suria

7 abang bujang kenyang sepanjang jalani kuarantin, beg sangkut di pintu gril ‘mewah’ dengan makanan... siapalah yang baik hati sangat ni?

Lukman dan rakan serumahnya terharu apabila jiran tetangga mereka memberikan makanan sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

REZEKI itu luas dan ia hadir dalam pelbagai bentuk.

Bukan hanya dari sudut wang ringgit, makanan yang melimpah ruah dan sebagainya, namun dikurniakan orang sekeliling yang baik hati juga merupakan satu bentuk rezeki.

Menerusi satu perkongsian seorang pemuda di TikTok dan Instagram, dia meluahkan rasa terharu kerana dikurniakan jiran yang baik dan sangat mengambil berat.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita pulang ke rumah terkejut lihat ampaian beralih, rupa-rupanya ‘kerja’ jiran jarang borak... CCTV bongkar kisah sebenar!

ARTIKEL BERKAITAN: “Susah nak dapat jiran baik macam ni” - Gadis Melayu terharu, semua tetamu dah balik, muncul jiran Cina tolong lepas kenduri

"Rumah kami dalam kuarantin, kemudian kami letaklah beg dan tulis nota 'rumah dalam kuarantin, letak di sini' sebab mudah kurier nak letak barang. Yang dapat makanan jiran-jiran semua bagi. Ya Allah baiknya semua... dapat jiran yang baik 1,001 rahmat yang terindah tau," tulisnya pada video yang dimuat naik di laman sosial berkenaan.

Apa yang menariknya, selain makanan, antara barangan yang diterima pemuda ini dan rakan serumahnya adalah air kelapa muda dan lemon!

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 188,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok selain dibanjiri dengan komen netizen yang turut sama menzahirkan rasa kagum dengan sikap jiran tetangga pemuda berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Ahmad Lukman Rusli berkata dia dan enam rakan serumahnya yang masih bujang mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin kendiri selepas dia dan seorang lagi rakan menjadi kontak rapat kepada satu kes positif Covid-19.

"Sebenarnya kami bertujuh baru sebulan setengah berpindah masuk ke apartment ini. Jiran-jiran satu aras dan satu blok pun tak berapa kenal rapat, hanya tegur-tegur kalau terjumpa di lobi atau sebagainya.

jiran baru 1

Lukman (kiri, duduk) bersama empat daripada enam rakan serumahnya.

"Nak dijadikan cerita, minggu lalu rakan sekerja saya yang duduk di blok berlainan jalani kuarantin dan saya serta seorang rakan serumah kerap bantu hantarkan makanan. Namun tanpa diduga, ujian calitan kedua mengesahkan dirinya positif Covid-19.

"Saya terkejut juga... walaupun dah ikut prosedur operasi standard (SOP), tapi kita kena ambil langkah berjaga-jaga. Jadi kami serumah sepakat untuk jalani kuarantin kendiri sejurus selepas dapat tahu iaitu pada Selasa lalu... ketika Hari Raya Aidiladha," ujar pemuda berusia 24 tahun ini.

Menurut pemuda yang senang disapa sebagai Lukman, mereka bertujuh yang menetap di Presint 16, Putrajaya sudah melakukan ujian calitan pertama pada 23 Julai lalu dan kesemuanya disahkan negatif.

"Bagaimanapun dalam tempoh itu sehingga ujian calitan kedua yang dijadualkan pada Rabu ini (28 Julai), kami semua masih lagi belum keluar rumah.

makanan 1

Antara makanan yang diberikan oleh jiran tetangga tujuh pemuda ini.

"Jadi baru-baru ini kami sangkutkan beg dekat gril pintu rumah, dengan niat nak memudahkan abang kurier hantar barang tak perlu tekan loceng dan hanya 'drop' dalam beg tu saja.

"Tapi tak sangka, letak untuk tujuan lain, tapi dapat benda lain pula. Mungkin mereka terbaca nota kami ketika lalu lalang. Mula-mula masa jengah isi dalam beg tu, terkejut sangat tengok macam-macam makanan.

"Mula-mula dapat kek batik, kemudian dapat nasi Arab pula. Banyak pula tu nasi Arab, sampai kami bertujuh kenyang. Mungkin mereka pun tak dapat anggar berapa orang duduk satu rumah, itu yang mereka bagi lebih," ujarnya yang merupakan seorang penjawat awam.

Sampai sekarang pun tak tahu gerangan jiran yang beri makanan ini semua.

AHMAD LUKMAN RUSLI

Tambah Lukman lagi, lebih membuatkan mereka terharu apabila ada jiran yang memberikan air kelapa muda dan lemon serta menulis nota agar mereka tidak lupa meminumnya sebagai ikhtiar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sampai sekarang kami masih lagi dapat makanan daripada jiran-jiran. Mereka hantar burger dan macam-macam lagi. Sampai sekarang pun tak tahu gerangan jiran yang beri makanan ini semua," ujarnya sambil menambah, mereka bertujuh dalam keadaan yang sihat dan tidak mengalami sebarang simptom Covid-19.

makanan 2

Lukman dan rakan-rakannya saban hari menerima pemberian daripada jiran mereka yang prihatin.

Tidak menyangka perkongsiannya tular, Lukman berkata dia memuat naik video berkenaan kerana mahu menzahirkan ucapan terima kasih kepada jiran-jirannya yang baik hati.

"Saya mewakili rakan-rakan nak ucapkan terima kasih sangat-sangat kepada jiran kami. Dalam masa yang sama, saya nak nasihatkan masyarakat dekat luar sana, sekiranya mempunyai jiran atau sahabat yang sedang berdepan situasi sama seperti kami, jadilah insan yang prihatin.

"Kita luaskan penggunaan hashtag jiran prihatin (#jiranprihatin). Buatlah baik dengan semua orang. Sekarang ini hari kita, mana tahu esok lusa pula hari mereka," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain