suria

Cemas tapi lucu! Tak sempat sampai hospital, air ketuban pecah terus nampak kepala bayi... si suami jadi doula dan bidan? - “Terpaksa berhenti lagi, terlupa azankan baby”

Farah berkongsi cerita detik cemas melahirkan bayi di dalam kereta sambil dibantu oleh suami.

BAGI ibu yang sedang sarat hamil dan menunggu masa untuk bersalin, pastinya mereka mahu proses melahirkan bayi berjalan dengan lancar.

Namun kelahiran kadang kala sukar untuk dijangkakan dengan tepat sungguhpun pada ketika si ibu sudah menunjukkan tanda-tanda awal.

Begitu juga dengan kisah yang dilalui oleh wanita ini, yang melalui pengalaman lucu yang pasti sukar untuk dilupakan kerana melahirkan bayi di dalam kereta ketika dalam perjalanan untuk ke hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Sempat usik isteri nak namakan anak 'Perodua Aruz' selepas berdepan situasi panik 2 minit dalam kereta - “Terdengar air ketuban pecah, isteri jerit bang nak keluar”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab cemas, penumpang di sebelah tiba-tiba lompat ke seat belakang - “Saya tak tahu apa-apa mungkin kepala anaknya dah nak terkeluar”

"Suamiku doula dan bidan?!!! Mungkin tajuk agak memeranjatkan, tapi itulah hakikatnya apa yang terjadi kepada keluarga kami di pagi hari semalam, suami menyambut kelahiran anak dalam kereta tepi highway," demikian mukadimah coretan wanita berkenaan di Facebook yang menjadi tular di media sosial.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Farah Hidayah Mohd Hasbi berkata dia sendiri tidak menyangka suaminya terpaksa menjadi 'bidan terjun' meyambut kelahiran cahaya mata mereka yang ketiga, 13 Februari lalu.



Farah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.36kg.

Menurutnya yang senang disapa sebagai Farah, dia sudah mengalami tanda-tanda awal untuk bersalin dua hari sebelumnya, namun diminta untuk pulang memandangkan 'laluan' hanya terbuka dua sentimeter dan dia hanya mengalami kontraksi ringan.

"Pada awal pagi 13 Februari sekitar pukul 1 pagi, kontraksi dah mula kerap dan mulut dah tak henti-henti berzikir.

"Dalam pukul 3.30 pagi rasa sakit makin kuat, terus bersiap pakai tudung dan kemas barang wajib bawa ke hospital takut ada yang tertinggal. Pukul 4 kejut suami, terus masuk bilik dukung anak sulung umur 7 tahun masuk kereta," imbasnya.



Farah menganggap bayi yang baharu dilahirkannya adalah sebagai pengganti kepada anak keduanya, Nur Fatin Husna (kiri) yang meninggal dunia, dua tahun lalu.

Ketika dalam perjalanan ke hospital yang terletak kira-kira satu jam dari rumah mereka di Desaru, Johor, air ketubannya pecah dan dia segera memaklumkan suami.

"Dalam pukul 4.30 pagi, saya minta suami berhenti kereta di tepi jalan sebab rasa kepala baby dah nak keluar sangat.

"Ketika itu dekat R&R Layang, kira-kira 15 minit lagi nak sampai hospital. Suami dah gelabah tak tahu nak buat apa tapi dia cuba nak cool dan tak panik. Dahlah memang tak ada orang dan kereta lalu lalang.

"Dia buka bonet ambil kain tuala, dia buka pintu kereta bagi ada pengudaraan. Kemudian dia bantu dan minta tarik nafas untuk meneran. Mujur suami ada pengalaman teman saya dekat bilik bersalin masa lahirkan anak sulung, tujuh tahun lepas.

Apapun syukur, semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah, bayi ini Allah beri sebagai ganti selepas kami kehilangan anak kedua, Nur Fatin Husna pada 2019.

NUR FARAH HIDAYAH

IBU

"Alhamdulillah dalam 10 minit bersusah payah, akhirnya saya lahirkan bayi lelaki seberat 3.36 kilogram dengan disambut oleh suami," ujar wanita berusia 29 tahun ini sambil menambah, mereka kemudian meneruskan perjalanan ke hospital.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini lagi, dia bersyukur kerana proses kelahiran dipermudahkan dan dia serta bayi berada dalam keadaan yang sihat.

"Bila teringat balik, memang kami suami isteri bergurau tambah-tambah bab nak isi nama dan tempat lahir baby.



Gambar raya kenangan terakhir bersama arwah Nur Fatin Husna (kiri).

"Bukan itu sahaja, kalau ingat balik, sebenarnya banyak insiden lucu. Siap kami berhenti lagi sekali selepas itu sebab suami terlupa nak azankan baby.

"Apapun syukur, semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah, bayi ini Allah beri sebagai ganti selepas kami kehilangan anak kedua, Nur Fatin Husna pada 2019.

"Tak sangka viral pula. Selain nak abadikan kenangan, posting tu juga boleh dijadikan semangat untuk suami isteri agar bersedia menyambut kelahiran jika berlaku situasi mengejut seperti ini. Yang penting, kena ada serba sedikit pengetahuan," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain