suria

Cinta sejati... Hati tak keruan akibat berjauhan, atuk rela tidur di pondok hospital tak kisah ada nyamuk – “Kalau dekat gaduh-gaduh manja”

Seorang lelaki warga emas menemani isterinya yang sakit, dari luar tingkap wad.

CINTA sampai ke hujung nyawa, kasih sayang hingga ke syurga.

Begitulah yang dapat digambarkan kisah seorang warga emas tetap setia menemani isterinya di hospital meskipun tidak dibenarkan untuk berada sepanjang masa di dalam wad bersama suri hatinya itu.

Gara-gara pandemik Covid-19 ini, dia akur terpaksa mematuhi segala arahan dan prosedur yang telah ditetapkan pihak hospital walaupun ia sangat berat untuk diterima.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersama 64 tahun hingga ke hujung nyawa... berkongsi tarikh lahir, pasangan warga emas 'dijemput' ke negeri abadi pada hari sama - Atuk minta pelukan semua orang sambil menangis.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu riuh di klinik ambil ubat, mesranya pasangan warga emas bagai baru semalam jatuh cinta.. satu hari jenuh doktor mencari, tiada lagi kelibat si isteri - "Ubat habis, saya dah janji"

Tular beberapa foto di laman Facebook apabila warga emas ini menjenguk isterinya di tingkap wad Hospital Parit Buntar, Perak pada Khamis lalu, kira-kira pukul 2 petang.



Seorang warga emas menjenguk dari luar wad.

Becerita kepada mStar, Munirah Muhamad Basir iaitu cucu kepada warga emas itu berkata foto yang dimuat naik itu bukan diambil olehnya tetapi dihantar oleh makcik yang menjaga atuknya di kampung melalui group WhatsApp.

"Saya kenal sangat gelagat atuk dan nenek saya ini. Tak boleh berjauhan langsung. Sebab itu saya terpanggil untuk berkongsi kisah mereka di 'Kami Suri Rumah'.

"Tak sangka pula sampai viral, niat saya nak kongsi kisah cinta mereka dan nak minta orang ramai untuk doakan nenek saya," katanya kepada mStar.

Wanita berusia 28 tahun itu mendedahkan, neneknya, Sabariah Omar kini berusia 74 tahun manakala datuknya, Mohd Saad Sudin pula 76 tahun.



Mengambil berat terhadap isteri.

Tambah Munirah lagi, meskipun neneknya itu tidak mempunyai sakit yang kritikal tetapi dia sering kali masuk wad kerana masalah pernafasan.

"Nenek saya on off masuk hospital, dia sebenarnya tak boleh terlalu penat. Nanti dia sukar untuk bernafas.

"Kali ini dia kena masuk wad sebab terkanan darah tinggi. Selain itu, nenek saya ada tiroid dan masalah paru-paru.

"Hidupnya memang dengan ubat, tapi kalau tengok betul-betul tak adalah terlalu uzur. Dia kuat lagi.

"InsyaAllah... esok nenek saya dah boleh keluar kalau tekanan darah semua okay, dan kalau paru-paru semua tak ada masalah," ujarnya.



Kemesraan yang terjalin antara suami isteri.

Munirah turut memberitahu, nenek dan atuk sebelah ibunya itu memang sangat manja dan sering kali memberi gelaran cinta sejati kepada mereka.

"Mula tu, atuk saya sanggup tidur di pondok hospital, dia tak kisah nyamuk ka apa. Janji boleh jaga nenek saya. Dia terlampau risau cuma sekarang dah okay sikit bila makcik saya dibenarkan untuk ada bersama nenek di dalam wad.

"Dia akan mengintai-intai dekat tingkap wad, asalkan dia boleh lihat kelibat isterinya walaupun sebelah mata kiri dah tak nampak.

Dia akan mengintai-intai dekat tingkap wad, asalkan dia boleh lihat kelibat isterinya walaupun sebelah mata kiri dah tak nampak

MUNIRAH MUHAMAD BASIR

"Mereka ini kalau dekat akan bergaduh-gaduh manja kalau jauh baru nanti rindu. Ramai tahu mereka ini memang sweet.

"Dulu sebelum Covid-19, atuk saya memang akan jaga nenek saya di wad kalau kena tahan, jadi sekarang mungkin sebab faktor usia juga, dia tak dibenarkan untuk jaga. Itu yang sanggup duduk tepi tingkat berjam-jam pun tak apa," ujarnya sambil berseloroh.



Munirah (kanan) bersama suami.

Dalam pada itu, Munirah dan pihak keluarga sangat gembira apabila melihat respon positif dan doa-doa yang tidak putus dalam kalangan netizen.

Dia yang telah berkahwin pada 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhamad Qays Mikael, 4 dan Azkayra Mikayla yang kini berusia tujuh bulan berharap rumah tangganya akan menjadi seperti atuk dan neneknya hingga akhir nafas.

Munirah berharap perkongsiannya ini bukan untuk mendapat simpati sesiapa tetapi mencontohi cinta seperti mereka ini sampai hujung nafas.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain