suria

Tujuh bulan tak jumpa bapa, isteri kongsi kisah di sebalik ‘drama’ tiga anak peluk tukang repair aircond - “Anak kedua yang sedar dulu...”

Massoezailin dan suaminya merancang kejutan untuk ketiga-tiga anak mereka yang merindui bapa mereka selepas 7 bulan terpisah.

"SAYA sangat terharu. Tiada lain, hanya syukur... saya tak sangka suami ada di depan mata merangkul anak-anak. Doa saya dan anak-anak akhirnya Allah makbulkan."

Demikian kata Massoezailin Saleh ketika bercerita mengenai momen penuh hiba apabila suaminya berpeluang melepaskan rindu kepada keluarga selepas tujuh bulan terkandas di Singapura, gara-gara pandemik Covid-19.

Beberapa hari lalu video pertemuan tersebut tular di media sosial sekali gus turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mana awak?” - Terkandas di Singapura, ramai beremosi lihat kegigihan lelaki ini nak ‘bertemu’ anak isteri di Malaysia... terima kasih adik beri idea!

ARTIKEL BERKAITAN: Frontliner kesihatan sebak saksikan saat ibu muda berpisah dengan suami, anak - “Saya nampak di tangan kirinya ada baju baby”

Video tersebut memaparkan suaminya, Mohd Azaruddin Tukari datang ke rumah mereka dengan memakai topeng muka dan menyamar sebagai seorang tukang servis penghawa dingin.

Ketika itu, ketiga-tiga cahaya mata pasangan ini hanya memerhati namun mereka bagai dapat mengagak lelaki di sebalik topeng berwarna hitam itu adalah lelaki yang paling dirindui saban hari.



Massoezailin berpakat dengan suami untuk membuat kejutan kepada anak-anak mereka.

Sebaik sahaja lelaki berkenaan menurunkan topeng muka untuk meneguk air, ketiga-tiganya lantas menerkam dan memeluk erat dirinya selepas mendapati individu itu adalah bapa mereka.

Menurut Massoezailin, kejutan yang merupakan idea suaminya itu sudah dirancang lebih awal sebaik sahaja lelaki itu mendapat kelulusan untuk pulang sebentar ke kediaman mereka di Johor Bahru.

"Suami saya bekerja di Singapura sebagai pemandu bas. Dah lebih 5 tahun bekerja di sana... sebelum ni memang ulang alik Johor Bahru-Singapura. Tapi sebab Covid-19, pintu sempadan ditutup.



Momen paling menyentuh hati apabila bapa ini memeluk anak-anaknya bagi melepaskan nerinduan.

"Akhirnya Allah 'pinjamkan' 14 hari untuk kami bersama walaupun Sabtu depan terpaksa berpisah semula. Idea kejutan untuk anak-anak adalah idea dia.

"Drama tu berlangsung selama kira-kira 10 minit. Anak kedua yang sedar dulu sebab dia orangnya memang lebih teliti dan pemerhati," katanya mengimbas kembali momen pertemuan tersebut.

Sepanjang tempoh perpisahan, wanita berusia 35 tahun ini mengakui cabaran yang terpaksa ditempuhi bukan calang-calang.

Akhirnya Allah 'pinjamkan' 14 hari untuk kami bersama walaupun Sabtu depan terpaksa berpisah semula.

MASSOEZAILIN SALEH

ISTERI

"Semestinya pelbagai cabaran. Cabaran dari segi menguruskan anak-anak, bisnes dan rumah tangga. Dan juga mengawal emosi anak-anak. Setiap hari, setiap waktu bertanyakan tentang papa mereka. Terutama anak yang kecil.

"Alhamdulillah. Anak-anak, suami semua sihat sepanjang tempoh perpisahan. Kami memang selalu video call je. Bila anak-anak rindu, saya akan alihkan perhatian, contohnya selalu bawa anak-anak balik kampung," ujar perunding kecantikan yang juga ibu kepada tiga anak yang berusia 10 tahun, lapan tahun dan lima tahun itu.



Tiga anak perempuan Massoezailin amat rapat dengan bapa mereka.

Langsung tidak menyangka sama sekali video berkenaan akan tular, Massoezailin menganggap apa yang berlaku sebagai hikmah untuk mereka sekeluarga.

"Saya memang tak sangka ia akan viral. Saya percaya ini semua hikmah. Ramai yang doakan kami dan kami sangat terharu. Rakyat Malaysia memang sangat prihatin.

"Bagi mereka yang juga melalui situasi sama seperti kami, semoga terus kuat, sabar, tawakal, jangan putus doa dan harapan. Kuatkan semangat. Sebab ujian ni bukan hanya untuk kita. Percayalah di sebalik setiap ujian, Allah nak beri hikmah besar," katanya lagi.

Sementara itu video berkenaan yang turut dikongsi di Instagram mStar juga mendapat reaksi pelakon Fasha Sandha dan Nazrief Nazri yang menangis menontonnya.

Pelukan selepas tujuh bulan terpisah.. #mstaronline #mstarkongsi #mstarSH

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Oct 13, 2020 at 8:25pm PDT

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain