suria

Total lockdown sentuh emosi! Pemuda terkejut jumpa ramai orang susah dalam lingkungan 10km dari rumah - “Ibu tunggal kena kuarantin, catu makanan 4 anak”

Apa yang dilalui Syafiq ternyata memberi keinsafan dan menjadikan dirinya lebih bersyukur dengan nikmat kehidupan.

USAHA murni pengurus dan pengasas rumah yatim ini dalam lapangan kerja amal bukanlah satu perkara baharu.

Malah, Muhammad Syafiq Mobin, 33, pernah mendapat perhatian bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo pada tahun lalu.

Terbaharu, dia melalui gerakan Cheka Movement Malaysia yang ditubuhkan sejak 2018 tampil dengan program Bank Makanan sepanjang tempoh 'total lockdown' yang berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja amal jejaka Ampang ini dapat perhatian White House, tapi momen bersama 2 anak yatim di KFC paling terkesan - “Ia perasaan yang menginsafkan”

ARTIKEL BERKAITAN: Peristiwa RM2 ketika hari lahir buka mata abang polis... apa ceritanya sampai dah 10 tahun sanggup masak sendiri demi bantu gelandangan

"Ia merupakan kesinambungan program-program lepas. Sebelum ini kami bagi bantuan kewangan di seluruh Malaysia.

"Kali ini, saya dan dua rakan lagi buat di rumah sendiri. Untuk orang-orang dalam lingkungan 10 kilometer (km) dari rumah kami.

"Ia melibatkan tiga negeri di Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan," ujarnya yang mesra disapa Syafiq.

Selain dirinya di Taman Kosas, Ampang Selangor, program itu turut dilaksanakan oleh Fatimah Thani bagi kawasan Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Kelantan dan Azan Ismail di Pekan Tampin, Negeri Sembilan.

Hebahan yang dibuat oleh Syafiq di Twitter mengenai program itu meraih sambutan positif.

Bercerita lanjut kepada mStar, Syafiq berkata dia sempat menyelami kisah hidup beberapa individu yang datang mengambil bantuan di kediamannya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Syafiq, pengalaman itu ternyata memberi keinsafan dan menjadikan dirinya lebih bersyukur dengan nikmat kehidupan.

"Kebanyakan yang nak datang ambil bantuan, mereka akan hubungi dahulu. Mereka ceritakan kisah hidup, memang sedih.

Alhamdulillah, walau sekecil-kecil bantuan, tetap mereka nak membantu.

SYAFIQ

"Nikmat apa lagi yang kita nak dustakan? Ada orang yang tak boleh kerja, putus pendapatan dan duduk di rumah tak boleh buat apa-apa.

"Ada seorang ibu tunggal yang ambil bantuan dengan saya. Dia ada empat anak. Kemudian dia kena kena Covid-19 dan dikuarantin 14 hari. Terpaksa catu makanan anak-anak.

"Ada juga seorang balu berusia 70 tahun yang berniaga nasi lemak, dia pun ambil bantuan Bank Makanan. Dia menangis, mengadu tiada pendapatan, tiada orang beli ketika pandemik ini," imbasnya sebak.

Kata Syafiq, hebahan yang dibuat olehnya di Twitter mengenai program itu meraih sambutan positif.

Syafiq juga merupakan pengurus sebuah rumah anak yatim.

Malah, ramai individu menghubunginya untuk turut sama membantu dalam program itu.

"Ada yang contact untuk turut sama menyumbang, ada yang bagi barangan asas. Yang transfer duit RM3 dan RM5 pun ada.

"Alhamdulillah, walau sekecil-kecil bantuan, tetap mereka nak membantu. Rakyat Malaysia yang pemurah, suka membantu sesama sendiri," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, dia yang juga pengasas bersama Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez, Keramat memaklumkan bahawa 30 penghuni jagaannya juga tidak putus-putus menerima bantuan sejak pandemik melanda.

Dia bersyukur dengan segala bantuan yang disalurkan dan turut berbesar hati sekiranya ramai lagi insan di luar sana mahu terlibat sama dalam program kebajikan yang dijalankannya.

"Sepanjang 'lockdown' rumah anak yatim tiada masalah. Bantuan makanan ada setiap hari. Kebetulan rumah anak yatim ada terlalu banyak makanan yang dihantar.

"Jadi daripada membazir, takut dah sampai tarikh luput dan sebagianya, kami bagi juga pada yang memerlukan. Pengetua pun setuju.

"Dari situ jugalah dapat idea untuk membantu insan di luar sana. Ada macam-macam barang termasuklah beras, biskut, kicap, gula dan sebagainya," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain