suria

Hantar ibu pergi hospital sebab sakit perut, anak tak sangka itu pertemuan terakhir mereka... sempat beri pesan apa perlu dibuat jika ada berita mengejutkan

Ibu Amirul meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19 pada Ogos lalu.

KEHILANGAN insan bernama ibu sememangnya perit untuk digambarkan.

Hampir tiga bulan pemergian ibu ke negeri abadi, pemuda ini berkongsi rasa menerusi satu video di aplikasi TikTok.

Lambaian si ibu yang diletakkan di awal video, iaitu ketika berada di lapangan terbang sebelum berlepas mengerjakan umrah seolah-olah menghantar mesej untuk 'pergi' selama-lamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik reda ibu tak dapat ‘keajaiban kali kedua’... untuk penyakit Covid-19 - “Sebelum masuk wad dah tak janji akan balik dengan selamat”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu demam hanya nak rehat di rumah, bapa yakin bukan virus Covid-19... 6 beradik reda jadi yatim piatu dalam masa 10 hari - “Umi pergi sebelum naik ambulans”

Menurut Amirul Yik, ibunya, Suryani Ismail, 47, yang meninggal dunia pada 27 Ogos lalu selepas dijangkiti Covid-19, benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat dirinya dan keluarga.

"Dekat awal video tu saya masukkan rakaman yang diambil ketika ibu pertama kali nak pergi umrah pada Januari 2020. Dia melambai-lambai, seperti simbolik mahu pergi meninggalkan kami.

"Sebenarnya kami tak expect pun dia positif Covid-19. Pada mulanya, ibu sakit perut dan kami ingat sakit perut biasa dan tiada kaitan dengan Covid-19. Masa tu tak nampak langsung simptom lain.

"Lama-kelamaan, ibu lemah dan tak larat. Saya ajak juga pergi klinik buat check up... masa tu waktu menunjukkan pukul 12 tengah malam dah. Ibu buat ujian calitan sekali. Tapi keputusan ujian kena tunggu sehari.

"Tapi sebelum keputusan keluar, tak lama tu ibu mengadu tak tahan sakit dan ajak pergi hospital. Kami berat hati juga sebab memikirkan di hospital, ibu lebih terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 namun kami akhirnya akur kerana mahu ibu dapatkan rawatan," kata pemuda berusia 21 tahun ini.

MAK 1

Amirul bersama arwah ibunya sebelum berlepas untuk mengerjakan umrah pada Januari 2020.

Amirul berkata, keputusan ujian calitan akhirnya mengesahkan bahawa ibunya positif Covid-19.

"Memandangkan ibu positif, kami sekeluarga semua buat swab test dan hasilnya enam orang ahli keluarga termasuk saya positif. Hanya adik bongsu saja yang negatif. Tiga daripada kami dikuarantin di rumah termasuk saya, manakala tiga yang lain di pusat kuarantin.

"Dua hari pertama ibu di hospital, keadaannya nampak okay walaupun agak lemah. Kami selalu buat video call. Masuk hari ketiga, ibu perlukan bantuan oksigen 50 peratus.

MAK 2

Arwah ibu bersama bapanya.

"Tak lama tu, doktor maklumkan pihak mereka kena tidurkan ibu. Anak dan suami mana yang tak sedih. Kita tahu, kalau intubate, peluang antara hidup dan mati adalah 50-50," cerita anak ketiga daripada empat adik beradik ini.

Menurut Amirul, setiap hari doktor akan menghubungi keluarganya untuk memaklumkan perkembangan semasa ibunya.

Namun panggilan yang diterima pada petang 26 Ogos benar-benar membuatkan mereka tersentak dan diselubungi seribu satu perasaan.

Selepas satu-satunya adik ibu buat video call dengannya tengah malam tu, ibu hembuskan nafas terakhir.

AMIRUL YIK

"Masa tu kami sekeluarga ada dalam video call tu. Doktor beritahu situasi ibu ketika itu... kata doktor, paru-paru dan buah pinggang dah rosak, dan hampir pakai sepenuhnya bantuan oksigen. Doktor juga beritahu, mungkin malam tu ibu dah tak ada.

"Tipulah tak sedih. Takut kehilangan, terkejut... semua bercampur baur. Selepas satu-satunya adik ibu buat video call dengannya tengah malam tu, ibu hembuskan nafas terakhir. Mungkin ibu tunggu adik dia," katanya yang menetap di Cheras.

Tambah Amirul, sebagai salah seorang anak yang sememangnya rapat dengan arwah ibu, dia sendiri mengambil masa selama dua bulan untuk benar-benar bangkit daripada kesedihan.

"Saya ingat sebelum ibu masuk hospital, dia panggil kami adik beradik. Seolah-olah beri amanat. Katanya, kalau ada berita mengejutkan, misal kata dia 'pergi', jagalah satu sama lain, jaga ayah.

FAMILI

Gambar kenangan Amirul (kiri, belakang) bersama arwah ibu dan keluarga ketika hari raya baru-baru ini.

"Saya kongsi video tu sebenarnya hanya untuk kenangan. Dan saya nak sampaikan kepada semua, bahawa ibu adalah segalanya. Saya ingat kata-kata ibu, buat apa cari pahala kat luar, dekat dalam rumah pun boleh buat pahala. Apa-apa berkaitan ibu, semua pahala.

"Ramai juga share cerita sama, kehilangan orang tersayang. Dan mereka kata saya kuat. Sebenarnya saya tak kuat. Dua bulan saya ambil masa nak 'heal'. Rindu tu sampai sekarang ada lagi.

"Sesiapa yang masih ada mak dan ayah atau orang tersayang, ambillah seberapa banyak gambar atau video. Kalau mereka dah tak ada, maka tak ada dah momen tu," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain