suria

Kereta idaman sejak Form 4 jadi milik jejaka ini 2 hari sebelum Syawal... siap ‘pakej’ tepung tawar, bacaan doa selamat - “Nak model lain harga RM1.2 juta, tak cukup bajet”

Arif segak berbaju Melayu bergaya bersama kereta baharu Porsche.

BUKAN baju raya, kasut mahupun beg baharu untuk digayakan sempena Aidilfitri kali ini.

Sebaliknya, seorang pemuda melaram dengan kereta baharu idaman ramai jenis Porsche!

Menerusi satu video yang dikongsinya di aplikasi TikTopk, pemuda berkenaan kelihatan segak berbaju Melayu hijau muda bersama kereta mewah itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak suka 'show off' sebenarnya... pemuda ini akui sengaja tunjuk harga baju, aksesori sampai RM40,000 di TikTok - "Semuanya ori"

ARTIKEL BERKAITAN: Tayang kereta baharu Mercedes Benz CLA, Danial Zaini akui tidak sengaja kongsi kepada umum - "Hasil kerja 10 tahun dapat juga beli kereta idaman"

Pemuda berkenaan, Arif Bunayya Syahrul berkata, dia membeli kereta Porsche model 718 Cayman pada 11 Mei, dua hari sebelum 1 Syawal.



Kereta Porsche model 718 Cayman.

Anak muda berusia 23 tahun itu memberitahu, dia berhasrat untuk membeli kereta idaman itu selepas memperoleh rezeki yang lebih dalam perniagaan yang diusahakannya.

"Alhamdulillah ada rezeki lain dalam bisnes e-dagang dan sebagai trader, jadi saya fikir mahu memberi ganjaran dengan memiliki kereta baru sempena raya kali ini.

"Saya memang nak sangat Porsche. Ada yang cadang beberapa model lain, tapi saya tetap memilih Porsche kerana pengendalian dan ketangkasannya," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Arif, dia mendedahkan bahawa impiannya untuk memiliki kereta model Porsche dipendam sejak belajar di tingkatan empat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Selepas lebih tujuh tahun, hasrat anak muda yang menetap di Kuala Lumpur itu akhirnya direalisasikan, yang mana kata Arif, model Porsche tersebut berharga kira-kira RM420,000.

"Ramai orang cakap saya ni luck (tuah) je. Tapi saya sedar lagi banyak kita usahakan, lagi banyak luck yang saya ada, insyaAllah," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.



Selain bacaan doa selamat, Arif mengikut adet Aceh iaitu menepung tawar.

Mengulas lanjut, usahawan muda berkenaan memberitahu bahawa ia merupakan kereta kedua yang dimilikinya selepas menggunakan kereta jenis Volkswagen Polo pada 2019.

"Bagi mendapat keberkatan dengan memiliki kereta baru ini, keluarga saya melakukan sesi bacaan doa selamat oleh ustaz.

"Memandangkan mak ayah saya berasal dari Aceh, Indonesia, jadi kami mengikut adat menabur tepung tawar yang menjadi tradisi orang Aceh," katanya.

Ada yang komen kat video kata kereta 'kayangan' bolehlah rentas sempadan. Tapi ingin saya perjelaskan yang 'kayangan' itu bukan terletak pada kereta, tapi sikap orang yang di dalam kereta

ARIF

Dalam pada itu, Arif yang mengusahakan bisnes produk tradisional jamu di Malaysia bagaimanapun akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk larangan rentas negeri dan daerah masih dikekalkan.

"Saya terkilan juga tak dapat 'lenjan' Porsche ni pergi jauh-jauh sebab masih dalam PKP. Jadi, saya bawa kereta ni pusing-pusing sekitar Kuala Lumpur je.

"Ada yang komen kat video kata kereta 'kayangan' bolehlah rentas sempadan. Tapi ingin saya perjelaskan yang 'kayangan' itu bukan terletak pada kereta, tapi sikap orang yang di dalam kereta," katanya yang merujuk istilah 'kayangan' yang diterjemahkan oleh netizen sebagai golongan berada atau kenamaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.



Arif bergambar di hadapan rumah keluarganya pada Aidilfitri.

Walau bagaimanapun, Arif berharap keadaan pandemik di negara ini bertambah baik dan tiada lagi sekatan pergerakan sama ada aktiviti merentas daerah atau negeri.

"Antara rancangan saya akan datang adalah pandu kereta Porsche ni ke Kelantan dan Johor untuk menyaksikan sendiri billboard bisnes saya yang baru dipasang di sana pada Ramadan lalu.

"Selain itu, saya juga meletakkan sasaran untuk memiliki kereta Porsche model 911 Turbo S. Patutnya model itu yang saya nak tapi tak cukup bajet sebab harganya RM1.2 juta.

"InsyaAllah kalau ada rezeki, saya akan pertimbangkan untuk memilikinya. Dapat kereta idaman Porsche yang pertama ni pun dah cukup bersyukur, memang puas hati," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain