebelum ke sekolah. Balik sekolah tengok berapa yang laku. Apabila ada yang tak laku, saya akan pergi jual rumah ke rumah.

"Sebab kalau saya bawa balik tempoyak yang tak laku, nenek akan sedih," tulisnya di Facebook dengan memuat naik foto anak lelakinya menjual roti sosej.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakan bisnes! Ibu terkejut anak usia 4 tahun jadi 'tauke', buka 'kedai' mainan depan rumah... bila ramai nak beli tak jadi jual pula

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 11 malam, menitik air mata jumpa budak jual mangga tepi jalan... merayu borong baki buah sebab dah penat, esoknya nak bangun awal pagi ke sekolah

Bercakap kepada mStar, Dr Ahmad Samhan berkata, hasrat anaknya yang berusia sembilan tahun, Umar Mu'taseem untuk berniaga diajukan kepadanya, dua minggu lalu.

anak berniaga di klinik 10

Seorang kanak-kanak turut membeli roti sosej.

Mengulas lanjut, katanya, sesi jualan roti sosej dilakukan oleh anak sulungnya daripada tiga beradik itu di kliniknya di Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu baru-baru ini.

"Saya selalu tanya dia, nanti besar nak jadi apa? Dia cakap nak jadi ahli perniagaan. Saya jawab, kena mula daripada sekarang.

"Jadi apabila dia bagi idea nak menjual roti sosej tu saya agak terkejut. Dalam hati, dia memang betul-betul serius," katanya kepada mStar.

Doktor berusia 36 tahun itu berkata, dia tidak bertugas di klinik pada hari berkenaan dan hanya memerhati anaknya berniaga dari jauh.

"Umar dan adik-adik yang buat roti sosej dan dibantu oleh ibunya. Jumlah roti sosej yang dijual di klinik sebanyak 20 biji.

"Tak sampai 20 minit, kesemua roti sosej licin, habis terjual. Ada budak iaitu anak kepada seorang pesakit saya turut membeli," ujarnya yang berpengalaman lebih lima tahun dalam bidang perubatan.

anak berniaga di klinik 11

Dr Ahmad Samhan di klinik.

Menurut Dr Ahmad Samhan, berdasarkan pengalamannya berniaga, dia mahu anak sulungnya mencapai lima perkara seperti mempelajari teknik jualan langsung (direct selling).

"Dia kena buang rasa malu dan berani bercakap dengan pelanggan. Jangan hanya tunggu, tapi buka mulut tanya nak beli atau tak.

"Belajar mengira dengan cepat. Tak sama perasaan jawab soalan Matematik di atas kertas dan mengira baki yang perlu dihulurkan ketika pelanggan sedang menunggu. Cemasnya lebih.

Dia nak buka syarikat bisnes hotel, ini lawak sebab saya tak sangka bisnes hotel... ingatkan nak buka klinik macam saya.

DR AHMAD SAMHAN

"Berniaga dengan apa yang diminati. Apabila tanya dia nak jual apa, semua yang dia senaraikan adalah makanan kegemaran dia. Dia minat sungguh dengan roti sosej mama dia buat. Jadi, dia jual roti sosej.

"Mulakan perniagaan dengan apa yang ada. Saya nak ajar dia jangan fikir terlalu rumit nak berniaga apa. Tengok apa yang ada dan jual, simple," tambahnya.

anak berniaga di klinik 1

Wajah gembira anak selepas roti sosej habis terjual.

Malah Dr Ahmad Samhan turut memaklumkan anaknya juga perlu belajar bercakap dalam bahasa Melayu.

"Umar ni first language dia Inggeris. Pelat nak cakap Melayu. Apabila nak menjual, dia terpaksa cakap Melayu.

"Dia tanya saya apa perlu cakap kalau orang datang nak beli. Saya ajar 'Ya, nak beli? Nak beli berapa?' Dia masih lagi berusaha cakap Melayu," katanya.

anak berniaga di klinik 2

Dr Ahmad Samhan dan isteri memberi sokongan terhadap minat anak-anak.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Samhan berkata, ibu bapa perlu memberi sokongan kepada minat anak-anak kerana setiap anak mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

Bisnes roti sosej yang 'laku keras' membuatkan anaknya gembira dan teruja sehingga mahu menjualnya lagi di kliniknya.

"Dia minta hari biasa pun nak menjual. Saya tak izinkan sebab dia ada tuisyen. Jadi, hari minggu je boleh berniaga. Muka Umar tersengih, gembira. Dia cakap 'Baba, can I open my own company?' (Baba, boleh saya buka syarikat saya sendiri?’

"Dia nak buka syarikat bisnes hotel. Tak tahu kenapa. Ini lawak sebab saya tak sangka bisnes hotel. Ingatkan anak nak buat bisnes buka klinik macam saya," ujar Dr Ahmad Samhan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain