suria

Kecoh! CCTV bongkar perbuatan 2 suspek conteng mural potret pemimpin negara – “Tak sangka perempuan”

Rakaman CCTV yang tular di media sosial menunjukkan individu didakwa melakukan sesuatu pada lukisan mural membabitkan pemimpin negara. Foto Twitter amrlfazreq

KECOH di media sosial mengenai klip video menunjukkan suspek yang didakwa menconteng lukisan mural potret gergasi pemimpin negara di Shah Alam, Selangor, pada Isnin.

Sebahagian daripada lukisan tersebut diconteng menggunakan cat serta kata-kata kesat tertera pada dinding sebuah bangunan rumah kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12.

Menerusi perkongsian di laman Twitter, seorang pengguna akaun @amrlfazreq memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, pada petang Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembali jadi lorong belakang! Walau sebak mural potret pemimpin negara dipadam, pelukis tetap bersemangat berkarya – "Tak kan nak touch up hari-hari"

ARTIKEL BERKAITAN: Conteng mural pemimpin sangat biadab! Sultan Selangor murka, harap pelaku ditangkap

"Ni pelaku dia," tulisnya dengan perkongsian tersebut diulang kicau lebih 3,000 kali.



Tangkapan skrin klip video menunjukkan dua pelaku di lukisan mural.

Menerusi klip video berdurasi 2 minit dan 20 saat itu, menunjukkan dua individu mendekati dinding tersebut sebelum dipercayai melakukan sesuatu pada lukisan mural berkenaan.

Berdasarkan rakaman tersebut, rata-rata netizen tidak menyangka insiden tersebut dilakukan dua individu dipercayai wanita.

"Tak sangka pelaku dia perempuan. Tak guna punya perempuan," komen seorang netizen.



Perkongsian video di laman Twitter, sejak petang Isnin.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum disahkan mengenai identiti pelaku yang didakwa membuat conteng pada lukisan mural berkenaan.

Susulan perbuatan itu yang merosakkan kesemua mural termasuk potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam terpaksa mengecat semula dinding tersebut dengan warna putih, sekali gus memadamkan kesemua potret.

Dalam pada itu, polis dilaporkan meneliti CCTV di lokasi kejadian untuk mengenal pasti pelaku yang menconteng mural berkenaan.

Tak sangka pelaku dia perempuan

NETIZEN

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya untuk tindakan lanjut.

"Ini termasuklah meneliti rakaman CCTV di lokasi kejadian. Kita akan kaji untuk kenal pasti pelaku terbabit," katanya.



Pihak MBSA mengecat semula dinding tersebut dengan warna putih.

Pada awal pagi Isnin, lukisan mural gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diconteng dengan kata-kata kesat.

Gambar dan video yang diconteng itu mula tersebar di media sosial, sejak pagi Isnin.

Selain potret Yang di-Pertuan Agong, wajah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut diconteng.

Susulan perbuatan itu yang merosakkan kesemua mural, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam terpaksa mengecat semula dinding tersebut dengan warna putih, sekali gus memadamkan kesemua potret.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain