Kecoh aksi tarian 'sotong' Gades Pontian, penganjur selamba jawab "mereka semua bukan budak kecil" - Viral | mStar

Kecoh aksi tarian 'sotong' Gades Pontian, penganjur selamba jawab "mereka semua bukan budak kecil"

Dua Gades Pontian yang melakukan aksi tarian bebas.

GAYA tarian 'sotong' dua kru Gades Pontian secara spontan mendatangkan kemarahan netizen kerana dianggap tidak sopan dan memalukan.

Video berdurasi sembilan saat itu tular apabila dua peserta kumpulan Gades Pontian itu mendapat perhatian ramai gara-gara terlampau gembira ketika program Serlahkan Kehebatan yang berlangsung di Muar, Johor pada minggu lalu.

Bagaimanapun penganjur program ini mengambil langkah cool dan menganggap setiap orang ada cara tersendiri untuk menzahirkan kegembiraan.

ARTIKEL BERKAITANPersembahan itu hanya hiburan” – Ahya dikecam saji tarian separuh bogel di majlis resepsi

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur Kem Motivasi 'Bogel' Akui Mereka Keterlaluan - Polis

Penganjur, Amyrul Fahmy Sepam ketika dihubungi mStar memberitahu, sebagai penganjur pihaknya telah menetapkan peraturan kepada semua peserta.

"Apabila timbul aksi seperti ini kami tidak boleh menghalang kerana mereka semuanya bukannya budak kecil.

"Lagipun setiap orang akan ada cara tersendiri untuk menzahirkan kegembiraan mereka.

"Pandangan orang pun berbeza-beza. Cuma sebagai penganjur kami sudah menjalankan perkara yang sepatutnya," ujar Amyrul.

Menurut Amyrul, program ini kali ke-10 dianjurkan sejak mula diperkenalkan pada 2013.


Pasukan Gades Pontian tampil memohon maaf selepas video tarian dua ahli mereka tular. Foto Instagram Gades Pontian

"Ia merupakan satu program untuk mengumpulkan peminat-peminat motosikal di seluruh Johor dan ada juga dari Singapura.

"Sambutan di Muar ini agak luar biasa dengan adanya ramai pasukan wanita termasuk Gades Pontian yang mungkin menjadi tumpuan kerana menggunakan nama daerah.

"Sebenarnya sebelum ini juga banyak juga aksi-aksi yang menyebabkan tular, tetapi kali ini agak mencuri tumpuan netizen," katanya.

Susulan insiden itu, pada Rabu, pasukan Gades Pontian tampil memohon maaf di atas kelakuan anggota mereka.

"Atas apa yang telah disebarkan baru baru ini , beribu hinaan dan herdikan yang kami terima membuatkan kami semakin rasa perlu untuk bersuara memohon kemaafan kepada seluruh netizen.

"Atas kuasa viral , kami tidak mampu untuk melawan segala yang keluar daripada segenap netizen yang berbunyi.

"Siapalah kami untuk terlepas daripada segala kesilapan. Kami akui tindakan luar kawalan dan kurang sopan dari dua kru kami membuatkan netizen berasa marah dan bengang.

"Kami memohon kemaafan kepada semua atas keterlaluan yang terjadi baru-baru ini berpunca daripada kru kami. 

"Maaf juga dipinta kepada daerah yang turut terkesan dengan tempias tersebut," tulis Gades Pontian di laman Instagram mereka.

Artikel Lain