suria

Warga emas gigih jual pulut kuning demi beli alat bantuan pendengaran, kesian tengok adakala sampai kebas tangan

Napisah kini menetap bersama anak perempuannya di Puncak Alam, Selangor sejak pandemik Covid-19 melanda.

USIANYA sudah mencecah 63 tahun, namun kudrat ibu kepada lima cahaya mata ini dalam mencari rezeki wajar menjadi inspirasi kepada orang muda.

Napisah Lateh sebelum ini merupakan penoreh getah, namun mula mengusahakan perniagaan pulut kuning selepas kematian suaminya akibat kanser hati pada tahun 2015.

Menurut anak bongsunya, Mohamad Syamsulrizal Othman, 27, dia sedih melihat warga emas itu mengerah tenaga, namun ada sebab kenapa perniagaan tersebut tetap diteruskan sehingga ke hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes merudum, ramai simpati tengok ibu gigih cari rezeki... bayi baru lahir tidur lena walau panas di gerai - “Anak macam faham keadaan saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi ibu dialisis, petang mak ayah setia tunggu pelanggan di pasar malam... realitinya ada hari tak untung langsung, si bongsu pun pernah tertidur di gerai

"Mak sebelum ni tak pernah berniaga. Dia menoreh getah di kampung. Lepas ayah meninggal, dia buat pulut kuning untuk hilangkan bosan, untuk elak selalu terfikir mengenai arwah. Dia dah biasa kerja, bila duduk rumah dia jadi bosan.

"Selain itu, mak juga nak tambah pendapatan. Dah 15 tahun mak ada masalah pendengaran. Dulu kerajaan pernah bagi alat bantuan pendengaran, tapi ia dah rosak. Kami juga pernah beli alat pendengaran baharu dan ia juga sudah rosak.

"Jadi mak nak berniaga dan kumpul duit untuk beli alat pendengaran yang baharu. Sebelah pun dah mencecah harga dalam RM3,500. Kalau nak beli sepasang, mungkin dalam RM7,000.

"Kami lima beradik pun ada niat nak beli sepasang terus untuk mak, tapi kosnya tinggi. Kalau ikutkan, kami tak bagi mak buat pulut kuning, tapi dia tetap nak teruskan. Kadang-kadang kesian tengok dia sampai kebas tangan," ujarnya yang senang disapa Syam.

syam7

Syam bersama ibunya.

Menurut pemuda itu, ibunya yang berasal dari Machang, Kelantan kini menetap bersama kakaknya di Puncak Alam, Selangor sejak pandemik Covid-19 melanda.

Syam yang masih bujang menetap berdekatan di Setia Alam, sekali gus memudahkan urusannya untuk melawat si ibu saban minggu.

Setiap hari tempahan mencecah 50 bungkus pulut kuning. Mak gembira bila ramai yang tempah.

SYAM

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, kami susah nak balik kampung. Jadi akhirnya mak datang ke sini dan menetap dengan kakak.

"Perniagaan pulut kuning ini turut dibantu kakak. Selain itu, mak dan kakak juga ada buat laksam Kelantan dan mi kari," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Syam turut berkongsi video memaparkan kegigihan ibunya membuat pulut kuning sehingga ia meraih hampir 30,000 tontonan di TikTok.

Penangan tular menyebabkan ibu dan kakaknya tidak henti-henti menerima tempahan saban hari, sekali gus membuka pintu rezeki buat mereka sekeluarga.

syam4

Napisah juga pernah ditipu pelanggan sebelum ini.

"Mak pernah kena 'game' dengan pelanggan. Orang tu tempah 40 bungkus pulut kuning, tapi sampai ke sudah tak datang ambil. Akhirnya mak sedekahkan pada jiran-jiran.

"Tapi Alhamdulillah, lepas video viral, tak sangka ramai followers TikTok yang nak tempah. Setiap hari tempahan mencecah 50 bungkus pulut kuning. Mak gembira bila ramai yang tempah, tapi dia segan bila tahu dirinya viral," ujar Syam lagi.

Bercerita lanjut, Syam yang kini bekerja dengan syarikat Jamumall Sdn Bhd mendedahkan ibunya juga pernah diserang angin ahmar pada 2019, namun kini keadaannya sudah kembali pulih.

syam8

Pulut kuning yang dihasilkan ibu Syam.

Dalam temubual sama, Syam mewakili ibunya menzahirkan ucapan penghargan buat netizen yang tidak putus-putus memberikan sokongan serta mengirimkan doa kesejahteraan buat mereka sekeluarga.

Tambah jejaka itu, ibunya menggunakan khidmat penghantaran Lalamove pada hari biasa, manakala Syam sendiri akan menghantar tempahan kepada pelanggan sekitar Selangor pada hari minggu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain