suria

Dulu kucing kurap, tak ada sudi bela... umur 3 tahun Little terima hadiah birthday terindah rantai Louis Vuitton

Little menerima hadiah rantai berjenama mewah sempena ulang tahun kelahirannya yang ketiga.

BUKAN biasa-biasa!

Begitulah kisah seekor kucing yang dihadiahkan rantai berjenama Louis Vuitton (LV) sempena ulang tahun kelahirannya yang ketiga pada 11 Ogos lalu.

Menurut Natasha Rashdan, 25, dia saban tahun akan membeli hadiah untuk kucing kesayangannya namun memilih sesuatu yang berbeza untuk sambutan kali ini.

"Sebenarnya setiap tahun memang ada hadiah untuk Little. Macam tahun lepas, saya beli cat house untuknya. Tapi sekarang Little dah besar, dia pun dah tak main sangat. Jadi saya terfikir, apa patut saya beli tahun ni?

"Sebelum ini saya pernah tengok satu filem memaparkan anjing yang memakai beg LV. Jadi saya dapat inspirasi daripada cerita itu. Saya buat carian Google dan baru tahu wujud tag colar berjenama mewah.

"Jadi saya buat keputusan beli LV untuk Little. Harganya berpatutan, dalam RM1,300 ke RM1,400 mengikut saiz untuk kucing dan kita juga boleh engrave namanya," ujar Natasha kepada mStar.

Menurut anak jati Ipoh, Perak itu, dia juga tidak menyangka video kejutan hari lahir buat kucingnya akan tular dan meraih hampir 800,000 tontonan di TikTok dalam tempoh kurang 24 jam.

ARTIKEL BERKAITAN: Amboi! Kucing garang bertukar manja hanya selepas dipanggil ‘sayang’ - “Suami saya hadiahkan, tapi dia pun takut Ciko”

ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran kahwin rare! Usahawan kosmetik dapat kucing BSH dari Ukraine, si isteri terima 1,000 kuntum mawar tanda ucapan hari lahir

Tambah Natasha, dia seronok membaca komen-komen netizen yang tumpang gembira dengan kucingnya, tak kurang juga yang berjenaka mengenai pemberian itu.

"Memang sangat terkejut, saya ni suka share mengenai kucing di media sosial. Tak jangka ia viral. Saya juga terima soalan, orang tanya beli di mana dan berapa harganya. Ada juga yang bergurau, mereka kata nak jadi kucing saya.

"Tapi sejujurnya saya melihat TikTok sekarang berbeza dengan TikTok beberapa tahun lalu. Ia banyak beri manfaat dan ilmu termasuklah bidang bisnes, masakan dan macam-macam lagi.

Little dah dianggap macam keluarga sendiri. Saya bercakap dengan Little pun macam saya bercakap dengan manusia.

NATASHA

"Ada juga yang mesej saya tanya mengenai tip pemakanan kucing, mereka nak tip untuk kucing gemuk. Jika ada kelapangan, saya memang akan berkongsi apa yang saya tahu," ujarnya yang kini menetap di ibu negara.

Bercerita mengenai Little, Natasha berkata kucing itu merupakan pemberian seorang rakan pada tahun 2019 yang kini menjadi peneman utama dalam hidupnya.

"Saya ambil daripada kawan, saya tak pernah beli kucing. Dulu kawan saya ada banyak kucing, jadi dia agihkan pada kawan-kawan. Little je tak ada orang adopt, Little hanyalah kucing betina baka kampung yang ada kurap masa tu.

Natasha berkongsi video itu di aplikasi TikTok.

"Tapi saya tak kisah kucing jenis apa, bagi saya kita kena layan adil semua haiwan. Jadi saya ambil Little daripada kawan dan bawanya untuk tinggal bersama saya di Kuala Lumpur. Keluarga saya di Ipoh pun ada bela kucing.

"Jadi sejak 2019, Little yang jadi peneman hidup saya. Little dah dianggap macam keluarga sendiri. Saya bercakap dengan Little pun macam saya bercakap dengan manusia. Bagi saya, kucing memberi ketenangan dalam hidup.

"Bila ada haiwan dalam rumah, tenang je rasa. Balik rumah, ada kucing, terus hilang rasa penat. Little pun selalu nak berkepit dengan saya," ujarnya.

little 4

Little meraih perhatian netizen selepas dia menerima hadiah mewah.

Dalam pada itu, Natasha juga percaya dengan konsep rezeki dan tidak pernah kisah untuk mengeluarkan belanja demi kucing kesayangannya.

"Saya percaya, InsyaAllah rezeki kita akan murah kalau bela haiwan. Walaupun terpaksa keluar belanja, tapi saya tak pernah rasa terbeban. Tak terasa bila keluarkan duit untuk kucing. Tiba-tiba ada ganti yang kita tak sedar.

"Kadang-kadang kos perubatan bukan murah, di Kuala Lumpur biasanya banyak klinik haiwan swasta. Tapi saya tak pernah masukkan perbelanjaan untuk Little sebagai komitmen. Yang penting kena ikhlas jaga kucing," ujarnya yang bekerja dalam bidang pembuatan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain