"Saya nak Malaysia jadi nombor 1" - Syed Saddiq perjelas isu BTS - Viral | mStar

"Saya nak Malaysia jadi nombor 1" - Syed Saddiq perjelas isu BTS

Syed Saddiq mengulas mengenai perkara itu menerusi laman Twitter miliknya pada Jumaat.

HASRAT Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menerbangkan kumpulan K-pop, BTS bagi mengadakan konsert di negara ini menerima pelbagai reaksi di laman media sosial.

Selain golongan peminat yang menyambut berita itu dengan hati gembira, wujud segelintir pihak nampaknya kurang senang dengan perkhabaran berkenaan.

Susulan itu, Syed Saddiq tampil membuat penjelasan mengenai isu itu menerusi laman Twitter milikinya pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbadanan Stadium Malaysia alami defisit RM12.9 juta
ARTIKEL BERKAITAN: 
Syed Saddiq naik pengangkutan awam ke stadium tarik perhatian ramai

“Kenapa nak sibuk bawa BTS, Ed Sheeran, Coldplay, artis luar datang ke Malaysia? Ini jawapan saya," tulis Syed Saddiq.

Menurut figura politik kelahiran Muar, Johor itu, dia mahu mengubah trend agar Malaysia menjadi pilihan utama penganjur antarabangsa untuk mengadakan persidangan, konsert dan pelbagai acara lain.

Tambahnya lagi, usaha itu juga mampu memberi keuntungan kepada negara khususnya dalam bidang pelancongan.

Paparan skrin posting Syed Saddiq yang dimuat naik menerusi laman Twitter.

"Tak serik ke kita asyik tewas kepada Singapura, Thailand dan sekarang ini, juga di tangan Indonesia dan Vietnam.

"Lihat sahaja Singapura. Apabila Coldplay dan BTS memilih Singapura sebagai destinasi, stadium nasional mereka penuh dan tiket habis terjual dalam tempoh empat jam.

"Berpuluh ribu pelancong luar datang ke Singapura dan ia dapat multiplier effect (kesan berganda) dalam pelancongan. Singapura jadi tumpuan dunia, bukan Malaysia," tulisnya.

Mengulas lanjut mengenai topik berkenaan, Syed Saddiq turut mengimbas bagaimana Perbadanan Stadium Malaysia mengalami kerugian sebelum ini.

Dengan fasiliti sebagai antara yang terbaik di Asia, Syed Saddiq berkata, negara kita berada di landasan yang tepat setelah beliau melantik anggota lembaga pengarah baharu.

Kita mesti berfikir di luar kotak. Saya tidak mahu Malaysia untuk jadi destinasi kedua atau ketiga. Saya nak Malaysia jadi nombor satu

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

Menteri Belia dan Sukan

"Kenapa saya bicarakan soal ini? Perbadanan Stadium Nasional kini dikendalikan oleh profesional, bukan sahaja lantikan politik. Dahulu kita rugi dalam RM20 juta setahun.

"Selepas rundingan kontrak-kontrak berat sebelah dan setelah melantik lembaga pengarah yang baharu, kita kembali di landasan betul untuk menjana keuntungan," katanya lagi.

Syed Saddiq turut mengambil contoh Stadium Wembley di England yang mana ia bukan sahaja diguna pakai untuk tujuan bola sepak, malah sering menjadi lokasi penganjuan konsert dan persidangan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, pengajuran konsert Ed Sheeran dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini turut memberi manfaat kepada stadium dan peniaga-peniaga kecil lain.

"Stadium dan peralatan disewa dan peniaga-peniaga kecil juga dapat nikmatinya.

BTS merupakan kumpulan K-pop yang menjadi kegilaan ramai di seluruh dunia.

"Di Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, mereka jemput artis luar datang, adakah ia bermaksud mereka tidak menghargai artis tempatan mereka?

"Kita mesti berfikir di luar kotak. Saya tidak mahu Malaysia jadi destinasi kedua atau ketiga. Saya nak Malaysia jadi nombor satu," jelas Syed Saddiq lagi.

Posting itu pantas menarik perhatian ramai sehingga menerima lebih 4,600 ulang kicau (Retweet) dalam tempoh kurang sejam selepas ia dimuat naik.

Rata-rata netizen turut meninggalkan komen mereka di posting berkenaan.

"Bayangkan keuntungan Rapid KL kalau BTS buat konsert di Bukit Jalil. Mesti orang ramai naik LRT. Pas pelancong pun laku keras," tulis @lilisumie.

"Tak kisah lah nak bawa artis luar ke apa, as long tak bawa pengaruh buruk. Tapi kami pemuda ni perlukan peluang pekerjaan dan salary rate yang lebih baik," tulis seorang lagi pelayar Twitter.

"Mentaliti rakyat Malaysia ni, asal K-pop je semua buruk. Macam lah artis local ni bagi influence bagus sangat," tulis seorang lagi netizen.

Artikel Lain