suria

Remaja menyendiri selepas kantoi tengok video lucah, kaunselor kata nak tegur ada cara! Usah anggap tonton porno jijik, salah teruk

Seorang individu mengadu anaknya mula menjauh selepas kantoi menonton video lucah. (Gambar Hiasan)

KEWUJUDAN teknologi memberi akses tanpa sempadan kepada golongan remaja sehingga ada yang terpengaruh dengan pornografi.

Menerusi TikTok Profesor Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip, seorang individu tampil berkongsi mengenai masalah sama yang dihadapi anak lelakinya.

"Anak lelaki saya umur 17 tahun seolah-olah menjauh diri bila saya tegur dia tengok cerita lucah. Tolong saya prof," tulis individu itu menerusi ruangan komen.

ARTIKEL BERKAITAN: Tolong serkap jarang kalau tiba-tiba alih skrin telefon, history Google kosong... Ini petanda anak ‘layan’ video lucah!

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya jadi takut dengan dia” - Gadis risau dapat tahu tunang yang dianggap baik, tak pernah bersentuhan ‘layan’ porno... mahu jauhkan diri

Jawab kaunselor dan ahli psikologi itu, masalah pornografi dalam kalangan remaja merupakan perkara biasa yang berlaku atas dasar ingin tahu.

Jelasnya lagi, ibu bapa juga tidak wajar memandang jijik kepada anak yang melakukan perkara itu kerana ia boleh meretakkan hubungan antara mereka.

"Bagi anak remaja yang menuju dewasa, menonton video lucah ini agak biasa kerana mereka ada perasaan ingin tahu dan menerokai kejantinaan lelaki dan perempuan.

"Jadi jangan terlalu pandang ia jijik dan benda yang sangat teruk dan kita marah keterlaluan sehingga merosakkan perhubungan. Ia tidak bagus.

"Kadang ia hanyalah satu proses untuk dia menuju kematangan, jadi tugas kita hanya bimbing," ujarnya kepada lebih 100,000 pengikut TikTok.

profmas4

Prof Mas berkongsi jawapan mengenai topik itu menerusi TikTok.

Menurut profesor itu lagi, ibu bapa perlu menerapkan elemen kasih sayang dalam menangani masalah tersebut agar anak-anak dapat berfikir sendiri mengenai tindakan mereka.

"Beritahu perkara ini tak berapa bagus, jangan diteruskan dan berikan kasih sayang. Teruskan aktiviti-aktiviti keluarga, dan hasil attachment perhubungan yang baik itu, rasa disayangi, nanti dia akan tinggalkan benda-benda buruk, menonton video lucah itu.

"Maksudnya ialah kita memberi bimbingan dan kasih sayang, dan dia lalui proses dengan matang, dia akan menilai sendiri baik buruk itu untuk tinggalkan," ujarnya.

Mengulas lanjut masalah yang diutarakan individu berkenaan, dia turut menyeru ibu-bapa agar melihat semula kaedah yang digunakan dalam menegur setiap kesalahan yang dilakukan anak-anak.

Bila anak remaja menjauhkan diri, kita kena sedari mungkin cara teguran kita agak kasar, keterlaluan, mengguris hati dia atau kita malukan dia.

PROFESOR DR MOHAMMAD AZIZ SHAH MOHAMED ARIP

Malah katanya, tidak salah sekiranya ibu bapa memohon maaf kepada anak-anak, sekali gus dapat menjernihkan kekeruhan yang timbul dalam keluarga.

"Bagi kes ini, bila anak remaja menjauhkan diri, kita kena sedari mungkin cara teguran kita agak kasar, keterlaluan, mengguris hati dia atau kita malukan dia atau dia malu dengan perbuatan dia sendiri.

"Atau kita ada beritahu perbuatan dia kepada ahli keluarga yang lain yang menyebabkan dia malu dan hati dia terguris, maka dia menjauhkan diri dari ahli keluarga.

"Jangan biar perkara ini lama-lama, sebab remaja ini dia nak lebih perhatian dan bimbingan, lupakan perkara lepas, maafkan dan jika perlu.

profmas1

Antara video yang dikongsi menerusi TikTok miliknya.

"Kita sebagai ibu bapa tak salah mohon maaf jika kita ada buat tindakan yang keterlaluan dan teruskan aktiviti yang menyeronokkan dengan keluarga, makan, berbual dan akhirnya dia lupakan terus dan fokus perkara positif, happy dan membina.

"Dia akan membesar secara matang dan dia akan tahu apa dia buat untuk masa akan datang untuk jadi orang lebih baik dan bermanfaat. Percayalah," ujarnya lagi.

Menerusi laman TikTok, dia yang dikenali sebagai Prof Mas turut aktif menghasilkan video-video berkaitan topik keibubapaan, remaja, komunikasi, psikologi dan banyak lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain