suria

Tak hirau body shaming, pemuda ini ligat menari sebaik diajak naik pentas... dah boleh jadi ahli ke-5 Dolla

Tarian Nazrin bersama Dolla meraih perhatian ramai netizen.

AKSI seorang lelaki yang lincah menari bersama empat anggota kumpulan Dolla ternyata mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Penangan video yang tular di TikTok tersebut menyebabkan Nazrin Ibrahim, 24, turut diberi gelaran sebagai anggota kelima kumpulan popular itu.

Bercerita kepada mStar, dia yang senang disapa Nazrin mengakui teruja apabila diberi peluang untuk menari bersama kumpulan itu dalam sebuah acara di Angsana Johor Bahru Mall pada Sabtu petang.

"Dalam acara itu, ada beberapa artis seperti Kaka Azraf, Joe Flizzow, SonaOne, Haqiem Rusli dan Dolla. Saya dan rakan sekerja memang pergi ke acara itu untuk tengok Dolla.

"Ketika Dolla buat persembahan, saya turut menari di bawah. Jadi pengacara majlis nampak saya dan panggil naik. Sejujurnya sangat teruja sebab dapat menari lagu Bad bersama Dolla.

"Dolla pun nampak terkejut sebab setiap detail koreografi mereka saya hafal. Bila kongsi video di media sosial, ramai pula yang kata saya anggota kelima Dolla," ujarnya berseloroh.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi tarian K-Pop setiap hari sejak PKP, jejaka ini terkejut pengikut di TikTok lebih tenang... tak pernah kecam!

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih menari TikTok promosi produk kecantikan, ahli skuad Jerung Merah berkulit gelap cekal hadap hinaan

Menurut pegawai khidmat pelanggan itu, dia meminati Dolla sejak tahun 2020 dan sering menghafal rentak tari kumpulan itu sebagai hobi masa lapang.

Di sebalik kenangan manis dapat menari bersama Dolla, Nazrin berkata dia juga tidak dapat menutup mulut segelintir individu yang berkata negatif mengenai fizikalnya.

"Setakat ini saya nampak ada beberapa komen negatif. Sebelum ni kalau saya post video pun, banyak je orang yang kecam. Body shaming paling banyak. Tapi saya anggap itu biasa, tak semua orang suka kita.

Atas pentas mereka nampak profesional ketika buat persembahan, kemudian bila jumpa, mereka sangatlah merendah diri.

NAZRIN

"Lain manusia lain pandangannya. Kepada orang di luar sana, jangan pernah takut untuk serlahkan bakat anda. Kalau takut, mana nak datang keyakinan diri? Bila kita tunjuk bakat, mesti ada orang tak suka.

"Alhamdulillah, bila saya tunjuk bakat menari, ada juga orang yang jadikan saya sebagai inspirasi. Mereka tengok keyakinan saya tinggi sebab saya berbadan besar. Dengan sokongan ramai, saya jadi lebih yakin. Saya pun bersemangat untuk terus menari," ujarnya lagi.

nazrin2

Nazrin teruja pertama kali bertemu dengan anggota Dolla pada Sabtu.

Menurut anak jati Perak itu, dia juga mahu menitipkan ucapan penghargaan kepada kumpulan Dolla atas bakat yang dipamerkan selama ini.

Kata Nazrin, dia mahu melihat Dolla meneroka dunia dan menjadi salah sebuah kumpulan paling berjaya di Malaysia.

dola 4

Ramai netizen memuji keyakinan yang ada pada Nazrin.

"Saya mula minat Dolla pada tahun 2020. Awal-awal kemunculan mereka, saya pernah buat dance cover dan mereka repost di Instagram. Kali ini, saya pertama kali dapat jumpa mereka depan-depan.

"Atas pentas mereka nampak profesional ketika buat persembahan, kemudian bila jumpa, mereka sangatlah merendah diri. Saya harap Dolla dapat bawa nama Malaysia ke negara luar. Terima kasih kerana beri inspirasi kepada saya," ujarnya lagi.

Untuk rekod, kumpulan Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel popular dengan lagu Dolla Make You Wanna, Watch Me Glow dan Raya Raya Raya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain