suria

Order sup sebab ‘perut kembung banyak angin’, kasihan wanita ini dapat ‘hadiah’ seketul halia daripada peniaga - “Bergurau, tapi membantu”

Shaza (kiri) berkongsi pengalaman lucu menerima seketul halia dalam pesanan sup dagingnya.

LAIN yang diminta, lain pula yang diberi.

Menerusi satu perkongsian di laman sosial, seorang wanita tidak menyangka menerima seketul halia bersama sebungkus sup daging dan sebekas nasi putih yang ditempahnya.

"Letak halia atau halia potong pun boleh. Perut kembung banyak angin," demikian mesej yang ditulis wanita itu kepada peniaga menerusi pesanan di aplikasi servis penghantaran makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang masak keliru tempahan 'nasi goreng Pattaya tak nak telur', serba salah nak masak bimbang reviu 'tak cantik' - "Order pelik ni, terpaksa tunggu"

ARTIKEL BERKAITAN: Lepasan SPM order kek online untuk diri sendiri pada hari keputusan diumumkan, 'tagih' ucapan daripada staf premis

Berkongsi pengalamannya, Shazarin Taza berkata, kejadian berlaku pada Ahad malam selepas dia membuat pesanan dengan sebuah warung menggunakan aplikasi.

Lebih mesra disapa Shaza, katanya, mesej itu ditulis disebabkan dia mengalami gastrik, mungkin kerana lambat makan pada hari berkenaan.

"Sakit perut sebab gastrik dan kena buang angin. Saya perlu makan yang ada halia untuk bantu mengeluarkan angin dalam badan, tapi stok halia kat rumah dah habis.

"Jadi saya order sup daging berserta nasi, dan tulis pesanan untuk dimasukkan sekali halia sebagai ramuan dalam sup tu," katanya kepada mStar.

halia seketul 3

Pesanan daripada Shaza yang meminta halia potong dimasukkan dalam sug daging.

Wanita berusia 26 tahun itu menjelaskan bahawa ini bukan pertama kali dia membuat pesanan di warung berkenaan menerusi aplikasi penghantaran makanan.

"Sebelum ini saya dah order kat warung tu beberapa kali, termasuk sup. Tapi peniaga tu biasanya tak masukkan halia.

"Saya request pun sebab gastrik. Kalau orang order cili potong, biasanya akan dapat cili potong. Bila saya request, expectation saya adalah halia dimasukkan dalam sup.

"Memang tak jangka dapat halia seketul. Saya rasa kelakar dan gelak. Saya fikir tak apalah, saya potong halia tu dan masukkannya sendiri dalam sup.

"Selalunya saya sendiri akan masukkan halia dalam mana-mana sup sebab tak umph kalau tak campur dengan halia," ujarnya yang berasal dari Kajang, Selangor.

halia seketul 4

Tulisan bermaksud ketawa di belakang resit.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia menyedari terdapat tulisan di sebalik resit yang diterimanya bersama pesanan sup ayam dan nasi putih.

"Ada tulisan bermaksud ketawa di belakang resit. Tak pasti siapa yang tulis di belakang resit, tapi saya anggap ia sebagai satu gurauan," katanya.

Memang tak jangka dapat halia seketul. Saya rasa kelakar dan gelak. Saya fikir tak apalah, saya potong halia tu dan masukkannya sendiri dalam sup

SHAZARIN TAZA

Shaza berkata, gastrik yang dialaminya masih dirasai keesokan hari, dan dia mengambil baki halia yang dipotongnya untuk dijadikan sebagai minuman.

"Saya potong baki separuh halia seketul tu untuk buat air halia bercampur madu bagi membantu mengurangkan angin dalam perut.

"Walaupun halia seketul tu diberi dengan niat bergurau, tapi membantu saya juga untuk buat air halia. Alhamdulillah, keadaan saya bertambah baik," tambahnya.

halia seketul 2

Shaza tidak menganggap isu seketul halia itu sebagai serius.

Sehubungan itu, Shaza yang berkhidmat sebagai penyambut tetamu berharap tiada pihak yang mengambil serius terhadap perkongsiannya itu termasuklah mempertikaikan tindakan peniaga berkenaan.

"Saya sendiri sebagai pelanggan pun anggap ia kelakar walaupun tak kenal peniaga tu. Gurauan tu tiada penghinaan pun sebagaimana yang dianggap segelintir netizen.

"Selepas ini kalau saya masih nak request halia, saya akan tulis lebih detail dalam pesanan, beritahu halia minta letak dalam sup," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain