suria

Enam sekeluarga positif Covid-19, masuk hospital sama-sama tapi takdir menentukan tiga pulang ke negeri abadi - “Mak lagi kuat dari saya”

Pemergian tiga insan tersayang dalam sekelip mata amat mengejutkan Nazirah

CUKUP hebat dugaan yang menimpa wanita ini apabila dia terpaksa berdepan dengan pemergian tiga insan tersayang dalam sekelip mata.

Berkongsi kisah kepada mStar, Nazirah Jasmani berkata, bapanya Jasmani Adnan meninggal dunia pada 27 Jun lalu, diikuti dengan dua adiknya Nur Najihah, 30, pada 1 Julai, dan Nur Haziqah, 25, pada 7 Julai 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mak suruh conteng kaki dia...” – Zaman kanak-kanak suka lukis-lukis, kini graduan bioteknologi baru sedar... minat ilustrasi digital bawa rezeki sampingan

Wanita berusia 34 tahun ini berkata, kejadian seperti ini tidak pernah dibayangkan yang mana dia terpaksa berdepan dengan tiga kematian berturut-turut dalam masa yang singkat.

Mengimbas bagaimana keluarganya dijangkiti Covid-19, pada mulanya mereka yang tinggal serumah hanya mengalami demam biasa namun keadaan bertambah teruk selepas beberapa hari.

“Semua ahli keluarga saya dapat tahu positif Covid-19 bermula dengan demam. Kami ingatkan demam biasa, tapi makin lama rasa macam terus hilang deria rasa.

"Tujuh orang termasuk saya, ayah, ibu, dua adik, seorang anak saudara dan adik ipar, kami pergi klinik untuk buat swab test.



Nazirah berkongsi gambar raya sebagai pengubat rindu kepada arwah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

“Bila keputusan keluar, enam daripada kami positif. Hanya adik ipar (suami Najihah) sahaja yang negatif. Disebabkan ayah saya ada penyakit tiroid dan ketumbuhan dalam otak, ambulans datang ambil dia dulu, " katanya yang menetap di Muar, Johor.

Nazirah berkata keadaan dua adiknya yang dimasukkan ke hospital bagaimanapun semakin teruk dan dia cuba untuk mengumpul kekuatan apabila melihat ahli keluarganya bertarung nyawa melawan virus Covid 19.

“Masa kuarantin di hospital, saya dengan Najihah di bilik yang sama. Masa tu doktor ada kata, nak ‘tidurkan’ dia sebab tengok oksigen dan paru-paru dia dah teruk.

“Kalau ikutkan Haziqah paling lama ‘ditidurkan’ berbanding Najihah, kalau boleh doktor nak selamatkan dia sebab muda lagi, baru 25 tahun.

Menurut Nazirah, doktor memberi ubat antibiotik dan oksigen 'paling tinggi' kepada kedua-dua adiknya, namun paru-paru mereka sudah tidak mampu untuk menerima ubat tersebut lagi.

“Saya tahu doktor dah cuba sedaya upaya, tapi Allah lebih sayangkan mereka semua.

Orang lain tak rasa apa yang saya rasa. Bila berita kehilangan tu datang saya rasa gelapnya dunia ni. Hidup saya dalam masa dua minggu ni terus berubah.

NAZIRAH JASMANI

“Masa arwah ayah meninggal, saya dengan mak masih dekat wad lagi. Najihah dan Haziqah di ICU sebab mereka ‘ditidurkan’. Bila dapat tahu ayah dah tak ada, saya reda sebab ayah pun dah sakit lama. Saya tak boleh nak buat apa dah, " katanya.

Hanya mampu berserah dan berdoa, Nazirah mengakui ketika ini dia masih lagi dalam keadaan trauma apabila tiga insan tersayang pergi secara mengejut dari hidupnya.

WhatsApp Image 2021-07-08 at 3.14.22 PM

Semua hanya tinggal kenangan buat Nazirah dan ibunya, mereka akur dengan ketentuan Ilahi

“Kami kemudian dimaklumkan Najihah dah tiada. Saya dalam hati berkata dugaan apa ini sambil memikirkan nasib adik bongsu saya Haziqah yang tengah bertarung nyawa lagi.

“Setiap kali saya terdengar bunyi telefon atau nak tidur malam saya jadi takut. Mak saya reda dengan apa yang Allah uji, bayangkan suami dan anak-anak dia dah tak ada tapi mak lagi kuat dari saya, " katanya.

Cukup menyayat hati apabila dia terpaksa melihat, anak tunggal arwah Najihah yang kehilangan ibu tersayang disaat ianya masih kecil.

Walaupun perit untuk menerima kenyataan, Nazirah cuba untuk tabah dan turut menasihati masyarakat di luar sana agar sentiasa menjaga kebersihan diri, penjarakan sosial dan kekal di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar.

Kini Nazirah bersama ibunya, sedang menunggu abang ipar (suami Najihah) untuk memotong gelang kuarantin pada 10 Julai 2021, dan mereka akan melakukan sanitasi di rumah sebelum menziarahi ke perkuburan.

Ketiga-tiga tiga insan istimewa buat Nazirah, dikebumikan di Tanah Perkuburan Bakri Batu 6, Muar Johor.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain