Kasihan! Seharian tunggu pelanggan, sebungkus nasi kukus pun tak laku... nasib gadis berubah esok hari selepas buat TikTok

Fatika bersyukur dengan rezeki yang mencurah selepas kisahnya tular di Twitter,

PENGORBANAN seorang gadis bangun seawal jam 6 pagi bersama kedua-dua orang tuanya untuk menyiapkan hidangan nasi kukus bagaikan sia-sia apabila ia langsung tidak terjual sehingga ke waktu petang pada Isnin lalu.

Sedih dengan nasib yang menimpa, Nurfatikah Azries Sham, 21, membuat satu video TikTok untuk bercerita mengenai kekecewaannya dan sama sekali tidak menyangka ia akan menjadi tular.

Malah katanya, impak penularan video di Twitter mengubah nasib mereka dengan sekelip mata apabila dia tidak menang tangan melayan tempahan pelanggan pada hari berikutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kerja OK, kini jual keropok lekor! Pemuda hilang kerja tak sangka satu mesej WhatsApp daripada abangnya mampu buka rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: “Dugaan paling besar sepanjang 24 tahun berniaga” - Peniaga pasar malam akui terpaksa pelan-pelan kayuh selepas PKP

Mesra disapa Fatika, dia mendedahkan mula membantu ibu dan bapanya, Azries Sham Arshad, 42, dan Hari Susanti, 39, berniaga nasi kukus di Bandar Tun Hussien Onn Cheras, Selangor sejak tahun 2018 lagi.

"Saya sebenarnya tolong mak ayah berniaga. Selain gerai yang dijaga mak ayah, saya bantu dengan berniaga secara dalam talian di rumah, tempahan menggunakan FoodPanda.

"Pada hari Isnin, sampai ke petang langsung tiada orang beli. Memang kami sediakan banyak (masakan) pada hari tu.

Fatika mengalirkan air mata kesyukuran selepas menerima banyak tempahan nasi kukus pada Selasa.

"Tapi mungkin tak ada rezeki. Jadi saya buat video TikTok dan kongsi juga di Twitter, tak sangka akan viral," ujarya kepada mStar.

Menurut Fatika, dia sukar untuk tidur selepas kisahnya menjadi tular pada hari itu kerana terlalu gembira dengan respon yang diterima.

Malah, dia turut menitiskan air mata pada pagi Selasa selepas menerima banyak tempahan daripada pelanggan.

Dalam dunia ni memang ramai orang yang baik. Tapi kita juga kena rajin usaha.

NURFATIKAH AZRIES SHAM

Selain tempahan dalam talian dan pengunjung yang datang ke gerai, ada pula tiga individu bermurah hati membeli nasi kukus dengannya dan diwakafkan untuk orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu.

"Pagi tu saya bangun sampai menitis air mata, dapat banyak notification. Rezeki melimpah ruah, order sampai tak menang tangan.

Paparan skrin video TikTok viral yang dikongsi gadis itu.

"Saya memang tak boleh tidur. Rasa gembira tengok mak ayah pun gembira. Ada tiga lelaki beli nasi kukus kami, tapi mereka tak ambil nasi tu.

"Semua letak kat gerai supaya disedekahkan kepada orang ramai. Kiranya mereka bersedekah, pada masa sama dapat bantu perniagaan kami juga," ujarnya.

Ibu bapa Fatika.

Menurut Fatika lagi, dia juga mahu mengucapkan terima kasih kepada warga Twitter yang cukup prihatin sehingga rezeki keluarganya kini mencurah-curah.

"Dalam dunia ni memang ramai orang yang baik. Tapi kita juga kena rajin usaha, jangan cepat putus asa.

Mesej dari salah seorang individu yang mahu membeli nasi kukus yang dijual Fatika dengan niat untuk disedekahkan kepada orang ramai.

"Gunakan media sosial sebaiknya dan jangan lupa berdoa. Terima kasih kepada semua yang prihatin.

"Alhamdulillah, bertambah pelanggan kami," ujarnya lagi.

Hidangan nasi kukus yang dijual oleh Fatika bersama kedua orang tuanya.

Sehingga kini, video yang dikongsi Fatika menerima lebih 100,000 tontonan di Twitter.

Selain komen sokongan, ramai netizen turut menitipkan kata-kata semangat agar gadis itu tidak berputus asa dalam perniagaan yang diusahakannya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik