suria

‘Pergi’ selepas 10 hari bertarung lawan Covid-19, suami sempat bertahajud walau menggigil - “Banyak mesej saya terima cerita kebaikan arwah”

Allahyarham Reza Adnin Roslan menghembuskan nafas terakhir pada 28 Mei lalu.

"SETIAP yang bernyawa pasti akan merasa kematian. Al-Fatihah buat suamiku, Reza Adnin Roslan," demikian kapsyen yang ditulis seorang wanita pada video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Dengan lagu 'Kemarin' dendangan kumpulan Seventeen sebagai latar belakang, ternyata video berdurasi 1.04 minit itu bisa mengundang sebak sesiapa sahaja yang menontonnya.

Menurut Intan Zainab Ismail Ikram, suaminya menghembuskan nafas terakhir pada 28 Mei lalu selepas 10 hari bertarung nyawa melawan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Saksi ajal di depan mata, seseorang dedah lelaki berkain pelikat dalam video tular tak lena tidur - “Mengalir air mata mangsa, seolah-olah tahu akan pergi selamanya”

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah positif Covid-19 dibawa ke Maeps 1 Syawal... anak menangis abah usahakan sesuatu tak dijangka dari dalam bas cermin gelap

Sudah lebih seminggu sejak pemergian suaminya, namun detik-detik terakhir bersama arwah tetap segar di ingatan ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia tujuh tahun ini.

Menurut Intan, segala-galanya bermula pada 18 Mei lalu apabila suaminya diserang demam.



Lambaian ketika di pusat kuarantin yang menjadi lambaian terakhir buat keluarga Intan.

"Selepas makan panadol, dia masih tak kebah. Pagi esoknya selepas Subuh, suami mengadu badannya lenguh-lenguh, sakit perut... saya buat bubur sebab dia tak selera makan. Selepas tu makan ubat lagi.

"Tapi demamnya tak juga kebah, malah suhu badan makin tinggi. Kami terus buat appointment untuk lakukan ujian calitan (swab)... demam sekarang bukan boleh buat main.

"Ini bukan kali pertama suami buat swab, rasanya dah kali keenam atau ketujuh sebab tuntutan kerjanya sebagai staf Petronas memerlukan dia buat swab setiap kali turun 'site'. Kebanyakan masa suami kerja dari rumah.



Allahyarham Reza merupakan seorang bapa yan penyayang terhadap anak tunggalnya.

"Dipendekkan cerita, sehari kemudian doktor telefon dan beritahu ujian swab kali ini 'sangkut'. Suami sangat positif, dia 'chill' saja terima berita tu," ceritanya yang menetap di Kerteh, Terengganu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Intan Zainab, pada 21 Mei, suaminya dimasukkan ke pusat kuarantin manakala dia dan anak tunggalnya pula melakukan ujian calitan kerana merupakan kontak rapat.

"Kami sempat bertemu seketika di pusat kuarantin tersebut sebelum 'berpisah' sementara. Anak meraung-raung sebab berpisah dengan baba dia. Sebelum pulang, kami saling melambai-lambai... siapa sangka, itulah lambaian terakhir arwah," cerita wanita ini.

Tiga hari ditempatkan di pusat kuarantin, suami Intan Zainab terpaksa dipindahkan ke sebuah Hospital Hulu Terengganu kerana keadaannya semakin memburuk.

"Pada Isnin, 24 Mei, keputusan ujian saya keluar dan saya turut disahkan positif Covid-19 sementara anak kami negatif.



Kenangan ketika ke tanah suci pada 2019.

"Tapi tak ada rezeki nak jumpa suami di pusat kuarantin sebab hari itu dia dah dipindahkan ke hospital dan saya hanya dimasukkan ke pusat kuarantin pada Selasa keesokannya. Anak terpaksa saya bawa sekali memandangkan ada kekangan tertentu, lagi pula suami pesan biarlah anak ada depan mata.

"Hari-hari kami berhubung. Kerap saya call dia tapi sekejap-sekejap setiap kali, sebab dia batuk teruk. Takut dia penat kalau banyak bercakap," ceritanya.

Sehinggalah pada malam Khamis, Intan Zainab berkata suaminya mengadu sukar untuk bernafas ketika mereka saling berhubung.

"Lebih kurang pukul 12 tengah malam, suami hantar mesej di WhatsApp memberitahu dia bergantung kepada tabung oksigen untuk bernafas. Tapi saya dah terlelap dan hanya baca mesej waktu Subuh, pagi Jumaat.

Doktor juga tunjukkan video wajah arwah... masa tu anak dah meraung panggil baba dia. Doktor pun ikut menangis sekali.

INTAN ZAINAB ISMAIL IKRAM

ISTERI

"Saya terus balas kembali mesejnya tapi hairan, tiada jawapan. Mungkin naluri isteri, saya rasa tak sedap hati. Lebih berdebar-debar bila teringat sekarang masih bulan Syawal. Saya fobia kerana dua adik beradik dan bapa meninggal ketika bulan Syawal juga sebelum ni.

"Saya tak henti-henti berzikir dan berdoa janganlah berlaku apa-apa sebab saya tak bersedia kehilangan lagi," ujarnya yang menjalankan bisnes dalam talian.

Cerita wanita ini, debaran yang dialaminya terjawab selepas menerima panggilan daripada pihak Hospital Hulu Terengganu yang memaklumkan suaminya terpaksa 'ditidurkan' dan sedang dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu.

Panggilan kedua yang diterima pada pukul 4 petang daripada pihak hospital hari yang sama akhirnya membawa perkabaran duka buat Intan Zainab.



Allahyarham Reza meninggal dunia selepas 10 hari dirawat kerana jangkitan Covid-19.

"Doktor dengan berat hati memaklumkan suami saya tidak dapat diselamatkan. Menurut doktor, suami dah meninggal dunia ketika dalam perjalanan namun mereka tetap berusaha juga... tapi gagal.

"Doktor juga tunjukkan video wajah arwah... masa tu anak dah meraung panggil baba dia. Doktor pun ikut menangis sekali. Saya hampir pitam dan menggigil-gigil. Saya gagahkan solat Asar... itulah solat paling panjang sebab saya sangat lemah," cerita wanita ini dengan tabah.

Tiga hari selepas pemergian suaminya, Intan Zainab akhirnya selesai menjalani tempoh kuarantin dan terus menziarahi pusara arwah sebaik sahaja dibenarkan pulang.

"Alhamdulillah semua urusannya dipermudahkan kerana ramai yang hulurkan bantuan. Rezeki arwah. Selepas pemergiannya, banyak sangat mesej yang saya terima cerita kebaikan arwah termasuk rakan satu wad.

"Mereka cerita arwah tak lekang dengan zikir, surah Al-Mulk malah sempat tahajud walaupun menggigil-gigil pada malam sebelum meninggal dunia.

"Sepanjang 12 tahun hidup dengannya, arwah tak pernah lalai tanggungjawab kepada ibu bapanya dan adik-adik. Duit gaji setiap bulan akan dihulur pada ibu bapa dulu. Dia pernah jual motor Ducati kesayangan semata-mata nak hantar mereka pergi haji.



Intan dan anak tunggalnya hanya dapat menziarah pusara Allahyarham Reza selepas tamat tempoh menjalani kuarantin.

"Dengan kawan-kawan juga langsung tak berkira dan memang sangat disenangi," katanya lagi.

Tambah Intan Zainab, meskipun berat menerima hakikat kehilangan teman hidup, namun dia reda dan bersyukur kerana menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat.

"Arwah tiada sejarah penyakit malah dia seorang yang fit sebab suka bersukan khususnya berbasikal. Kami sangat patuhi SOP namun tiada upaya kita halang takdir yang dah tertulis. Covid-19 hanya asbabnya.

"Anaklah penguat semangat saya. Saya koyak juga pada hari-hari pertama namun pujukan serta kata-kata anak buat saya tenang selain sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain