suria

Uniform bikin keliru, kerja guard ke pilot? Pemuda ini sedar ramai tagih perhatiannya, tetap layan soalan pelik setengah juta followers di TikTok

Rizal (kanan) mendapat perhatian sebagai pengawal keselamatan di aplikasi TikTok.

WALAU apa pun pekerjaan kita, hidup mestilah sentiasa gembira untuk meredakan sakit kepala dan menghilangkan tekanan.

Bermacam-macam cara yang boleh dilakukan, termasuklah menghiburkan diri dengan memakai pakaian seragam di tempat kerja menerusi aplikasi TikTok.

Seperti seorang pengawal keselamatan ini, gelagatnya yang bersahaja dan melucukan di aplikasi popular itu juga menarik perhatian netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat mesej tanya khabar, cikgu sangka bekas pelajarnya di sekolah berasrama penuh kerja 'guard' - "Saya tak terasa hati pun"

ARTIKEL BERKAITAN: Abang guard buat ramai terkesima selepas 'buka silat' ala pahlawan Melayu di sekolah - "Kami sekeluarga dapat handle penyamun tu dengan baik"

Pemuda berkenaan, Rizal Ahmad berkata, dia mula berkhidmat sebagai pengawal keselamatan sejak tiga tahun lalu dan mula berjinak-jinak menggunakan TikTok pada 2019.



Rizal bertugas sebagai pengawal keselamatan sejak tiga tahun lalu.

Anak muda berusia 24 tahun itu mengakui kandungan atau content yang menghiburkan dapat menarik perhatian ramai, sekali gus akaunnya mempunyai hampir setengah juta pengikut.

"Saya selesa dengan pekerjaan saya sebagai pengawal keselamatan. Jadi, sebab itulah kebanyakan video saya dirakamkan dengan memakai pakaian seragam.

"Bila ada kerja, kena betul-betul komited buat kerja. Saya buat video TikTok hanya bila ada masa terluang," katanya kepada mStar.



Rizal rajin melayan para pengikutnya di TikTok.

Walaupun sering berpakaian seragam ketika merakamkan video TikTok, Rizal mendapati terdapat segelintir pengikutnya tersalah anggap dirinya merupakan juruterbang.

"Bukan sekali atau dua, tapi berkali-kali ada yang komen dan tanya adakah saya ni pilot. Saya faham mungkin ada sedikit persamaan uniform kami dengan pilot.

Ada yang tak pasti, tapi saya tahu ada yang pura-pura buat tak tahu sebab nak dapatkan perhatian saya

RIZAL AHMAD

"Saya dah banyak kali perjelaskan yang saya ni pengawal keselamatan. Baju saya pun ada tulis security. Rakaman pun dibuat kat pondok pengawal, bukannya dalam kokpit," ujarnya secara berseloroh.

Anak kelahiran Kinabatangan di Sandakan, Sabah itu berkongsi pengalaman menerima pelbagai komen dan soalan-soalan yang pelik dalam kalangan pengikutnya.



Rizal berkongsi pengalamannya sebagai pengawal keselamatan.

"Mula-mula ingat saya pilot, lepas tu tanya sama ada saya ni security guard ke sebab pakai uniform tu. Ada yang siap tanya abang, kerja security guard tu buat apa.

"Saya faham ada yang tak pasti, tapi saya tahu ada yang pura-pura buat tak tahu sebab nak dapatkan perhatian saya. Mujurlah saya ni suka melayan di TikTok, jadi saya jawab saja komen-komen mereka dalam bentuk video berkali-kali," katanya yang berkhidmat di sebuah sekolah swasta di Selangor.

Sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu terlebih dahulu membantu bapanya di ladang kelapa sawit di kampung dan bekerja sebagai kontraktor memasang aluminium di bangunan-bangunan.

Bagi Rizal, bekerja sebagai pengawal keselamatan menuntut kesabaran dan komitmen yang tinggi terutama ketika berurusan dengan kakitangan, pelajar dan ibu bapa.



Walaupun serius menjalankan tugas, Rizal sentiasa tersenyum.

"Kerja saya bukan setakat di pondok pengawal, tapi setiap hari kami perlu membuat rondaan di kawasan sekitar secara bergilir. Berpanas dan berhujan tu perkara biasa.

"Pernah suatu hari tu, saya di jalan mengawal lalu lintas keluar masuk kereta ibu bapa pelajar. Hujan lebat pula tiba-tiba dan angin sangat kuat sampai payung rosak sebab patah.

"Masa tu tak fikir apa dah, teruskan saja. Satu jam saya basah kuyup kena hujan. Lepas tu cepat-cepat saya cuci kepala dan minum air banyak-banyak.... syukur tak demam.

"Saya nampak saja kelakar dan selalu ketawa di TikTok, tapi bila waktu bekerja saya serius buat kerja tau. Tapi tetap ada senyum," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain