suria

Hobinya dianggap membazir, tapi pemuda ini tak mengalah hingga 4 kali bergelar juara yo-yo Malaysia! Gigih buat crowdfunding nak cukupkan duit bersaing di peringkat dunia!

Hassan berjaya membuktikan hobi bermain yo-yo mampu membawa seseorang ke peringkat yang lebih jauh.

SEIRING dengan perkembangan dunia moden, permainan yang pernah menjadi trend satu ketika dahulu seolah-olah kian dilupakan apabila wujudnya permainan secara dalam talian (online gaming).

Bagi mereka yang lahir sebelum generasi internet, banyak permainan menjadi rutin apabila berkumpul bersama rakan-rakan, antaranya permainan yo-yo.

Namun begitu ada sesetengah yang beranggapan permainan yo-yo hanya sekadar membuang masa atau duit, malah tidak membawa apa-apa makna seperti yang pernah dialami oleh pemuda ini ketika dia mula berjinak-jinak dengan permainan tersebut lebih sedekad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan Brazil, tapi di Teluk Cempedak! Aksi freestyle pemuda timang bola imbas aura Joga Bonito... macam melekat di kaki - “Rancang nak buka kelas”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pemuda beranikan diri timang bola di tengah jalan... ramai terpukau, ada yang bitter - “Mungkin rakyat negara kita belum bersedia...”

"Aku ingat lagi masa mula-mula main yo-yo, mereka kata aku tak boleh jadi champ Malaysia. But hey look at me now, 4 times Malaysia champ," demikian ciapan pemuda tersebut di laman Twitter.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Hassan Marialis berkata dia mula berjinak-jinak dengan permainan yo-yo ketika berusia 16 tahun selepas menonton sebuah rancangan kartun.

"Bermula dari situ, saya mula membeli yo-yo. Ketika itu masih belum ada video di YouTube, saya dan rakan-rakan belajar main daripada diagram di internet ataupun beli cakera padat (CD) saja.



Hassan pernah beberapa kali mewakili Malaysia ke pertandingan yo-yo peringkat Asia dan dunia.

"Selebihnya belajar sendiri untuk fikir trick dan sebagainya. Kemudian barulah perlahan-lahan kembangkan kemahiran," katanya yang berusia 33 tahun ini.

Menurut Hassan, ketika peringkat awal, dia tidak mendapat sokongan daripada kedua ibu dan bapanya kerana mereka merasakan ia sebagai hobi yang membazir kerana harga permainan itu sendiri boleh mencecah sehingga ratusan ringgit.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah menerima kata-kata kurang enak daripada segelintir pihak yang memandang rendah dengan hobinya itu.

"Bagaimanapun, kini sudah hampir 16 tahun berkecimpung dan menjadi yo-yo performer sepenuh masa, Alhamdulillah ia telah membawa saya ke pertandingan di luar negara mewakili Malaysia," katanya yang pernah bergelar juara pertandingan yo-yo di Malaysia sebanyak empat kali.



Antara kenangan manis Hassan apabila berjaya membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat Asia pada 2006, dan dua kali ke peringkat dunia iaitu pada 2015 dab 2018.

"Sepanjang 16 tahun ini, semua perbelanjaan adalah atas hasil usaha sendiri. Bagi saya, kenangan dan pengalaman yang diperoleh itu lebih mahal harganya daripada apa yang telah dilaburkan.

"Dalam tempoh itu, banyak pengalaman manis... paling saya ingat pada 2015 ketika wakil ke peringkat dunia di Jepun. Waktu itu saya ada isu kewangan. Tiket dah beli, dan wang yang ada lepas untuk penginapan.

Bagi saya, kenangan dan pengalaman yang diperoleh itu lebih mahal harganya daripada apa yang telah dilaburkan.

HASSAN MARIALIS

PEMAIN YOYO

"Tapi duit makan dan untuk daftar tak lepas. Saya gamble hebahkan crowdfunding dekat Facebook... hanya untuk tampung dua perkara tu saja. Alhamdulillah, syukur sangat ramai yang support.

"Cita-cita yang saya tanam dalam tempoh 10 tahun berjaya direalisasikan juga dan berjaya bawa bendera Malaysia ke persada dunia. Saya kira itu pengalaman manis bercampur sedih," ujarnya.

Satu lagi kenangan manis yang tak mungkin hilang daripada ingatannya adalah mendapat peluang yang ditunggu-tunggu iaitu dijemput menyertai satu pertandingan daripada pihak penganjur sendiri.



Hassan mewakili Malaysia ke pertandingan yo-yo peringkat dunia di Jepun pada 2015.

"Pertandingan ni bukan calang-calang sebab ia tak terbuka kepada pendaftaran sebaliknya hanya jemputan penganjur. Itu pun saya tunggu lebih 10 tahun juga. Bangga sebab tiada lagi orang Malaysia dapat jemputan sebelum ini. Alhamdulillah, akhirnya berjaya dapat tempat kedua," ujarnya lagi.

Menurut Hassan, melihatkan pencapaian demi pencapaian yang berjaya diraih, dia mengakui perkara tersebut sedikit sebanyak mengubah persepsi ibu bapanya.



Selain menjadi pemain yo-yo, Hassan turut membuka sebuah kedai permainan, Gaming Culture & Collectibles (GCC) di Klang.

"Yo-yo ni permainan yang sangat fun, dia trigger otak kita untuk berfikir sebab kita kena fikirkan rutin dan trick baharu.

"Bagi saya, ibu bapa perlu jadi pendorong untuk setiap minat atau hobi anak-anak supaya mereka tak ada terjebak dengan perkara yang bukan-bukan.

"Beri mereka sokongan, mana tahu dengan hobi itu mereka boleh pergi jauh. Soal rezeki ini kita tak tahu, kan? Lagi satu, usahlah pandang rendah dengan hobi orang lain. Mana tahu ia boleh jadi sumber pendapatan pula,"ujarnya yang kini membuka sebuah kedai permainan, Gaming Culture & Collectibles (GCC) di Klang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain