suria

Kecoh suara jantan di surau perempuan! Lelaki bertelekung pink didakwa curi phone sorok dalam seluar dalam, tak henti solat 2 rakaat

Seorang wanita mendakwa telefon bimbit ibunya dicuri oleh lelaki bertelekung pink semasa solat di surau pusat beli belah.

“AWAK, hati-hati tau. Telefon mak saya baru je hilang.”

Demikian kata-kata peringatan seorang wanita kepada Siti Jamilah Nordin, yang mendakwa ibunya menjadi mangsa kecurian telefon bimbit di surau sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Perkongsian Jamilah mengenai kes itu menjadi tular di laman sosial apabila dia menceritakan semula pengalaman ngeri tersebut melalui bebenang (thread) di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar tangan ‘orang minyak’ merayap dalam masjid, selak tirai saf wanita! Saksi tampil cerita kejadian depan mata...

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini rembat beg tangan dalam surau sampai terlanggar kipas, wanita rugi hampir RM20,000 - “Mak saya dah nampak lelaki tu masuk”

“Saya sampai surau tu dalam pukul 6.30 petang nak tunaikan solat Asar. Saya ada nampak seorang ‘akak’ pakai telekung pink. Warna sangat terang jadi mudah nak cam dia dulu tengah duduk dekat dengan rak gantung sejadah.

“Masa saya tengah cuci make-up sebelum solat, tiba-tiba ada seorang wanita sedang memakai telekung warna kelabu (anak mangsa) datang dekat dan tanya saya baru sampai ke surau ni. Lepas tu ada seorang lagi pihak pengurusan pakai tudung hitam tanya benda yang sama.

“Dia (anak mangsa) beritahu suruh saya berhati-hati sebab telefon mak dia baru saja hilang kena curi. Saya cuak bila dia cakap macam tu. Mereka syak yang telekung pink (suspek) tu curi,” katanya.

Ciapan asal mengenai kejadian.

Suspek dikatakan sudah berada di surau itu dengan menunaikan solat dua rakaat secara kerap sejak dua jam lalu.

“Saya tanya mereka kenapa syak dia sebab kalau bukan dia yang curi memang kasihanlah bila kena tuduh. Mereka beritahu saya yang suspek duduk dari pukul 4 petang tak keluar lagi. Suspek asyik solat dua rakaat saja sampai naik hairan sebab lepas solat Asar mana boleh solat sunat.

Jamilah mahu menunaikan solat Asar ketika kejadian.

“Akak management tadi pergi tanya dekat suspek ni kenapa lama sangat solat tak keluar lagi. Suspek ni jawab dia nak tunggu Maghrib dengan suara kepit macam perempuan sebab cakap dengan nada perlahan dan lembut. Bila tanya suspek mengenai telefon bimbit yang hilang pun dia cakap tak nampak.

“Bila saya dah nak mula solat, tiba-tiba ada wakil lelaki dari pihak pengurusan pula datang sebab akak telekung kelabu ni buat aduan dekat dia. Suspek dipaksa keluar sebab dikatakan dia tu seorang lelaki menyamar masuk surau bahagian wanita. Semua orang dalam surau terus gelabah cari tudung masa tu,” ujarnya.

Kata Jamilah yang menetap di Gombak, Selangor, dia meneruskan kewajipan untuk solat kerana sudah hampir habis waktu Asar semasa kejadian.

Bila suspek jawab 'tak ada!' dengan nada marah baru keluar suara jantan.

JAMILAH

Namun Jamilah berkata dia sempat mendengar perbualan suspek yang merupakan seorang lelaki apabila ditengking oleh pihak pengurusan sebelum diarahkan beredar dari surau itu.

Lelaki itu kemudian diarahkan untuk menyimpan semula tudung yang dipakai ketika itu dan dibawa untuk tindakan lanjut oleh pihak atasan.

"Sebelum saya mulakan solat, saya sempat dengar 'perempuan bertelekung pink' ni kena marah dengan pihak pengurusan. 'Kau ada tinggal barang lain lagi tak?. Bila suspek jawab 'tak ada!' dengan nada marah baru keluar suara jantan.

Mangsa menggeledah telekung di surau untuk mencari kad sim yang didakwa dibuang oleh suspek.

"Bila selesai solat Asar, saya tunggu untuk tunaikan solat Maghrib terus. Saya nampak akak telekung kelabu tu tengah geledah bahagian tempat letak telekung.

"Tak lama lepas tu dia buat pengumuman. 'Assalamualaikum semua, maaf mengganggu. Saya minta awak semua berhati-hati. Kita baru je tangkap penjahat. Dia sebenarnya lelaki pakai telekung pink. Nama dia Muhammad Firdaus, tatu penuh dekat tangan dia. Dia letak telefon mak saya dalam spender (seluar dalam) dia. Sim kad dia campak dekat sini dan saya dah jumpa pun ni'.

"Saya pun terkejut dengan pengumuman mangsa tu jadi saya pergi tengok suspek. Terkejut bila saya nampak dia dengan penuh make-up. Sudahlah saya tak pakai tudung tadi depan dia masa nak nak pakai telekung. Saya nampak je sebelum kejadian tu tangan dia bertatu tapi saya bersangka baik mungkin dia mualaf. Yelah... kita datang surau nak solat bukan nak sibuk hal orang," jelas Jamilah menutupi kisahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain