suria

“Dia kata kesian dekat motor” - Gadis Kelantan minat konvoi tak lut dikeji netizen, tetap berjiwa besar nak ‘ride’ pergi Phuket

Icha memasang impian untuk berkonvoi ke luar negara suatu hari nanti.

SETIAP orang mempunyai hobi yang berbeza-beza.

Begitu juga gadis dari Kelantan ini yang diangap menongkah arus apabila serius menceburkan diri dalam hobi permotoran yang biasanya sinonim dengan golongan lelaki.

Menurut Nur Elisa Shafika Mohd Bakri, 19, minat itu bercambah sejak zaman kanak-kanak lagi namun langkahnya semakin panjang selepas menamatkan persekolahan.

"Saya minat tentang motor sejak sekolah rendah. Mula belajar tunggang motosikal masa darjah enam. Tiada siapa yang paksa, saya sendiri yang minat nak belajar.

"Selain konvoi beramai-ramai dalam Kelantan, saya juga pernah ikuti konvoi motor sampai ke Pulau Pinang, Perak dan Pahang. InsyaAllah kalau ada rezeki, saya nak konvoi ke luar negara lepas ni.

"Nak pergi ke Hatyai atau Phuket. Itu antara destinasi impian saya yang belum dicapai," ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Motor ‘total lost’, kaki kanan kena potong... Pemuda ini merana tak boleh claim insurans, rayu suspek langgar lari munculkan diri

ARTIKEL BERKAITAN: Jiwa rider saja faham mengapa pemuda ini menangis lepas kemalangan, bukan sakit tapi risau nampak cik tunang terbaring atas jalan

Senang disapa Icha, dia akui pernah mendapat tentangan keluarganya, namun tetap meneruskan hobi itu kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti permotoran.

Kata Icha, pengalaman berkecimpung dalam hobi itu menjadikan dia lebih yakin dan berhati-hati terutamanya untuk berada di atas jalan raya.

"Dulu keluarga marah, kadang-kadang mereka tak bagi saya pergi ride. Dulu mereka larang, lepas dah habis sekolah, mak pun dah tak larat nak larang. Saya mula pergi ride jauh selepas habis sekolah.

icha 3

Icha merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

"Yang penting kena tahu jaga diri. Saya tak pernah rasa takut nak naik motor, cuma kena hati-hati. Apabila berada atas motor, saya rasa tenang dapat ambil angin luar," ujar peniaga yang menetap di Melor, Kota Bharu itu.

Dalam pada itu, Icha juga kerap berkongsi mengenai hobinya menerusi aplikasi TikTok sehingga salah satu video miliknya meraih setengah juta tontonan.

Di sebalik video tular itu, Icha berkata dia juga tidak terlepas menerima kecaman serta komen mengenai fizikalnya.

Kadang-kadang apabila saya keluar ada orang datang tegur, mereka kata kenal saya melalui video viral TikTok.

ICHA

"Sejujurnya saya terkejut apabila video viral. Setiap video ada komen kecaman, seolah-olah menghina saya. Pada saya, boleh nak komen tapi jangan sampai menghina.

"Tapi nak buat macam mana? Sebab itu hobi saya. Rasa sedih tu ada, tapi saya tak putus semangat. Biarlah orang hina.

"Ada sekali tu, seseorang komen, dia kata kesian dekat motor. Kalau motor boleh bercakap, mesti motor penat. Itu antara komen yang saya ingat," ujar pemilik Yamaha NVX itu lagi.

icha2

Icha juga pernah berkonvoi sehingga ke Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Menurut Icha, dia bagaimanapun bersyukur kerana masih ramai yang memberi sokongan kepadanya menerusi media sosial.

"Ada je yang sokong, mereka kata suka tengok video permotoran, suka tengok saya pergi makan angin jauh-jauh naik motor.

"Sebelum ni pun ada kaum hawa yang mesej saya, dia minta ajar untuk ceburi hobi ni. Sebenarnya terlalu ramai yang beri sokongan.

"Kadang-kadang apabila saya keluar, ada orang datang tegur, mereka kata kenal saya melalui video viral TikTok," ujarnya yang memiliki lebih 15,000 pengikut di aplikasi video itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain