suria

Bisnes merudum, ramai simpati tengok ibu gigih cari rezeki... bayi baru lahir tidur lena walau panas di gerai - “Anak macam faham keadaan saya”

Video yang dikongsi Shanis meraih ratusan ribu tontonan menerusi aplikasi TikTok.

VIDEO memaparkan seorang peniaga kopi Hainan yang membawa bayinya ketika berniaga di gerai pada Rabu lalu meraih perhatian netizen.

Dalam rakaman itu, Wan Putri Shanis Wan Muhammad Shahrizal, 23, dilihat sedang mendukung bayi perempuannya, Wan Putri Aleesandra Wan Muhammad Afiq yang kini berusia empat bulan.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Shanis sempat memperincikan semula kisah di sebalik video tular itu yang meraih simpati ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga terkejut ramai mesej tanya nasi kerabu, rupa-rupanya diri dah viral sebab tak kedekut - “Kalau boleh nak jumpa depan-depan”

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai diserbu selepas pekerjanya dikesan iras aktor Thai... tuan badan terus Google, tonton drama lakonannya - “Dia lagi kacak, saya biasa saja”

"Pada hari itu, pekerja saya tak datang. Jadi adik ipar yang tolong saya berniaga. Saya pun dah biasa bawa anak ke gerai, cuma kebelakangan ini cuaca makin panas.

"Saya bawa dua kipas kecil yang menggunakan bateri. Tapi anak saya macam faham keadan saya, waktu panas pun dia boleh tidur. Lagi panas, lagi dia suka tidur.

"Dia tak meragam, cuma akan menangis sebab nak susu. Jadi saya akan susukan dia dalam kereta. Saya pun baru dua bulan berniaga gerai ini.

"Memang dah selalu bawa bayi ke gerai. Cuma kalau ada pekerja, saya hanya akan datang waktu petang saja biasanya," ujar Shanis.

shanis2

Shanis mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2020.

Menurut Shanis, dia tak sangka gerai yang terletak di Indera Mahkota, Pahang itu akan menjadi tular selepas video dia bersama bayinya meraih lebih 350,000 tontonan di TikTok.

Menurut Shanis yang baru mendirikan rumah tangga dengan seorang anggota polis pada 31 Ogos tahun lalu, dia berharap lebih ramai pelanggan akan hadir membeli kopi di gerai miliknya selepas ini.

Saya percaya, kalau kita rajin berusaha, pasti akan ada kemanisan di akhirnya.

SHANIS

"InsyaAllah, mungkin rezeki kat TikTok. Tiba-tiba viral. Saya pun tak sangka. Sebelum ni saya ada cuba untuk memperkenalkan gerai ini di Facebook, tapi macam tak berhasil.

"Mungkin selepas ini akan dapat pelanggan baharu dari TikTok. Ramai juga yang komen tanya lokasi gerai saya. Pada masa sama, ramai yang doakan agar saya terus dimurahkan rezeki.

"Saya tiada niat untuk viral, saya sekadar suka-suka rakam dan kongsi video itu," ujarnya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Mengenai dirinya, ibu kepada seorang cahaya mata itu mendedahkan dia sudah mula berniaga sejak zaman sekolah lagi.

shanis3

Bisnes coklat dalam balang yang diusahakan Shanis merudum sejak PKP.

Tambah Shanis, dia mengusahakan pelbagai jenis bisnes untuk mencari pendapatan sampingan dan menjadikan puterinya itu sebagai kekuatan utama dalam perjuangan.

"Saya memang suka bisnes sejak zaman sekolah lagi. Dah biasa buka gerai. Dulu berniaga kerabu Maggie, berniaga air dan macam-macam lagi.

"Kemudian sejak 2018 saya ada buat bisnes coklat dalam balang. Tapi bisnes merudum sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dulu terjual dalam 6,000 balang seminggu, sekarang dalam 1,000 balang saja.

shanis4

Shanis berharap rezeki akan berpihak kepadanya menerusi perniagaan baharu ini.

"Jadi saya juga terpaksa buat bisnes sampingan. Saya jual baju bundle, buat reviu di Instagram dan jual kopi Hainan. Anak yang jadi kekuatan saya," ujarnya.

Tambah Shanis, dia juga berharap peniaga di luar sana agar terus cekal dan tidak berputus asa dalam perjuangan mereka.

"Meniaga ni tak boleh tunggu, kena buat sekarang. Walaupun tak menjadi, kena cuba buat lagi.

"Kita kena percaya dengan rezeki Allah. Kena rajin berusaha. Saya percaya, kalau kita rajin berusaha, pasti akan ada kemanisan di akhirnya," ujar Shanis lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain