suria

Jejaka ini mahu ikut jejak Ebit Lew... tiada masalah diri jadi perhatian, diusik kacak ketika turun padang bantu orang susah

Edy menjadikan Ebit Lew sebagai idola dalam kerja-kerja kebajikan yang dilakukan sejak dua tahun lalu.

KERJA kebajikan yang dilakukan personaliti dakwah Ebit Lew banyak memberi inspirasi khususnya kepada rakyat negara ini.

Tidak terkecuali tentunya jejaka Sino Kadazan dari Papar, Sabah ini yang turut mengikuti jejak langkah Ebit sejak dua tahun lalu.

Menurut Adrian Edy, 26, usaha itu bermula secara kecil-kecilan ketika fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun dia kini dalam proses untuk menubuhkan badan kebajikan sendiri.

"Saya yang dulu bukanlah yang sekarang, dulu jarang saya tolong orang. Tapi semuanya berubah sejak PKP. Pada waktu itu saya lihat ramai yang terkesan, jadi saya pun mula hulur bantuan.

"Saya juga mendapat inspirasi kerana menonton video Ebit Lew. Saya buat secara kecil-kecilan saja, kemudian ia bertukar menjadi rutin. Pada peringkat awal, saya hanya gunakan duit sendiri.

"Kebetulan saya pun bekerja, saya bantu keluarga buat bisnes kedai sukan di Papar. Bila kerja kebajikan saya diketahui umum, ramai pula yang hubungi untuk turut sama derma dan membantu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tengok di FB Ustaz Ebit bantu orang susah, tiba gilirannya ibu 5 anak tinggal di ‘rumah kotak’ ini gagal tahan emosi

ARTIKEL BERKAITAN: Total lockdown sentuh emosi! Pemuda terkejut jumpa ramai orang susah dalam lingkungan 10km dari rumah

"Sekarang saya dalam proses untuk daftar pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ia belum selesai, banyak juga proses yang perlu dilalui," ujarnya yang turut memperkenalkan foodbank di Sabah sepanjang pelaksanaan PKP.

Bercerita lanjut, Edy mengakui pengalaman terlibat dalam kerja-kerja kebajikan membuatkan dia melihat kehidupan dari perspektif berbeza.

Jelasnya, dia bertemu pelbagai golongan masyarakat dengan kisah hidup berbeza, sekali gus membuatkan dia lebih menghargai nikmat kehidupan yang dimiliki.

edy3

Edy merupakan anak jati Papar, Sabah.

"Saya jenis susah sikit nak menangis kalau jumpa face to face. Tapi bila balik ke rumah, saya akan rasa sebak masa tengok balik segala gambar dan video. Setiap rumah yang saya dan pasukan saya pergi, mesti ada kisah masing-masing.

"Ada yang Orang Kelainan Upaya (OKU), ada warga emas yang tinggal sendirian dan macam-macam lagi. Paling sedih ketika saya ke Sipitang baru-baru ini. Ada sebuah rumah tanpa bekalan elektrik yang dihuni lapan orang.

"Di rumah itu, ada empat kanak-kanak yang tak mampu sekolah. Jadi saya bantu mereka beli barang sekolah serta bayar semua yuran. Akhirnya, mereka dah mula bersekolah sejak minggu lalu. Mereka kata selama ini tengok orang lain je pergi sekolah, kini mereka pun dapat bersekolah.

Selepas ini, saya teringin nak ke Kelantan. Kalau boleh nak ke semua negeri dalam Malaysia.

EDY

"Dengan pendidikan, saya harap mereka dapat ubah nasib keluarga suatu hari nanti. Sejujurnya saya rasa bersyukur sebab diberi peluang untuk bantu mereka," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Menurut Edy yang pernah bertemu Ebit sebanyak tiga kali, dia juga mahu meluaskan kerja kebajikan ke semua negeri dalam Malaysia suatu hari nanti.

Malah, dia yang menjadikan Ebit sebagai idola turut memasang impian untuk menyantuni golongan miskin di Indonesia jika diberi kesempatan untuk ke sana.

edy4

Edy aktif dalam kerja-kerja kebajikan sejak dua tahun lalu.

"Kalau tanya mengenai impian, saya kalau boleh nak selesaikan semua masalah golongan memerlukan. Selepas ini, saya teringin nak ke Kelantan. Kalau boleh nak ke semua negeri dalam Malaysia. Baru-baru ini saya juga ada datang bagi bantuan di Kuala Lumpur.

"Kalau luar negara pula, saya teringin nak pergi bantu orang di Indonesia. Saya mahu bantu lebih ramai, macam yang Ustaz Ebit lakukan. Walaupun saya baru tiga kali jumpa dengannya, dia layan saya sangat baik, macam keluarga," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Edy turut menzahirkan ucapan terima kasih buat lebih 375,000 pengikutnya di laman TikTok yang banyak memberikan sokongan serta kata-kata semangat.

edy1

Edy turut memasang impian untuk memperluaskan misi bantuan ke seluruh Malaysia.

Edy yang sering tampil dengan t-shirt serba putih mengakui ada menerima komen usikan yang memuji paras rupanya, termasuklah yang mahu berkenalan.

"Saya tiada masalah, saya gembira baca semua komen. Walaupun kita lain agama, kita semua satu keluarga. Memang ramai yang komen pasal paras rupa, ada juga yang nak berkenalan, nak masuk meminang. Saya anggap ia semua gurauan.

"Kepada yang sentiasa sokong misi saya, terima kasih sangat-sangat. Saya harap apa yang saya lakukan dapat beri insprasi kepada orang di luar sana," ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain