suria

Frontliner kesihatan sebak saksikan saat ibu muda berpisah dengan suami, anak - “Saya nampak di tangan kirinya ada baju baby”

Barisan hadapan petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan dan Klinik Kesihatan Paya Besar giat mengambil sampel dan keterangan daripada individu yang datang untuk saringan COVID-19. -fotoBERNAMA

WABAK koronavirus (Covid-19) tidak memilih mangsa, sesiapa saja berdepan risiko dijangkiti.

Namun pengalaman dikongsi seorang petugas frontliner semasa menjemput seorang ibu muda yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini ternyata mengundang sebak netizen.

Menurut Hazuwan Hashim, dia sendiri sebak melihat situasi wanita berusia awal 20-an itu yang terpaksa berpisah buat sementara waktu dengan suami dan juga anak sulungnya yang berusia sekitar lima bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hanya ingat mati selepas positif Covid-19 pada hari jadi anak, cuma mampu baca doa ringkas - “Ada harapan hidup sebab tengok statistik KKM” 

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa mandi di luar rumah jam 2 pagi, ibu makin kurus... paling sedih adik sampai mengigau - “Ayah marah Auni ke?”

"Dalam 10 minit saya nampak susuk ibu muda pakai mask keluar dari rumah. Masa tu dia keluar seorang tak ada teman. Bila saya keluar dari van barulah saya nampak suami sedang dukung anak mereka.

"Suami berdiri di hadapan pintu rumah tu dalam jarak lima meter dari luar pagar rumah. Masa tu tak nampak wanita tu menangis atau sedih. Dia seolah-olah reda atau mungkin sudah kuatkan motivasi diri sebelum itu.

Hazuwan sudah berkhidmat selama lima tahun sebagai kakitangan perubatan KKM.

"Bila saya dah check IC dia, saya arahkan dia masuk van. Masa tu saya nampak ditangan kirinya ada baju baby. Saya pun spontan cakap kat dia untuk lambai suami dan anak sebelum masuk van. Masa tu saya tengok air mata dia mengalir laju," katanya kepada mStar.

Bagi Hazuwan, situasi itu amat berbeza dengan kes yang pernah dikendalikannya sebelum ini.

"Saya dah biasa kerja as frontliner... dah tengok macam-macam situasi. Tapi keadaan yang saya lalui tempoh hari tu situasi berbeza. Saya ibarat nak pergi ambil askar pergi berperang.

"Mereka perlu tinggalkan keluarga dan tak tahu pun adakah mereka akan balik atau tak selepas tu. Saya sedih bila dapat tahu dia baru saja berkahwin dan bayi kecil yang ditinggalkan itu anak sulung," katanya.

Jelas Hazuwan yang juga penolong pegawai perubatan, dia turut tersentak dengan permintaan terakhir wanita itu sebelum dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh.

"Biasanya sebelum ke rumah pesakit kita akan call dulu. Masa saya call untuk sahkan alamat, dia tanya saya boleh tak kalau dia nak susukan anak dia. Jadi saya tanya sama ada doktor dah beritahu dia tak boleh susukan anak.

Ibu muda itu tidak dibenarkan untuk menyusu badan anaknya yang masih kecil itu. - Gambar hiasan.

"Dia kata ya dah ada doktor beritahu tak boleh direct susukan anak. Tapi dia kata dah beberapa hari dia tak susukan anak cuma pam saja. Saya pun cakap kat dia puan kita tak bagi sebab kita takut anak dijangkiti.

"Jadi saya pun benarkan dia untuk pam susu saja. Saya boleh tunggu kalau nak pam susu. Saya cakap kat dia puan boleh pam sebanyak mana yang boleh sebab kita pun tak tahu berapa lama puan akan duduk dalam wad," katanya.

Dalam pada itu, pemuda berusia 28 tahun itu turut menasihati orang ramai supaya mematuhi arahah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Mereka perlu tinggalkan keluarga mereka dan tak tahu pun adakah mereka akan balik atau tak selepas tu. Saya sedih bila dapat tahu dia baru saja berkahwin dan bayi kecil yang ditinggalkan itu anak sulung.

HAZUWAN HASHIM.

Penolong pegawai perubatan KKM.

"Bagi bukan kontak rapat minta ikut apa yang kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) tekankan. Bagi yang bekerja amalkan saranan KKM dengan memakai topeng muka bagi mereka yang berisiko, kerap cuci tangan dengan sabun atau bawa sanitizer dan amalkan penjarakkan sosial.

"Saya juga merayu kepada semua pesakit supaya jujur dalam memberitahu sejarah perjalanan ke luar negara dan sekiranya ada kontak dengan pesakit positif Covid-19 atau pesakit dalam pemantauan (PUI) ketika datang ke mana-mana fasiliti kesihatan," katanya.

Hazuwan turut mendedahkan dia antara kakitangan perubatan yang dikuarantin kerana pernah ada kontak dengan pesakit positif Covid-19.

Kakitangan Hospital Pakar KPJ Damansara mengendalikan ujian mudah alih pandu lalu Covid-19 ketika tinjauan fotoBernama pada Sabtu.

"Jumaat lepas (kes ibu muda dan empat pesakit lain) first assignment saya sebab saya baru je lepas kuarantin selama 14 hari. Saya antara pesakit PUI. Saya sebenarnya barisan team kecemasan.

"Selalunya semasa merawat pesakit kecemasan ini kita tak tahu background dia. Jadi bila dah dihantar ke hospital barulah kita tahu dia positif Covid-19. Jadi semua petugas yang uruskan pesakit tu telah dikuarantin termasuk saya.

"Saya sendiri pun tak sangka akan terkena. Terus-terang saya katakan jadi PUI ini bukan satu yang mudah walaupun saya seorang kakitangan perubatan. Nak tunggu keputusan negatif atau positif tu sangat susah... hari-hari sukar melelapkan mata," katanya yang disahkan negatif pada hari keempat selepas dimasukkan ke hospital.

Meskipun berdepan risiko kepada nyawa, pemuda dari Kedah itu tidak pernah menyesali pekerjaan yang diminatinya itu.

"Tak pernah timbul rasa kesal. Kami frontliner yang dianggap sebagai benteng terakhir yang negara ada.

"So kalau benteng terakhir jatuh kita dah tak ada siapa lagi yang boleh bantu untuk kawal penularan wabak ini," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Covid-19, bayi, ibu muda, KKM, PKP, susu

Artikel Lain