suria

Anak terkejut bapa tiba-tiba ‘request’ nak pergi hospital di hari jadi, dua kali berlaku drama air mata

Sambutan hari jadi mengundang sebak bapa Atul sehingga menitiskan air mata.

SIAPA yang tidak gembira apabila hari ulang tahun kelahiran disambut oleh orang tersayang.

Namun bagi seorang bapa, perasaannya sebak sehingga menitiskan air mata ketika menjamah sepotong kek hari jadi.

Menerusi satu video yang dikongsi di aplikasi TikTok, dapat dilihat si anak cuba menenangkan hati lelaki itu dengan mengusap-usapkan tangannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda korbankan kerjaya di KL, sanggup balik kampung 'kerja' bertahun tanpa cuti jaga bapa ada penyakit 3 serangkai, bermacam sakit lain

ARTIKEL BERKAITAN: Penuh emosi... 'drama' bapa tahan pintu kereta menangis teresak-esak ketika anak mahu pulang undang air mata - "Masa salam abah nampak okay"

Berkongsi kisah di sebaliknya video itu, Quratu Quraidah Roslan berkata, rakaman dibuat ketika menyambut hari ulang tahun bapanya ke-54 pada 14 Oktober lalu.

Gadis berusia 21 tahun itu berkata, dia begitu rapat dengan bapanya yang dipanggil abah itu, terutama sejak pemergian ibunya pada Disember 2020 pada usia 54 tahun akibat kanser ovari.

"Sejak mak meninggal dunia, saya rapat dengan abah. Sebenarnya idea untuk sambut birthday abah dengan kek tu dibuat secara spontan.

"Ketika saya dan abah makan di restoran piza. Masa buat kejutan tu, abah pergi ke tandas. Tak sangka kejutan kek birthday buat abah sebak sampai menangis," katanya kepada mStar.

birthday abah 3

Atul (kanan) bersama bapanya di restoran.

Lebih mesra disapa Atul, katanya, tahun-tahun sebelum ini arwah ibunya yang merancang kejutan dan mengadakan sambutan hari jadi bapanya.

"Dari dulu arwah mak yang sambut birthday abah. Tahun ini lain, pertama kali birthday abah disambut tanpa mak. Saya tak nak abah sedih.

"Saya tak mahu abah rasa lain, sebab itu saya meneruskan sambutan birthday macam yang selalu mak buat sebelum ini,” ujarnya yang berasal dari Pontian, Johor.

birthday abah 2

Sambutan hari jadi bapa Atul yang terakhir disambut arwah ibu (kanan).

Sebelum kejutan kek hari jadi di restoran, jelas Atul, bapanya yang merupakan pemandu bas sekolah itu membuat permintaan untuk singgah ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru.

"Tiada siapa yang dimasukkan ke hospital masa birthday abah. Abah request sebab katanya nak imbau kenangan, sebab mak dulu selalu dirawat dan buat kimoterapi di hospital tu.

Selagi ada depan mata dan masih ada mak ayah, hargailah mereka. Gunakan masa dan peluang yang ada untuk menggembirakan mereka

QURATU QURAIDAH ROSLAN

“Kami pergi berdua. Tapi sebab tak ada siapa yang kami nak lawat dengan SOP (prosedur operasi standard) kerana pandemik, kami hanya lalu di perkarangan hospital saja.

"Masa kami lalu kat hospital, abah dah mula keluar air mata. Saya sendiri cuba tahan air mata sebab teringat juga masa mak warded berkali-kali, saya dan abah bergilir-gilir bermalam di hospital jaga mak," katanya sambil menambah arwah ibunya didiagnosis kanser sejak 2012.

birthday abah 5

Atul (kanan) bersama keluarga.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, bapanya disifatkan sebagai seorang yang penyayang, baik hati dan mudah sensitif serta tidak suka memendam perasaan.

"Abah tak suka pendam-pendam. Kalau abah sedih, dia akan tunjuk dia sedih atau menangis. Tapi abah akan okay sendiri, kadang-kadang je saya pujuk.

"Saya tenangkan abah, saya kata yang pergi tu tetap pergi, kita yang masih ada ni banyakkan doa buat mereka yang telah tiada," ujarnya yang bekerja di sebuah kedai serbaneka.

birthday abah 4

Kenangan... Atul (tengah) bersama arwah mak (kiri) dan abah.

Atul yang juga berniaga baju terpakai (bundle) berkata, perkara yang paling dirindu bapanya adalah bebelan ibunya di rumah.

"Biasalah perangai mak-mak, ada saja nak dibebelkan. Sekarang ni hanya saya dan abah tinggal berdua. Rumah tu sekarang sangat-sangat sunyi.

"Saya banyak rakam video abah sebab sebelum ni memang tak suka rakam, Jadi terkilan sebab tak banyak video dengan arwah mak.

"Apa yang saya cuba nak sampaikan, selagi ada depan mata dan masih ada mak ayah, hargailah mereka. Gunakan masa dan peluang yang ada untuk menggembirakan mereka," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain