suria

Angkara virus, ibu berkali-kali minta maaf! Majlis nak langsung esok, khemah dah pasang tapi anak tak dapat nikah seperti dirancang

Hanim reda majlis perkahwinannya ditangguh selepas ibunya disahkan positif Covid-19.

SIAPA yang tidak gembira bakal bergelar Raja Sehari dan melangsungkan majlis perkahwinan dengan meriah.

Namun kita hanya mampu merancang, tapi tuhan yang menentukan.

Itulah situasi yang perlu dihadapi pasangan pengantin ini apabila majlis nikah dan sanding yang tinggal sehari untuk dilangsungkan terpaksa ditangguh.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah selamat nikah, pengantin batal majlis kahwin saat akhir! Kesedihan terubat dapat jamu lauk kenduri buat mangsa banjir

ARTIKEL BERKAITAN: 8 kali tangguh kahwin, pengantin lelaki menangis 2 kali di majlis nikah sebelum buat kejutan kereta Mustang untuk isteri - "Dia nak pujuk, saya asyik down je"

Hanya kiriman mesej sebagai pengganti diri memaklumkan ibu kepada seorang pengantin disahkan positif Covid-19, malam sebelum pernikahan berlangsung.

Bercakap kepada mStar, pengantin perempuan, Nur Farahanim Awalludin berkata, dia sepatutnya bernikah pada Sabtu lalu (22 Januari) dan majis persandingan di kediaman keluarga di Felda Sungai Tengi Selatan di Kuala Kubu Bharu, Selangor diadakan pada Ahad.

Wanita berusia 31 tahun itu bagaimanapun memberitahu, ibunya mengadu tidak sihat pada Jumaat malam sebelum dibawa untuk pemeriksaan kesihatan di klinik.

"Mak cakap mata dia rasa panas dan rasa nak demam pada waktu Maghrib. Abah (panggilan bapa) bawa mak ke klinik dan ujian Covid-19 sahkan mak positif.

"Buat ujian kedua masih positif. Masa tu abah cakap jantung dia macam nak jatuh. Mak pula menangis, berkali-kali minta maaf kat kami," katanya ketika dihubungi.

kahwin tangguh mak covid 3

Khemah yang siap dipasang sebelum majlis.

Susulan berita sedih itu, dia yang lebih mesra disapa Hanim berkata, mereka sekeluarga membuat keputusan untuk menangguh majlis pernikahan dan persandingannya.

"Bila dapat tahu kena tangguh nikah, saya tak gelabah. Saya cuma fikir keadaan mak, apa yang penting adalah kesihatan mak.

"Kami beritahu keluarga tunang saya dan syukur Alhamdulillah mereka memahami keadaan yang menimpa keluarga kami.

"Mak kuarantin di rumah, mula-mula hilang deria rasa dan bau serta batuk. Tekanan darah agak tinggi, kami minta mak supaya berehat," ujarnya sambil menambah ibunya berusia 55 tahun.

kahwin tangguh mak covid 1

Hanim (kanan) bersama ibu (kiri) dan bapanya.

Merupakan kontak rapat, dia bersama 20 ahli keluarga lain termasuk bapa dan nenek masing-masing berusia 57 dan 92 tahun menjalani kuarantin di mana 16 daripada mereka kuarantin di rumah tempat berlangsungnya majlis perkahwinan yang dirancang.

"Kesemua kami buat ujian Covid-19 dan Alhamdulillah keputusan negatif setakat ini. Kami masing-masing pakai face mask di rumah," katanya.

kahwin tangguh mak covid 2

Antara persiapan untuk para tetamu.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, segala persiapan majlis telah dilakukan termasuk hantaran, manakala khemah dan pelamin telah dipasang lebih awal.

"Kami sempat beritahu katering yang majlis kahwin pada Ahad ditangguh. Mujur majlis nikah yang sepatutnya diadakan pada Sabtu tu masak sendiri, dan tak masak lagi.

Bila dapat tahu kena tangguh nikah, saya tak gelabah. Saya cuma fikir keadaan mak, apa yang penting adalah kesihatan mak

NUR FARAHANIM AWALLUDIN

"Tapi untuk goodies kira-kira 600 buku roti tu kami sedekahkan kepada orang-orang kampung selain dibawa ke masjid untuk agihan kepada jemaah," katanya.

Mengakui sebak dengan sokongan rakan-rakan yang memberi kata-kata semangat, Hanim yang bekerja di sebuah kilang reda dengan ketentuan takdir.

kahwin tangguh mak covid 8

Hanim dan tunang sepatutnya bersanding di pelamin pada 23 Januari.

"Saya tak menangis sebab terpaksa tangguh nikah, tapi saya menangis dengan sokongan rakan-rakan yang sama-sama mendoakan kesembuhan ibu dan kesejahteraan keluarga saya.

"Berdasarkan perbincangan keluarga, kami merancang untuk mengadakan majlis akan diteruskan pada 2 Februari ini, insya-Allah. Moga segalanya dipermudahkan nanti," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain