suria

Seram tapi lucu! Gadis dan rakan cabut lari selepas dengar bunyi misteri di restoran, gangguan ‘ikut’ sampai lif ofis - “Lampu dekat kaunter berkelip-kelip”

Tangkapan skrin (screenshot) daripada video yang dikongsikan Nina mengenai kejadian misteri di restoran berkenaan.

SERAM tapi lucu!

Itulah perkataan yang sesuai bagi menggambarkan situasi yang dialami oleh gadis ini ketika sedang menikmati makanan tengah hari di sebuah restoran makanan segera popular, baru-baru ini.

Menerusi video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, gadis tersebut sempat merakam seketika detik-detik di mana restoran berkenaan bertukar kecoh selepas bunyi bising misteri muncul dari bahagian atas siling.

ARTIKEL BERKAITAN: Telekung, tudung dicampak di restoran jadi misteri... Patutlah Ana Burger tanggung rugi!

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula misteri tapi ending kisah 'penjaga' rumah halau benda tak baik guna penyapu lain macam - “Esoknya jadi botak... tak tahu nak gelak ke seram”

"Gangguan jin tanah mana ni, tengah makan tetiba dari belakang bunyi macam tu sampai lampu berkelip. Sumpah seram!" demikian tulisnya pada kapsyen video tersebut.

Video yang dimuat naik gadis tersebut ternyata mengundang perhatian ramai netizen apabila meraih 1.7 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam selepas dimuat naik!

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nina berkata kejadian misteri tersebut berlaku pada Isnin lalu sewaktu dia dan beberapa rakan sekerja menikmati makanan tengah hari di restoran berkenaan yang terletak di Kuantan, Pahang.



Nina (kanan) dan salah seorang rakannya menyaksikan sendiri situasi misteri yang berlaku di restoran berkenaan sewaktu sedang menikmati makanan tengah hari.

"Ketika itu dalam pukul 1 tengah hari... masa itu saya dan rakan-rakan tengah makan tapi dah nak habis. Entah secara tiba-tiba terdengar bunyi bising dari belakang.

"Bunyi tu agak kuat sampai kami tertanya-tanya sendiri apa yang berlaku. Saya ingat ada orang bergaduh. Yang kawan saya pula fikir ada orang diserang histeria.

"Dari belakang, bunyi misteri itu semakin kuat dan seolah-olah bergerak menuju ke depan. Masa itulah nampak lampu dekat kaunter tu dah berkelip-kelip... debu-debu serta serpihan dari atas pun dah jatuh sikit-sikit," kata gadis berusia 21 tahun ini.

Tambahnya, ketika itu dia serta beberapa pelanggan lain sudah mula takut dan mereka bertindak untuk keluar dari restoran tersebut dengan segera kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.



Nina (dua, kiri) dan rakan-rakannya tidak sempat menghabiskan makanan kerana mahu menyelamatkan diri.

"Masa tu memang nampak muka pelanggan lain dah cuak juga. Kemudian ada seorang staf restoran minta pelanggan keluar. Tapi yang saya hairan, ada seorang staf dekat situ elok je sedang susun ayam goreng macam tiada apa yang berlaku.

"Pelik juga tapi tak sempat nak fikir panjang... kami terus keluar untuk selamatkan diri dahulu. Nasib baik memang makanan nak habis dah. Boleh dikatakan hampir enam minit juga bunyi bising tu... tapi saya dan kawan-kawan tak tunggu lama. Kami terus pulang sebab nak masuk kerja semula.

"Dalam perjalanan pulang ke pejabat, tangan saya masih menggigil sebab teringat kejadian tadi. Sampai dekat ofis, lif pula buat hal tak nak naik walau dah tekan banyak kali. Lagilah cuak," katanya yang sudah bekerja sebagai penjawat awam sejak setahun yang lalu.

Nasib baik memang makanan nak habis dah. Boleh dikatakan hampir enam minit juga bunyi bising tu.

NINA

PELANGGAN

Menurut Nina, dia tidak tahu apa kesudahan kisah di restoran tersebut selepas meninggalkan lokasi, malah sehingga kini dia tidak mengetahui punca kejadian tersebut.

"Kami ada cerita pada rakan-rakan ofis selepas itu... tapi mereka buat lawak pula. Kebanyakan netizen pun tinggalkan komen-komen lucu selepas saya muat naik. Terhibur juga baca komen mereka.

"Ada yang siap buat dialoglah... ada yang buat tekaan macam-macam. Tapi memang serius seram... bagi saya seram yang pelik. Kalau berada di tempat kejadian, memang terasa seramnya. Tapi tengok rakaman di video, tak rasa seram sangat sebab bunyi bising tak nyata.



Antara komen lucu daripada netizen pada perkongsian video tersebut.

"Kebanyakan komen positif sebab banyak yang terhibur. Hanya ada segelintir dua saja komen negatif. Mereka kata 'sikit-sikit kaitkan jin' sebab kapsyen saya ada letak perkataan jin.

"Tapi ada seorang rakan saya yang melalui restoran tersebut tidak lama selepas kejadian itu. Katanya nampak macam dah okay sebab ada pelanggan makan di dalamnya. Apa pun, saya serik dah nak pergi ke restoran tu semula," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain