suria

Hilang kerja masa PKP, pertemuan dengan jemaah Bangladesh di surau ubah hidup pemuda ini... rezeki menjemput selepas 2 hari

Kisah Adam mencuri perhatian ramai setelah dia berkongsi mengenainya di laman Facebook baru-baru ini. (Gambar Hiasan)

PENULARAN Covid-19 di Malaysia sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu membawa banyak khabar duka buat rakyat negara ini.

Selain kebebasan yang seolah-olah diragut dalam mengekang penularan wabak itu, ramai yang turut kehilangan mata pencarian atas impak ekonomi yang berlaku.

Tidak terlepas menerima dugaan adalah seorang bapa kepada dua cahaya mata apabila dia dimaklumkan majikan bahawa syarikat sudah tidak mampu untuk membayar gajinya sepanjang PKP.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen Puji Denda 'Luar Biasa' Pelajar Lewat Ke Sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: Gunakan ‘senjata’ dalam bentuk doa, solat hajat... Bantulah saudara seagama yang kini ditindas

Bercerita kepada mStar, Adam Mustapha, 33, mendedahkan dia menganggur selama tiga bulan sehinggalah rezekinya mula mencurah-curah selepas dia mengamalkan solat sunat Dhuha 12 rakaat sejak Jun lalu.

"Ada suatu hari tu, saya solat Zuhur berjemaah di surau taman perumahan saya. Usai solat, saya mengambil kesempatan berborak-borak dengan jemaah surau yang ada.

"Salah seorangnya adalah seorang lelaki Bangladesh. Kami bercerita tentang kehidupan masing-masing, termasuklah tentang saya yang kehilangan pekerjaan. Kemudian dia berkongsi tentang suatu kisah yang bakal mengubah hidup saya selama-lamanya.

"Dia bercerita tentang seorang syeikh yang kelihatan hidup senang dan selesa. Apabila ditanya oleh ramai orang tentang rahsia kehidupannya, syeikh itu berkongsikan yang dia beramal dengan solat Dhuha 12 rakaat setiap hari kerana ia adalah pembuka pintu rezeki," kata jejaka berusia 33 tahun itu.

Adam berkongsi kisah itu menerusi laman Facebook miliknya.

Mesra disapa Adam, dia yang kagum mendengar kisah itu memasang niat untuk mencubanya sendiri sebelum dia dihujani berita yang tidak disangka-sangka dua hari kemudian.

Biarpun mencabar, Adam berkata dia cuba menggagahkan diri untuk menyempurnakan ibadah berkenaan dan meletakkan sepenuh tawakal kepada Allah.

"Dan seingat saya, ketika itu saya baru sangat menjadi ejen takaful. Esoknya saya cuba beramal dengan solat Dhuha 12 rakaat.

Adakah semua ini ada kena-mengena dengan amalan solat Dhuha 12 rakaat itu?

ADAM MUSTAPHA

"Jujurnya, memang mencabar. Langsung tak sama macam solat terawih. Rasa terhuyung-hayang je nak sampai ke rakaat kedua belas tu

"Esoknya saya cuba lagi. Masih mencabar, tetapi tidaklah seteruk hari sebelumnya. Dan anda tahu apa yang terjadi pada hari itu?

"Seorang rakan yang bekerja dengan sebuah bank tiba-tiba menghantar pesanan WhatsApp kepada saya. Dia bertanyakan kepada saya sama ada saya berminat mahu mencuba meminta kerja di banknya dan terus dia meminta resume saya," ujarnya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Adam mengakui mula menerima berita gembira selepas dia mengamalkan amalan solat Dhuha 12 rakaat. (Gambar Hiasan)

Selain tawaran kerja berkenaan, pelan kesihatan yang ditawarkannya sebagai ejen takaful juga semakin laris.

"Anda beritahu saya, adakah semua ini ada kena-mengena dengan amalan solat Dhuha 12 rakaat itu?

"Hanya Allah sahaja yang tahu, tetapi satu prinsip yang saya pegang sejak dahulu adalah, tiada kebetulan dalam hidup ni," ujarnya lagi.

Menurut Adam, dia belum lagi menerima keputusan temuduga kerja bank berkenaan namun tetap bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepadanya.

Kisah Adam mencuri perhatian ramai setelah dia berkongsi mengenainya di laman Facebook baru-baru ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kelebihan, Covid-19, PKP, Dhuha, doa, solat, sunat, rezeki

Artikel Lain