suria

Pengantin lelaki ‘teruja dan bahagia’ baca doa di sisi isteri sampai tak mahu bangun dari pelamin, mikrofon pun lupa!

Luqman membaca doa di majlis kahwin sendiri. Gambar kecil Luqman membaca doa di majlis-majlis.

BACAAN doa sering dilakukan sebelum memulakan sesuatu majlis bagi mendapatkan keberkatan dan kelancaran.

Kebiasaannya doa dibacakan oleh ustaz mahupun mereka yang berpengalaman, malah ada juga pengacara majlis yang mengambil tugas ini.

Bagi sebuah majlis perkahwinan, bacaan doa dilakukan sendiri oleh pengantin lelaki di pelamin, dengan isterinya turut berada di sisi mengaminkan doa bersama para tetamu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejuk hati tengok! Pemuda ini betul-betul ikut cakap mak... selawat, minta izin nurse nak baca doa dulu sebelum cucuk vaksin

ARTIKEL BERKAITAN: Rare habis! Warga emas usia 88 tahun kini pakar tulis jawi, doa atas kek... jangan risau dalam masa 15 minit boleh siap

Bercakap kepada mStar, pengantin lelaki, Luqman Hakim Kholis Kholid berkata, majlis perkahwinannya diadakan pada 22 Januari lalu di kediaman keluarganya di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pemuda berusia 23 tahun itu memberitahu, sememangnya rancangan awal mereka mahu menjemput seorang ustaz untuk membacakan doa sebelum bersanding di sisi isteri, Nursyahirah Herman, 23.

"Tapi bila difikirkan balik, kenduri kahwin ini adalah majlis saya. Kenapa tidak saya sendiri yang membaca doa?

"Antara sebab saya nak baca doa di majlis sendiri kerana sebagai pengantin, saya juga bakal menggalas tanggungjawab besar sebagai suami," katanya ketika dihubungi.

pengantin baca doa 4

Luqman (kiri) dan isteri bernikah pada 22 Januari 2022.

Antara petikan doa yang dibaca Luqman adalah: "Ya Allah ya Tuhan kami, permudahkanlah urusanku ya Allah. Berilah kekuatan kepadaku untuk menempuh segala ujian di alam perkahwinan ini ya Allah."

Membaca doa di majlis bukan perkara baharu buat anak kelahiran Bangi itu, yang bertahun-tahun berpengalaman melakukannya di majlis-majlis tahlil, kenduri kahwin dan bacaan talkin untuk pengebumian jenazah.

Luqman berkata, dia mahu mencuba bidang baharu dalam bacaan ayat-ayat suci al-Quran selain tugas yang dilakukannya kini sebagai guru tahfiz di sebuah sekolah di Kajang.

"Saya juga berpengalaman menjadi imam sambilan sejak tingkatan dua, terutama pada bulan Ramadan," katanya yang berkhidmat sebagai guru tahfiz sejak setahun lalu.

pengantin baca doa 1

Luqman merupakan guru tahfiz.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Luqman dalam kalangan para pelajar, katanya, doa yang dibacakan di pelamin itu antara lain memohon agar dimurahkan rezeki dan diberi kekuatan menghadapi segala ujian dan dugaan di alam rumah tangga.

Lulusan Diploma pengajian Islam dan Sains Kontemporari di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) Kuala Lumpur itu bagaimanapun merasai kelainan sewaktu membaca doa di majlis sendiri.

Kali ini rasa gementar kerana isteri tersayang berada di sebelah. Pada masa sama saya rasa bahagia dan teruja

LUQMAN HAKIM KHOLIS KHOLID

"Sebelum ini saya akan baca doa di tepi pentas iaitu di kedudukan pengacara majlis. Tapi kali ini saya mendapat lebih perhatian kerana membaca doa di pelamin di hadapan tetamu.

"Kali ini rasa gementar kerana isteri tersayang berada di sebelah. Dalam gementar, pada masa sama saya rasa bahagia dan teruja. Satu perasaan yang lain daripada lain,” tambahnya.

pengantin baca doa 3

Luqman (dua, kiri) dan isteri (dua, kanan) bersama keluarga.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia sebenarnya tidak menjangka untuk membaca doa tersebut di pelamin yang dilakukannya secara spontan.

"Bila MC (pengacara majlis) sebut nama saya menggunakan mikrofon untuk bacaan doa, saya yang baru duduk di pelamin terus baca doa tanpa berganjak ke tempat MC.

"Sudahnya saya baca doa tanpa sempat gua mikrofon dan perlu baca dengan kuat dalam majlis yang dilakukan secara tertutup di rumah.

"Mujur tetamu dalam kalangan keluarga terdekat yang berada di dalam rumah dapat mendengar bacaan doa saya... saya rasa lega kerana telah dipermudahkan, Alhamdulillah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain