suria

Dulu 8XL kini 3XL! Wanita mangsa body shaming gigih berubah ketika berat hampir 200kg... kongsi kisah seksa nak ke tandas, kerusi patah

Foto kiri Aysha ketika berat badan hampir 200kg, kanan Aysha (kiri) bersama rakan menyarung baju lamanya.

APABILA baju atau seluar semakin longgar, pastinya ia merupakan antara petunjuk bahawa berat badan semakin berkurangan.

Bagi seorang wanita, perubahannya cukup luar biasa apabila baju yang pernah dipakainya sebelum ini boleh disarung dua orang!

Keceriaan jelas tergambar di wajahnya ketika memakai blaus labuh tersebut bersama seorang rakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dari 105kg ke 55kg! Yes, misi kurus berjaya... gadis puas hati dapat pakai kebarung terima skrol di pentas konvokesyen

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah! Diangkat, diusung ikut adat... pengantin Banjar tetap gemuruh, gayat walau berat badan dah turun 40kg dalam dua tahun

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan yang mahu dikenali sebagai Aysha Alam berkata, dia mengalami obesiti sejak usianya awal 20an.

Wanita berusia 30 tahun itu memberitahu, sehingga ke satu tahap, berat badannya mencecah hampir 200 kilogram (kg) sekali gus menyukarkan kehidupan hariannya.

"Berat badan berlebihan menyebabkan saya sukar nak bergerak. Berjalan selangkah pun susah, nanti sakit pinggang.

"Saya tak boleh keluar berjalan lama-lama, lepas seminit dah rasa semput dan kena duduk berehat dulu sebelum sambung berjalan," katanya ketika dihubungi.

satu baju dua orang 185kg

Aysha (kiri) bersama suami. Ketika ini berat badan Aysha 185kg.

Aysha berkata, apa yang paling menyulitkan keadaannya apabila setiap kali mahu menggunakan tandas.

"Kalau di rumah, badan saya tak muat masuk ke tandas. Sama ada kena ada bantuan, ditolak dari belakang atau saya terpaksa berjalan masuk secara mengiring.

"Lebih susah kalau berada di luar terutama tandas awam yang masih guna tandas cangkung. Saya tak boleh guna, jadi saya terpaksa tahan daripada membuang air kecil atau besar sehingga balik ke rumah," ujarnya yang berasal dari Kajang, Selangor.

satu baju dua orang 160kg

Aysha dengan berat badan 160kg.

Mengakui menjadi mangsa body shaming, dia yang sebelum ini memakai baju bersaiz 8XL sering menjadi bahan rakaman orang awam merupakan perkara biasa.

"Bila saya ke mana-mana, orang akan pandang saya. Mereka ambil gambar atau rakam video, dari jauh saya tahu mereka berkata-kata... kalau budak-budak tak usah cakap, mereka secara terang-terangan beritahu badan saya ni besar sangat," katanya dengan nada sebak.

Kalau kita tak ubah diri kita, siapa lagi nak ubah? Kita kena tentukan kehidupan kita. Jangan berhenti berusaha untuk menjadi yang lebih baik

AYSHA ALAM

Namun hatinya terdetik untuk bersungguh-sungguh menurun berat badan sejak bapanya dijemput Ilahi pada Oktober 2020 ketika usia 56 tahun akibat penyakit kencing manis.

"Sebelum arwah ayah meninggal dunia, ayah pernah kata saya dah kahwin tapi suami masih boleh terima keadaan saya. Sedangkan bukan semua suami boleh terima keadaan seperti saya.

"Ayah kata kalau saya tak buat sekarang, sampai bila? Kesihatan saya perlu dijaga dan saya kena lakukan dengan usaha sendiri," katanya yang mendirikan rumah tangga sejak 2014.

satu baju dua orang 115kg

Aysha berjaya menurunkan berat badan dari hampir 200kg kepada 115kg.

Peniaga produk kecantikan dan minuman detoks itu nekad untuk mengamalkan diet pemakanan dan pengambilan minuman detoks sebelum fasa seterusnya dengan melakukan senaman.

"Lepas dah berat badan makin susut, saya boleh berjalan 100 meter, 500 meter dan kemudian satu kilometer (km). Alhamdulillah sekarang dah boleh berjoging sejauh 5km.

"Sekarang boleh pakai high heels. Dulu bukan setakat risau tumit kasut patah, kerusi yang saya duduk kat kenduri kahwin pun pernah patah," katanya yang kini memakai baju bersaiz 3XL dan menunaikan solat dengan lebih selesa.

Belum puas dengan pencapaiannya, Aysha yang kini dengan berat badan 115kg akan meneruskan sasaran untuk mengurangkannya kepada 75kg.

"Kalau kita tak ubah diri kita, siapa lagi nak ubah? Kita kena tentukan kehidupan kita. Jangan berhenti berusaha untuk menjadi yang lebih baik," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain