“Dia buat saya rasa macam masih ada emak” - Kakak enggan lepas adik, berlaku 'drama' di majlis kahwin - Viral | mStar

“Dia buat saya rasa macam masih ada emak” - Kakak enggan lepas adik, berlaku 'drama' di majlis kahwin

Mohd Awaluddin ketika saling berpelukan dengan kakak sulungnya, Amy Fatimah sewaktu majlis perkahwinannnya Sabtu lalu.

SELAIN ibu bapa, adik beradik merupakan insan yang paling rapat dalam hidup kita.

Begitu juga dengan jejaka ini yang mana kakak sulungnya menjadi tempat dia menumpang kasih selepas kematian ibu akibat kanser payudara pada tahun 2003.

Maka tidak hairanlah jika dua beradik itu cukup sebak dalam satu majlis perkahwinan yang berlangsung baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengakuan pengantin 'hujan air mata': “Saya tak boleh tahan lagi...”
ARTIKEL BERKAITAN: “Selepas nikah saya ada 'curi' tengok abah...” - Anak sebak, bapa 'pelik' beberapa jam sebelum dirinya jadi isteri orang

Rakaman video melibatkan pengantin tersebut, Mohd Amaluddin, 24, yang sebak memeluk kakaknya, Amy Fatimah, 36, menjadi tular di laman Twitter.

Malah, ramai netizen yang turut terbuai dengan emosi tatkala menyaksikan video itu sehingga ia kini menerima lebih 200,000 tontonan.

Mesra disapa Amaluddin, dia mengakui sebak apabila mengenangkan pengorbanan kakaknya setelah dia kehilangan ibu tercinta suatu ketika dahulu.

Mohd Amaluddin bersama pasangannya, Nor Azilah.

"Kakak banyak berkorban, dia besarkan kami enam beradik. Saya ni dah cukup nakal, degil, apatah lagi yang lain.

"Memang susah tapi dia banyak bantu ayah. Saya tak ada mak sejak kecil tapi dia buat saya rasa macam saya masih ada emak.

"Dia jaga saya, saya rasa macam kakak mak sendiri, dialah pengganti emak," ujar Amaluddin sewaktu dihubungi mStar.

Masa tu tengah salam, mungkin dia rasa sedih nak lepaskan adik dia pada orang lain. Bila tengok kakak nangis, saya pun automatik nangis.

MOHD AMALUDDIN

Mengulas penularan video itu, Amaluddin berkata, semuanya berlaku secara spontan sejurus selesai majis perkahwinannya dengan pasangan Nor Azilah, 31, di Felda Lakum, Pahang, Sabtu lalu.

Jelas Amaluddin, rakaman itu diambil sewaktu ahli keluarga termasuk kakak sulungnya mahu berangkat pulang ke Johor.

"Masa tu tengah salam, mungkin dia rasa sedih nak lepaskan adik dia pada orang lain. Bila tengok kakak nangis, saya pun automatik nangis.

Foto ahli keluarga pengantin dalam majlis yang berlangsung pada Sabtu lalu.

"Kami memang rapat, ada masalah pun saya kongsi dengan dia. Semuanya spontan, mungkin sebab saya anak lelaki pertama dalam keluarga yang dah kahwin," kata Amaluddin lagi.

Amaluddin yang bertugas sebagai krew penggambaran berkata, kakaknya yang sudah berkahwin dan memiliki lima cahaya mata merupakan pengusaha dan peniaga kuih muih tradisional di Pasir Gudang.

Malah, dia juga menzahirkan rasa syukur dan terima kasih terhadap wanita itu yang sudah banyak menabur jasa sepanjang dia dibesarkan.

Mohd Amaluddin , pengantin , sebak

Artikel Lain