suria

“Macam nak pengsan” - Baru nak sihat selepas habis berpantang dah kena Covid-19, wanita ini sekeluarga terpaksa berkampung di hospital

Natila, suami dan tiga anak mereka kini ditempatkan di HKL selepas empat daripada mereka disahkan positif Covid-19.

SEJAK kes Covid-19 mencatatkan peningkatan ketara kebelakangan ini, golongan kanak-kanak dan bayi juga tidak terkecuali terkena jangkitan virus berkenaan.

Apa yang lebih menyedihkan apabila ada di antara pesakit cilik ini bukan sahaja terpaksa menjalani ujian calitan (swab) malah ada yang mengalami simptom Covid-19 yang serius.

Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok, video yang memaparkan kanak-kanak lelaki dijemput oleh ambulans untuk dibawa ke hospital, benar-benar menyentuh hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 ahli keluarga positif Covid-19, wanita ini akui tak tahan pakai PPE ketika jaga nenek tahap 4... esoknya diri sendiri turut ‘tewas’ - “Dah pasang aircond masih panas”

ARTIKEL BERKAITAN: Enam sekeluarga positif Covid-19, masuk hospital sama-sama tapi takdir menentukan tiga pulang ke negeri abadi - “Mak lagi kuat dari saya”

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih satu juta tontonan, dengan beberapa video berasingan pula meraih ratusan ribu tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Natila Syuhada berkata dia, suami dan tiga anak kecilnya termasuk kembar berusia dua tahun, dan seorang bayi berusia dua bulan kini sedang ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas empat daripada mereka disahkan positif Covid-19.

"Mula-mula suami disahkan positif selepas buat ujian calitan (swab), kerana ada kes positif di tempat kerjanya. Suami dan seorang anak kembar kami, Adam Mateen dimasukkan ke hospital terlebih dahulu pada 21 Julai lalu.

"Masa tahu keputusan mereka positif, macam nak pengsan rasanya. Lebih-lebih lagi degupan jantung Mateen laju dan suhu badannya tinggi sekitar 39.3 Celcius.

"Tak lama kemudian ada ujian saringan dilakukan di kawasan taman perumahan kami, Taman Samudera di Gombak sebab dikategorikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di mana hasil ujian menunjukkan saya dan seorang lagi anak kembar, Adam Naufal turut positif.

"Alhamdulillah bayi saya, Jebat Raffael yang berusia dua bulan negatif selepas tiga kali ujian calitan. Saya, Naufal dan Raffael dimasukkan ke HKL pada 23 Julai dan kami lima beranak ditempatkan sebilik di HKL," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

covid kembar

Sepasang anak kembar Natila, Adam Mateen (kiri) dan Adam Naufal (kanan) yang mengalami demam dan suhu badan yang tinggi.

Menurut Natila, dia sama sekali tidak menyangka keluarganya berdepan dengan ujian hebat lebih-lebih lagi turut melibatkan anak-anaknya yang masih kecil.

"Saya tak keluar rumah sebab berpantang selama dua bulan. Baharu seminggu habis berpantang anak ketiga, disahkan positif pula. Suami sahaja keluar bekerja namun setiap kali selepas pulang, dia tetap mandi terlebih dahulu.

"Apakan daya, sehabis baik kami jaga prosedur operasi standard (SOP) tapi dipilih untuk hadapi ujian ini.

"Saya baru nak betul-betul sembuh selepas melahirkan anak, namun perlu kuat untuk anak-anak walaupun bukan calang-calang ujian. Boleh dikatakan, setiap malam tidur saya dan suami tidak pernah lena sebab memantau keadaan anak-anak,"ujar wanita berusia 33 tahun ini.

Saya pun down namun tengok kembali wajah anak-anak... dari situ saya peroleh semangat semula.

NATILA SYUHADA

IBU

Menurut Natila, dia kini mengalami simptom-simptom Covid-19 seperti batuk, selesema, sakit kepala, sakit tekak, demam dan hilang deria rasa.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Alhamdulillah walaupun kami berempat alami simptom, namun syukur keadaan bertambah baik di bawah pemantauan doktor. Memang tak dinafikan, kami suami isteri berdepan cabaran bila anak-anak kecil sakit.

"Budak-budak kalau sakit, memang meragam... susah nak tidur malam. Ibu bapa sekali tak boleh tidur. Selera mereka juga terjejas ini yang merisaukan sebab bimbang mereka bertambah lemah. Cara nak pujuk, kita berikan makanan kegemaran mereka.

"Memang ibu bapa kena kuat ketika berdepan situasi ini. Saya pun down namun tengok kembali wajah anak-anak... dari situ saya peroleh semangat semula," ujarnya.

Tidak menyangka perkongsian yang dibuat oleh adik iparnya tular, Natila turut menzahirkan rasa terharu dengan keprihatinan kaum keluarga, rakan-rakan dan juga netizen.

covid combine

Jebat Raffael yang berusia dua bulan disahkan negatif selepas tiga kali ujian calitan (gambar kiri). Adam Mateen dan Adam Naufal menunjukkan perkembangan positif selepas berada di bawah pemantauan doktor (gambar kanan).

"Terima kasih atas perhatian kepada keluarga kami. Bukan sahaja mereka mesej tanya khabar dan beri bantuan berupa makanan, malah ada yang murah hati beri bantuan kewangan sebab mahu juga menyumbangkan sesuatu dari jauh.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua. Tiada apa yang diharapkan melainkan kami sekeluarga diberi kesembuhan. Untuk orang di luar sana, jagalah diri dan ahli keluarga masing-masing.

"Kalau boleh, anggaplah setiap individu yang ditemui setiap hari itu positif Covid-19 supaya kita akan ambil langkah berjaga-jaga dengan teliti. Kalau terkena kepada keluarga sendiri, mungkin boleh faham apa yang kami sekeluarga sedang lalui," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain