suria

Hasil didikan arwah ibu, pemuda tak kekok buat kerja rumah... siap share video memasak di TikTok, ambil tempahan biskut - “Ramai DM nak berkenalan tapi belum jumpa jodoh”

Ahmad Syafiq tidak kekok melakukan kerja rumah sebagaimana perkongsian di TikTok.

KERJA-KERJA rumah seperti mengemas, mengemop, mencuci pinggan mangkuk dan kain serta memasak sememangnya sinonim dengan kaum Hawa.

Boleh dikatakan hampir 100 peratus tanggungjawab menguruskan rumah tangga terletak pada bahu wanita.

Namun jangan tak tahu, ada juga segelintir kaum Adam yang tidak kekok apabila melakukan kerja-kerja rumah, seperti pemuda ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Masak, cuci kain tugas siapa? Pengantin diuji soalan ‘cepu emas’ sebelum tok kadi beri sijil nikah... isteri kerut dahi, terkejut jawapan suaminya tepat!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik tengok isterinya, polis balik buat risikan selepas syak ada ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga – “Diam-diam saya masuk rumah...”

Menerusi perkongsian video di TikTok, kelihatan pemuda ini tangkas melakukan kerja-kerja rumah seperti memvakum, mengemop, memasak juga mencuci pinggan mangkuk.

"Kalau awak kahwin dengan saya, semua ini saya buat untuk awak. Tapi masalahnya tak jumpa lagi jodoh saya dekat mana. Ada yang nampak tak?" demikian kapsyen pada video yang sehingga kini meraih hampir 150,000 tontonan itu.



Ahmad Syafiq tidak kekok ketika berada di dapur malah memuat naik video pelbagai masakan Melayu di TikTok.

Tak 'propa' atau sekadar konten untuk menarik tontonan semata-mata namun hakikatnya pemuda ini bukan saja lincah di dapur malah bisa mengambilalih kerja-kerja wanita.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemilik nama Ahmad Syafiq Ahmad Nadzri ini berkata dia sememangnya terbiasa melakukan kerja rumah kerana sudah diterapkan sejak kecil.

"Benda-benda basic ini semua dah biasa buat daripada kecil... arwah ibu yang ajar. Walaupun benda basic, tapi ramai yang susah nak buat lebih-lebih lagi lelaki.

"Jadi secara tak langsung, video ini boleh memberi contoh kepada orang luar sana bahawa lelaki boleh juga buat. Tak semestinya kena letak 100 peratus atas bahu wanita atau isteri semata-mata.



Pemuda berusia 23 tahun ini sudah terbiasa melakukan kerja rumah dari kecil kerana dididik oleh arwah ibunya.

"Lebih-lebih lagi kalau hidup berumah tangga, kenalah saling tolong menolong dan bekerjasama," kata pemuda berusia 23 tahun yang juga pekerja sektor swasta ini.

Selain video tersebut, kebanyakan video yang dimuat naik oleh jejaka ini di aplikasi TikTok adalah perkongsian resepi masakan yang kebanyakannya selera kampung.

Bukan itu sahaja, jejaka ini juga mempunyai kemahiran membuat kek dan biskut malah turut menerima tempahan, sekaligus membuktikan dia sememangnya lincah di dapur.

Saya selalunya masak lauk kampung. Resepi yang dikongsikan tu semua yang mudah-mudah.

AHMAD SYAFIQ AHMAD NADZRI

PEKERJA SWASTA

"Kalau bab dekat dapur, memang ikut arwah ibu. Saya memang suka tengok dia masak. Bila arwah sudah meninggal dunia pada 2015, sedikit sebanyak dapat juga praktikkan ilmu tu. Dan kini saya tinggal dengan kakak, saya ceduk ilmu dari kakak pula.

"Saya selalunya masak lauk kampung. Resepi yang dikongsikan tu semua yang mudah-mudah. Saya cuma nak senangkan orang, contohnya kalau yang tak boleh memasak sebelum ini, tapi bila tengok video tu sedikit sebanyak mereka boleh 'tangkap'.

"Kalau biskut, saya selalu terima tempahan biskut semperit, tat nenas dan kek marble. Saya berterima kasih sangat kepada kakak kerana dialah yang cadangkan saya kongsi resepi di laman sosial, hingga dapat sambutan," ujar anak bongsu daripada empat adik beradik ini.



Ahmad Syafiq kini tinggal bersama salah seorang kakaknya di Taiping, Perak.

Sementara itu ditanya sama ada dia menerima mesej daripada wanita yang ingin berkenalan selepas perkongsian video berkenaan, Ahmad Syafiq mengakui perkara berkenaan.

"Nak kata ramai tu, ada juga yang mesej di Direct Message (DM). Cuma nak jumpa yang betul-betul 'match' tu mungkin susah sikit.

"Bagi saya, cukuplah sekadar wanita yang bakal jadi isteri nanti ada sama minat dengan saya iaitu suka memasak dan pandai menguruskan rumah tangga," kata jejaka yang menetap di Taiping, Perak ini lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain