suria

Aduh, adik bikin kakak malu! Disangka hilang, rupa-rupanya tengah syok ‘pandu’ van ketika abang-abang TM sibuk pasang kabel

Gelagat lucu adik lelaki Fatihah yang 'acah-acah' memandu van kakitangan TM nyata menghiburkan netizen.

GELAGAT kanak-kanak kecil yang masih berada dalam fasa suka meneroka atau mempunyai imaginasi tinggi sememangnya menghiburkan.

Begitu juga halnya dengan adik lelaki kepada seorang gadis ini, yang bertindak terlebih berani dan 'advance' apabila acah-acah memandu van milik staf Telekom Malaysia (TM) yang sedang menjalankan tugas.

"Siapa ada adik nakal macam ni?" demikian tulis gadis berkenaan pada kapsyen video yang dimuat naik di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Earphone punca 2 beradik gaduh, abang si kaki sakat suka tengok adik bongsu bengang - “Dia masuk bilik mak, sambil menangis beritahu rindu Abang Danish”

ARTIKEL BERKAITAN: Comel tapi menyentuh hati! Rayuan adik minta kakak baru kahwin ‘balik sekarang’ bikin ramai sebak - “Mereka fikir dia anak saya”

Sehingga kini video berkenaan meraih melebihi 40,300 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen lucu netizen.

Menurut gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Fatihah itu, insiden lucu berkenaan berlaku minggu lalu ketika dua orang kakitangan TM datang ke rumahnya di Kampung Gelugor, Kuala Terengganu untuk memasang kabel internet.

"Ketika itu ibu dan ayah tiada di rumah kerana bekerja. Yang ada hanya saya dan adik-adik saja. Mula-mula saya nampak adik yang kelima, Nabhan, ada dekat belakang van dengan abang-abang TM tu.

"Kemudian abang-abang TM tu nak pasang dalam rumah dan saya pun jemput masuk. Bila mereka sedang buat kerja, saya dan adik adik-adik lain ralit perhati.

"Tak lama tu saya sedar Nabhan seorang je tak ada. Saya mencari-cari dan tanya kalau-kalau abang TM tu nampak sebab tadi Nabhan ada 'lepak' dengan mereka.

adik kakak 2

Aksi Nabhan yang sempat dirakam oleh Fatihah nyata menghiburkan netizen.

"Abang-abang TM tu tunjuk adik saya dekat mana. Punya terkejut nampak dia siap duduk dekat seat pemandu, sepupunya pula duduk sebelah. Malu dekat abang-abang TM tu, tak tahu nak sorok muka dekat mana sebab adik boleh buat van tu macam van sendiri," cerita gadis berusia 21 tahun ini.

Fatihah yang merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik berkata, adiknya yang berusia lapan tahun itu sememangnya mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

adik kakak

Fatihah tidak menyangka video gelagat lucu adik lelakinya menjadi tular.

"Mula-mula dia lepak je tengok abang-abang TM ni buat kerja dekat luar... agaknya terlebih mesra, dia naik pula van mereka.

"Nabhan ni kedua bongsu, dan memang nakal sikit. Dialah 'kepala', sepupunya yang sebaya tu ikut saja. Boleh pula dia jenguk dari tingkap van dengan muka tak bersalah.

Malu dekat abang-abang TM tu, tak tahu nak sorok muka dekat mana sebab adik boleh buat van tu macam van sendiri.

FATIHAH

"Memang abang-abang tu tak kisah dan mereka pun kata biarlah sebab budak-budak... tapi saya segan juga bila adik terlebih nakal ni," ujarnya yang juga lulusan Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

Bercerita lebih lanjut, Fatihah berkata adiknya menuruti arahannya dan keluar daripada van tersebut tidak lama kemudian.

adik kakak 1

Nabhan yang berusia 8 tahun merupakan anak kelima daripada enam adik beradik.

"Internet ini pun pasang untuk dia belajar... tapi dia pula boleh buat hal. Nak marah sebenarnya, tapi bila tengok muka dia, rasa nak tergelak pulak.

"Ibu bapa saya gelak je bila tengok video tu lepas viral. Saya saja muat naik dekat TikTok sebab lucu. Tak sangka pula mencuit hati ramai. Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang terhibur dengan video tu," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain