suria

“Rajin-rajin tangankan anak!” - Netizen geram tengok video budak lelaki buli OKU pakai kostum Donald Duck

Video seorang lelaki OKU memakai kostum Donald Duck dibuli menjadi tular.

LULUH hati seorang adik apabila melihat rakaman abangnya yang kelainan upaya dibuli ketika mencari rezeki.

Seperti dikongsikan di media sosial, kelihatan seorang individu yang memakai kostum karakter kartun animasi Donald Duck dibuli dipercayai berlaku di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.

Ketika dihubungi mStar, Nurul Shakirah Mohd Nordin, 30, tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan marah tatkala melihat abang sulung, Hamdan Mohd Nordin, 33, menjadi mangsa usikan kanak-kanak.

"Saya dapat tahu apabila ibu saudara tunjuk video tu. Saya sangat tak berpuas hati dengan apa terjadi sampai saya menangis.

"Jarak umur kami dekat saja, kami membesar bersama. Sejak kecil sampai sekarang kami masih tinggal sebumbung. Apabila ada orang buli dia macam tu memang saya tak boleh terima.

"Adik-beradik lain pun kalau dibuli memang saya pertahankan mereka apatah lagi abang saya tu OKU (orang kelainan upaya).

"Dia baru buat kerja tu sejak tiga minggu lalu. Dia baik dengan adik-beradik tapi kalau ada yang mengganggu emosi, memang dia akan marah dan bertindak di luar kawalan. Sebab tu saya takut apabila dibuli dan diejek, bimbang dia akan mengamuk,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa turuti kehendak anak OKU nak berhenti sekolah sebab tak tahan dibuli, kini karya lukisan dapat penghargaan kerabat Diraja Kedah - “Dia ada pendapatan sendiri”

ARTIKEL BERKAITAN: Mengadu dibuli, kemudian diri sendiri dera budak? Twitter kena gali... suspek pernah mengaku digelar kaki sihir, alami depresi

Menurut Shakirah yang sudah kehilangan ibu sejak lima tahun lalu, abangnya cuba mendapatkan ibu bapa kepada ‘pembuli’ itu untuk mengadu tentang insiden berkenan namun gagal apabila mereka beredar sejurus selepas itu.

Terkilan dengan apa yang terjadi, Shakirah yang merupakan anak kedua daripada empat orang adik beradik sedaya upaya mahu menjaga kebajikan darah dagingnya.

Shakirah bersama abangnya.

“Mereka amanah saya selepas arwah mak meninggal dunia. Apa saya nak jawab nanti dekat ‘sana’ kalau tak laksanakan dengan sebaiknya. Walaupun masih ada ayah tapi saya yang bertanggung jawab ke atas mereka.

“Menurut apa yang diberitahu abang, parents budak tu langsung tidak berjumpa dan meminta maaf dekat dia,” ujarnya penuh hampa dengan apa telah terjadi.

Apabila tengok video viral dibuli macam ni... dan terjadi pula pada ahli keluarga sendiri, memang cukup menyedihkan.

NURUL SHAKIRAH

Kata Shakirah, Hamdan yang memiliki masalah dalam pembelajaran bagaimanapun tetap bersemangat untuk meneruskan pekerjaannya selepas insiden berkenaan.

Susulan insiden buli berkenaan, muncul satu lagi video menunjukkan seorang kanak-kanak baring sambil menangis ketika dimarahi ibunya.

Difahamkan kanak-kanak itu adalah pembuli Hamdan.

Rata-rata netizen turut menyatakan rasa simpati di ruangan komen dengan nasib Hamdan yang dibuli ketika mencari rezeki itu.

Hamdan tetap bersemangat untuk mencari rezeki sendiri.

"Apabila tengok video viral dibuli macam ni... dan terjadi pula pada ahli keluarga sendiri, memang cukup menyedihkan.

"Saya harap ibu bapa di luar sana pantau anak masing-masing. Didiklah mereka dengan sebaiknya.

"Didik mereka bahawa buli ni satu budaya yang tidak elok demi menjamin kesejahteraan masyarakat,” kata Shakirah.

Sementara itu rata-rata netizen turut melahirkan rasa kurang senang dengan insiden buli berkenaan.

Kata mereka ibu bapa seharusnya memantau atau anak masing-masing agar perkara tidak baik seperti itu terus berlaku.

"Rajin-rajin tangankan (pukul) anak supaya mereka tahu adab dan hormat orang. Bukan niat mendera tapi menegur dan mendidik.

"Suami aku selalu pesan kat anak... kalau berani buat berani la tanggung akibatnya. Jadi apabila anak-anak nak buat benda tak elok dia akan ingat pesan ayah dia.

"Sebab tu aku selalu pesan kat suami supaya marah anak-anak dulu daripada salahkan orang lain sebab tak nak anak-anak rasa mereka tu betul," kata beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain