suria

Basah ketiak! Jurugambar gigih berlari rakam foto kahwin sendiri, tak sempat kejar ‘10 saat’... mujur ada penyelamat, dapat pengantin posing sakan

Aksi Asyrul berlari untuk sesi fotografi perkahwinannya sendiri.

DEK kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai cara dilakukan secara kreatif dalam norma baharu.

Begitulah juga yang berlaku buat seorang jurugambar yang mahu mengabadikan kenangannya sendiri sebagai pengantin.

Berbaju Melayu lengkap songkok dan samping, pengantin lelaki itu kelihatan berlari berulang kali untuk mendapatkan rakaman angle yang terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dah pesan pakai selipar, dia pakai tumit tinggi" - Suami pencinta alam bawa isteri 'kaki karaoke' photoshoot kahwin dalam hutan

ARTIKEL BERKAITAN: Demi foto kahwin 'tak buat-buat', jurugambar terpaksa layan sebak, angkut 3 'light stand' - "Ambil gambar keluarga, pengantin minta satu tempat dikosongkan"

Jurugambar berkenaan, Sheikh Mohd Asyrul Shikh Hatim memberitahu, dia dan pasangannya bernikah pada pagi 27 Julai lalu mengikut SOP yang ditetapkan.

Pemuda berusia 30 tahun itu berkata, pada mulanya dia berhasrat untuk menggunakan khidmat rakannya sebagai jurugambar untuk merakamkan foto perkahwinan mereka.

"Tapi disebabkan rakan saya pula di luar kawasan dan rentas negeri masih tidak dibenarkan, jadi saya memutuskan untuk mengambil sendiri saja gambar tu.

"Tiada konsep, semuanya dilakukan secara spontan. Lokasi fotografi juga berdekatan rumah pengantin perempuan di Kuala Krai, Kelantan," katanya kepada mStar.

pengantin berlari rakam foto 3

Antara momen 'berlari' yang sempat dirakamkan.

Lebih mesra disapa Asyrul, katanya, sesi penggambaran pada petang yang sama begitu mencabar kerana dia perlu memainkan dua peranan sebagai jurugambar dan pengantin.

"Mula-mulanya saya tetapkan posisi kami untuk bergambar, lepas tu saya set timer pada kamera yang dipacakkan. Bila dah tekan shutter, saya berlari ke arah isteri untuk bergambar.

"Lebih 10 kali juga saya berlari sepanjang sesi fotografi kira-kira tiga jam. Pada 10 minit pertama je ketiak saya dah basah," ujarnya sambil menambah mereka memilih kawasan kebun getah dan sungai sebagai lokasi penggambaran foto perkahwinan.

pengantin berlari rakam foto 2

Asyrul merupakan jurugambar perkahwinan secara sambilan.

Menurut jurugambar perkahwinan secara sambilan itu, momen paling tidak dapat dilupakan sewaktu merakamkan fotonya bersama isteri di sebuah jambatan dekat sebatang sungai.

"Saya pacakkan kamera di tepi sungai untuk mendapatkan sudut rakaman yang cantik. Tapi timer hanya 10 saat, sampaikan tak sempat saya berlari ke tengah jambatan untuk merakam foto.

Paling mencabar sewaktu saya dan isteri nak cari posing yang terbaik. Selama lebih setahun jadi jurugambar perkahwinan, saya hanya di sebalik lensa kamera je

ASYRUL

"Percubaan pertama gagal sebab saya hanya sempat berlari ke tepi jambatan bila 10 saat. Dari lokasi kamera ke tengah jambatan memerlukan lebih 15 saat.

"Tak sempat berlari tu satu hal, dari tempat kamera tu saya perlu berlari lagi. Keadaan tanah pula berbukit membuatkannya lagi sukar," kata anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu.

pengantin berlari rakam foto 5

Mengabadikan kenangan di atas jambatan.

Susulan itu, Asyrul berkata, dia kemudian mendapatkan bantuan kakak ipar untuk menekan shutter kamera bagi membolehkan rakaman foto di atas jambatan tersebut diteruskan.

"Mujur kakak ipar bantu, dapatlah juga saya dan isteri posing atas jambatan tu beberapa kali. Nampak je okay, tapi dah basah lencun masa tu," ujarnya secara berseloroh.

pengantin berlari rakam foto 6

Kebun getah menjadi antara lokasi fotografi perkahwinan Asyrul dan isteri.

Asyrul yang bekerja sebagai pembantu gudang akhirnya mengakui bukan mudah untuk pengantin melakukan sesi penggambaran foto perkahwinan.

"Paling mencabar adalah sewaktu saya dan isteri nak cari posing yang terbaik. Selama lebih setahun jadi jurugambar perkahwinan, saya hanya di sebalik lensa kamera je.

"Sekarang ni terlebih faham macam mana keadaan yang dialami pengantin apabila saya sendiri yang bergambar sebagai pengantin.

"Sangat mencabar, mujur sesi fotografi dibuat pada waktu petang... jadi cuaca agak beragin itu pun dah basah lencun. Tak dapat bayangkan fotografi waktu tengah hari," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!>

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain