suria

Gadis PUBG reject rakan gamer sebab risau tersangkut 'buaya darat', tapi tauke santan ini tak putus asa - “Sebaik rentas negeri dibenarkan dia terus jumpa ibu”

Putri Alia selamat disatukan dengan Muhammad Zulhilmi yang dikenalinya menerusi permainan video PUBG pada 30 Oktober lalu.

BETULLAH kata orang jodoh itu datang dalam pelbagai cara.

Terbaharu, seorang gadis bertemu jodoh dengan jejaka pilihannya menerusi permainan video PlayerUnknown's Battleground (PUBG).

Menurut Putri Alia Shahhiza Saidon, permainan video popular itu menjadi titik permulaan hubungannya dengan Mohmmad Zulhilmi Azman sehingga sah menjadi suami isteri pada 30 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “PUBG yang dikatakan merosakkan itu beri dia peluang ‘berjalan’ semula” - Doktor buka kisah gelap pengantin viral, kini superwoman!

ARTIKEL BERKAITAN: PUBG 'jodohkan' pasangan polis dan tentera, “Keluarga terkejut, betul ke kenal dalam game?”

"Saya tidak menduga bertemu jodoh menerusi PUBG. Di awal perkenalan pada November tahun lalu suami hanyalah rakan biasa di dalam friend list PUBG.

"Dalam masa tiga bulan, suami cuba nak kenal lebih rapat dengan selalu invite main PUBG bersatu dalam satu pasukan.



Putri Alia terbuka hati menerima Muhammad Zulhilmi sebagai kekasih pada Februari lalu.

"Akhirnya 10 Oktober lalu kami bertunang dan pada bulan sama iaitu 30 Oktober kami nikah," katanya kepada mStar.

Jelas gadis kelahiran Batu Gajah, Perak itu, pada awalnya dia beberapa kali menolak usaha suaminya untuk mengenalinya secara lebih dekat menerusi permainan video tersebut.

"Mula-mula suami kerap kena reject sebab saya jenis susah nak percayakan lelaki menerusi permainan video kerana orang kata ramai 'buaya darat' dan tak bertanggungjawab.

"Namun suami tak pernah putus asa walaupun dah banyak kali kena reject. Dia terus cuba mendekati saya menerusi permainan video itu," katanya.

Namun Puteri Alia mengakui dia mula terbuka hati untuk menerima Mohmmad Zulhilmi yang berasal dari Jawi, Pulau Pinang selepas melihat kesungguhannya.

"Walaupun seorang gamer, suami tidak lupa pada tanggungjawab. Dia masih boleh bangun waktu subuh dan pergi kerja macam biasa.



Anak bongsu tiga beradik ini tidak menduga bertemu jodoh dengan suaminya menerusi permainan video PUBG.

"Dari situ saya nampak dia pandai bahagikan antara minat, tanggungjawab dan kerjaya sebagai pengusaha santan.

"Dan Februari lalu saya terbuka hati untuk menerima dia sebab dia bukan seperti lelaki yang saya fikirkan," katanya.

Tambah Putri Alia lagi, sepanjang proses perkenalan mereka sejak rapat Februari lalu, mereka tidak pernah bertemu sesama sendiri.

Saya minat permainan video sebelum berpurdah lagi. Malah saya pernah jadi juara dalam beberapa pertandingan. Bagi saya tak jadi masalah untuk sesiapa saja asalkan pandai bahagikan masa.

PUTRI ALIA SHAHHIZA SAIDON

Isteri

"Sejak couple Februari lalu kami tak pernah berjumpa disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Alhamdulillah ada baiknya kerana terhindar daripada maksiat.

"Sebaik rentas negeri dibenarkan, dia terus datang jumpa ibu dan nyatakan hasrat untuk memperisterikan saya. Dari situ buatkan saya lebih percaya yang dia benar-benar serius," katanya.

Walaupun mereka bertemu jodoh menerusi PUBG, anak bongsu tiga beradik itu bersyukur kerana keluarga menerima jejaka pilihannya.



Keluarga menerima lelaki pilihan Putri Alia.

"Parents happy dan terima pilihan hati saya. Bagi mereka semua ada hak untuk bahagia.

"Saya juga percaya kalau dah jodoh Allah akan permudahkan. Alhamdulillah urusan nikah kami pun berjalan lancar, ” katanya.

Kisah mengenai detik perkenalan mereka dikongsi Putri Alia menerusi aplikasi TikTok sehingga mendapat perhatian netizen.

Sehingga kini perkongsian itu mendapat lebih 500,000 tontonan di aplikasi tersebut.

Pasangan ini merancang untuk melangsungkan majlis perkahwinan pada 2 Januari depan.



Pasangan ini bertunang pada awal Oktober lalu.

Dalam pada itu, Putri Alia berkata meskipun berniqab penampilan tersebut tidak menghalang minatnya untuk bermainan video tersebut.

"Sebenarnya saya berniqab pada Januari lalu. Masa tu kami masih berkawan biasa dan suami banyak sokong saya untuk ubah penampilan.

"Saya minat permainan video sebelum berpurdah lagi. Malah saya pernah jadi juara dalam beberapa pertandingan. Bagi saya tak jadi masalah untuk sesiapa saja asalkan pandai bahagikan masa.

"Paling penting tak lupakan kerjaya dan amal ibadah. Tapi bila dah nikah saya dan suami dah jarang bermain permainan video. Kami lebih fokus kepada kerjaya dan alam rumah tangga," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain