suria

Isteri reda hanya 4 tahun dipinjamkan suami yang ‘terlalu baik’, pergi dengan mudah selepas banyak beri petunjuk - “Mata dah pejam, mulut seperti senyum”

Sungguhpun sedih, Nadia bersyukur kerana Allah menghadirkan anak lelaki, Tasnif yang wajah dan sifatnya sama seperti arwah suami.

TANGGAL 27 Disember 2019 pasti tidak akan dilupakan oleh wanita ini seumur hidupnya.

Pada tarikh itulah, suami kesayangan, Mohamad Tarmidzi menghembuskan nafas terakhir meninggalkan dirinya bersama seorang anak lelaki yang masih kecil.

Empat tahun melayari kehidupan berumah tangga, namun siapa sangka lelaki yang dikenali sejak enam tahun lalu pergi lebih awal kerana dijemput Ilahi.

ARTIKEL BERKAITAN: Soulmate beri pelukan terakhir di balkoni! Suami sukar percaya hilang isteri sekelip mata, tinggalkan dirinya bersama 6 anak - “Inhaler terjatuh, badan terus lembik”

ARTIKEL BERKAITAN: Baby ‘tunjuk diri’ selepas 3 hari kematian bapa, isteri terkejut suami rupa-rupanya ada ‘instinct’ - “Hari-hari dia paksa saya check”

Perkongsian beberapa video di aplikasi TikTok, termasuklah yang memaparkan kenangan bersama Allahyarham serta ketabahannya membesarkan anak tunggal, Mohamad Tasnif Naim yang berusia dua tahun setengah cukup membuatkan netizen tersentuh hati.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang dikenali sebagai Nadia itu berkata, sungguhpun peristiwa duka itu telah lebih setahun berlalu, namun segala-galanya masih dapat diingati dengan jelas.

"Saya kira arwah suami dah mula bagi 'hint' tiga bulan sebelum dia pergi. Arwah ada penyakit kencing manis dan selepas kami dapat anak, masalah kesihatannya sedikit ketara.

"Tiga bulan sebelum meninggal dunia, dia rajin ajak saya bersembang dan pillow talk. Dia kata Tasnif adalah harta yang dia tinggalkan untuk saya. Kemudian dia pesan jaga anak elok-elok kalau dia tak ada. Saya marahlah sebab dia cakap bukan-bukan," kata wanita berusia 25 tahun ini.



Arwah Mohamad Tarmidzi meninggal dunia ketika Tasnif berusia setahun tiga bulan.

Tambah Nadia, ketika mereka sekeluarga sempat meluangkan masa pulang ke kampung sebelah suaminya di Johor, dia sekali lagi berkelakuan sedikit aneh.

"Memang dia happy sangat dapat balik kampung. Kebetulan rezeki kami, abang ipar hadiahkan pakej penginapan. Ada sekali tu, dia request minta saya tangkap gambar dia seorang sambil merenung langit. Saya ikutkan saja.

"Selepas habis bercuti di Johor, saya diserang demam panas. Sebaik sahaja saya sihat, anak pula diserang demam. Dua hari sebelum meninggal, dia minta saya hantarnya ke tempat kerja.

"Saya sempat singgah beli sarapan. Dia minta bungkus mihun. Bila saya beri padanya, tiba-tiba dia ubah fikiran nak nasi lemak pula. Saya dan ibu saling berpandangan sebab pelik tapi tak fikir yang bukan-bukan," katanya yang menetap di Kuantan, Pahang.

Sehari sebelum meninggal dunia, menurut Nadia, suaminya mengadu kurang sihat namun sempat membelikannya barang yang sekian lama menjadi idamannya.



Salah satu petunjuk sebelum meninggal dunia, Allahyarham Mohamad Tarmidzi mahu bergambar sambil merenung lagit.

"Dia pegang tangan saya dan tanya saya teringin nak beli apa. Saya beritahu dah lama teringin beli beg make-up jurusolek terkenal, Datuk Alha sebab saya jurusolek sambilan.

"Dia beritahu, dia lega dapat belikan sesuatu untuk ditinggalkan kepada saya. Dia juga lega sebab saya ada kemahiran dan boleh berdikari," cerita Nadia.

Pada pagi tanggal 27 Disember, Nadia berkata suaminya meminta agar dia mengambil cuti dan menemaninya pergi ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Masa saya nak bersiap-siap, dia kata nak baring kejap. Ibu pun ada di rumah waktu tu. Tapi belum sempat bersiap, saya nampak keadaannya pelik. Saya panggil, dia masih menyahut perlahan, mata terpejam tapi mulutnya seperti senyum.

"Ingat dia bergurau. Saya panggil lagi, macam tu juga keadaanya. Saya blur, panggil ibu dan ajarnya mengucap. Tangannya dan mula sejuk. Saya berlari keluar panggil jiran. Jiran tolong buat CPR sementara ambulans sampai.

Belum sempat bersiap, saya nampak keadaannya pelik. Saya panggil, dia masih menyahut perlahan, mata terpejam tapi mulutnya seperti senyum.

NADIA

ISTERI

"Tapi tiada respon. Dia dikejarkan ke bahagian kecemasan dan tak lama lepas tu, doktor sahkan suami tak dapat diselamatkan. Rasa sedih teramat lagi. Tapi saya reda... meninggalnya sangat mudah, pagi Jumaat pula," katanya lagi.

Menurut Nadia, arwah suaminya meninggal kerana serangan jantung, implikasi daripada penyakit kencing manis yang dihidapinya.

Enam tahun mengenali hati budi masing-masing, Nadia menyifatkan arwah suaminya sebagai seorang lelaki yang terlalu baik.

"Arwah sangat penyabar, tak kedekut, tak suka berkata buruk tentang orang lain. Saya bertuah kerana dipinjamkan lelaki sebaik dia. Walaupun Allah ambil dia, namun gantikan dengan seseorang yang mirip dia.



Kenangan ketika mereka sekeluarga sempat meluangkan masa bercuti di Johor, tidak berapa lama sebelum Allahyarham Mohamad Tarmidzi 'pergi'.

"Muka dan perangai Tasnif, sebiji macam daddy dia. Dialah kekuatan saya. Saya akan pegang amanah arwah untuk jaga anak kami elok-elok.

"Saya tak sangka pun video dekat TikTok tu viral. Saya sekadar nak luahkan rasa rindu pada arwah. Terharu sangat bila dapat komen-komen positif malah ada yang mendoakan arwah. Terima kasih sangat.

"Mungkin ada yang sama macam saya, terasa perit apabila kehilangan orang tersayang. Tapi saya bersyukur sangat dikelilingi orang yang baik. Apa yang boleh saya kongsikan, hargailah insan tersayang sebelum kehilangannya," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain