suria

2.6 juta tontonan untuk video siang ikan kembung! Wanita dari utara tunjuk kepakaran selepas rajin tolong bapa di pasar sejak usia 11 tahun

Netizen meminta Sumaiyah mengajar mereka cara menyiang ikan.

PERCAYA atau tidak, masih ada lagi golongan wanita yang tidak tahu bagaimana cara hendak menyiang ikan.

Maklumlah, selalunya ikan yang dibeli di pasar raya pasti sudah siap disiang dan dipotong. Kita hanya perlu bayar di kaunter sahaja dan boleh terus dimasak selepas dibawa pulang ke rumah.

Namun, Sumaiyah Mohd Nasri, 24, seolah-olah membuka mata wanita dan gadis lain untuk belajar menyiang ikan apabila dia sering memuat naik video dirinya menyiang pelbagai jenis ikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda tergamam harga barang dapur cecah RM900, rupa-rupanya biji sagu harga ‘kayangan’! - “Biarlah orang nak kata kita berkira...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah dihina pakai Kancil berniaga pasar malam, sejak PKP timbul idea jual tempoyak sampai ke luar negara... kini mampu miliki Vellfire, hadiahkan Ford Ranger buat suami

Bermula dengan video cara menyiang ikan kembung yang mendapat 2.6 juta tontonan di aplikasi TikTok, dia menerima banyak komen daripada netizen yang meminta diberi tunjuk ajar.

Lebih mesra disapa Sumaiyah, anak kedua dari tujuh beradik itu sering membantu bapanya di kedai yang terletak di Pasar Besar Kulim sejak berusia 11 tahun.

"Selepas video ikan temenung (ikan kembung) tu, ada pula minta ajar cara nak siang ikan lain seperti ikan cencaru dan siakap. Jadi saya balas la menerusi video.

“Belajar biar tahu, kalau tak pro takpe. Nanti terdesak kena siang ikan tak la hancur dibuatnya ikan tu. Boleh la tunjuk hebat lebih-lebih lagi yang baru berkahwin, dah lama sikit minta suami pula yang buat,” katanya kepada mStar.

Sumaiyah membantu bapanya di pasar sejak berusia 11 tahun lagi.

Menariknya perkongsian Sumaiyah, dia memuat naik video cara menyiang pelbagai jenis ikan dengan menggunakan teknik mudah agar orang di luar sana dapat cuba mengikuti setiap langkah yang diajar.

Menerusi video yang tular itu, dia hanya menggunakan gunting untuk membuang isi perut ikan temenung atau juga dikenali sebagai ikan kembung di bahagian utara tanah air.

"Saya tak beritahu sesiapa pun masa upload video tu, tapi bila dah viral dan orang mula bertanya dekat mak dengan adik baru saya beritahu ayah.

"Takut juga kalau ayah marah, saya nak delete la. Tapi ayah kata biarkan je," katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Ibu bapa saya mengajar, kalau mahukan sesuatu kena usahakan sendiri kerana kami ini bukan dari keluarga yang berada.

SUMAIYAH MOHD NASRI

Walaupun Sumaiyah kini mempunyai pekerjaan tetap di sebuah kilang, dia masih lagi menolong bapanya pada hujung minggu.

Jika pada hari dia bekerja dan ketika bapanya sibuk dengan urusan sebagai seorang siak di masjid, adik-beradik yang lain akan bergilir-gilir membantu menguruskan kedai di pasar.

Anak kedua dari tujuh beradik ini bergilir-gilir dengan adik beradiknya berniaga di pasar.

“Ibu bapa saya ajar, kalau mahukan sesuatu kena usahakan sendiri kerana kami ini bukan dari keluarga yang berada.

“Jadi saya menolong ayah di pasar untuk mencari duit lebih. Dia yang mengajar cara nak siang ikan,” katanya sambil menambah bapanya Mohd Nasri Nordin, 50, telah 20 tahun berniaga di situ.

Menurut Sumaiyah, sejak dahulu lagi memang bapanya sahaja yang bekerja untuk menyara keluarga dan kini tibalah giliran dia dan adik- beradik yang lain membantu bagi meringankan beban bapanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain