suria

Tak sia-siakan suara macam Syed Saddiq, pelajar rancak main TikTok - “Pensyarah pun cakap sama”

Haziq (kiri) jadi tular kerana suaranya yang dikatakan mirip Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

ORANG kata, dalam dunia ini ada tujuh individu yang memiliki wajah sama seperti kita.

Entah benar atau tidak, tiada siapa dapat mengesahkanya! Tapi bagaimana pula dengan mereka yang memiliki suara sama?

Jarang-jarang dapat ditemui, namun seorang pelajar baru-baru ini menjadi tular apabila suaranya dikatakan sama dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

ARTIKEL BERKAITAN: Gambar Syed Saddiq di aplikasi cari jodoh Tinder, rupa-rupanya dah tular dulu di Indonesia - “Ricky pun boleh”

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya nak Malaysia jadi nombor 1" - Syed Saddiq perjelas isu BTS

Bercerita kepada mStar, Muhammad Haziq Fardil, 21, mengakui bersyukur dengan suara yang dikurniakan dan sama sekali tidak menyangka ia akan menarik perhatian ramai.

Menuntut di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim, Perak, dia turut menjadi tular dek video suara itu yang dikongsi menerusi aplikasi TikTok.

"Saya sendiri pun tak perasan sebenarnya. Tapi orang mula tegur sejak saya masuk Upsi pada September tahun 2019.

Haziq merupakan penuntut Upsi dalam bidang Pendidikan Multimedia.

"Bukan sekadar kawan-kawan, pensyarah pun cakap perkara sama. Bila saya buat pembentangan dalam kelas pun orang cakap suara sama macam Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq," ujarnya.

Berasal dari Bukit Beruang, Melaka, dia yang mesra disapa Haziq kini menggunakan kelebihan itu dalam menyampaikan kandungan bermanfaat menerusi TikTok.

Kata penuntut bidang pendidikan Multimedia itu, dia menggunakan peluang yang ada untuk memberikan nasihat-nasihat berguna menerusi aplikasi popular tersebut.

Kalau ada rezeki dapat jumpa YB, memang saya terharu.

MUHAMMAD HAZIQ FARDIL

"Saya tengok orang tunjuk bakat melukis, menari dan sebagainya di TikTok.

"Saya gunakan kelebihan suara yang saya ada untuk hasilkan video-video nasihat, manfaatkan TikTok.

"Setakat ini tiada yang kecam atau beri komen negatif, ramai yang terhibur tengok video. Kawan-kawan saya pun tak sangka bila tiba-tiba jadi viral macam ni," ujarnya.

Dalam pada itu, Haziq turut menaruh impian untuk bertemu Syed saddiq suatu hari nanti.

Haziq kini aktif menghasilkan video-video nasihat di TikTok.

Malah, dia turut mengagumi kebolehan Syed Saddiq sebagai pendebat dan memuji sumbangannya dalam menaikkan e-sport di Malaysia sewaktu menaungi Kementerian Belia dan Sukan tidak lama dahulu.

"Kalau ada rezeki dapat jumpa YB, memang saya terharu. Saya juga kagum dengan YB sebagai pendebat yang hebat.

Kata Haziq, dia tidak menolak peluang jika dapat bersemuka dengan Syed Saddiq.

"Saya juga kagum cara YB naikkan e-sport di Malaysia. Dulu orang tak pandang, orang fikir main game tu buang masa.

"Tapi sekarang orang mula nampak ia bidang yang bagus, boleh jana pendapatan," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain