“Baliklah tengok, takut tak sempat” - Ibu OKU cari anaknya Firdaus, khabar terakhir 'sibuk dengan peperiksaan' - Viral | mStar

“Baliklah tengok, takut tak sempat” - Ibu OKU cari anaknya Firdaus, khabar terakhir 'sibuk dengan peperiksaan'

Mak Tam yang juga OKU pekak dan bisu terpisah dengan anak lelaki tunggalnya sejak lebih 14 tahun lalu.

JIKA Mak Tam boleh bersuara, pasti ayat "pulanglah Firdaus" menjadi perkataan yang sering terpacul dari mulutnya.

Namun apakan daya, Sakinah Wan Talib yang berusia 61 tahun itu merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang pekak dan bisu.

Kisah duka Mak Tam yang terpisah dengan anak lelakinya, Firdaus Salleh sejak 14 tahun lalu ditularkan di Twitter oleh anak saudaranya, Wan Nur Nabihah Wan Musa.

ARTIKEL BERKAITAN: "Buat anakku Halim, kalau terasa yang ‘viral’ ni adalah kamu, pulanglah jumpa keluarga"
ARTIKEL BERKAITAN: 
"Pulanglah walau hanya untuk ziarah pusara mama" - Tak dapat jumpa masa ibu nazak, kakak tetap rayu adik kembali

Mesra disapa Wana, gadis berusia 19 tahun itu mengakui sebak apabila terkenangkan nasib Mak Tam yang sakit dan terpisah dari zuriatnya sendiri.

Posting mengenai Mak Tam yang ditularkan di Twitter oleh anak saudaranya, Wan Nur Nabihah Wan Musa.

"Sebenarnya ibu bapa saya yang bagi idea, mereka minta guna kuasa viral untuk cari Firdaus.

"Dulu selepas Mak Tam bercerai, dia masih jumpa anak dia. Lepas Firdaus masuk sekolah menengah, mereka putus hubungan sampai hari ini.

"Rasanya Firdaus pun dah umur 32 tahun sekarang. Boleh nampak yang Mak Tam rindu anak dia," ujar Wana sewaktu dihubungi mStar pada Rabu.

Menurut Wana lagi, Mak Tam sebelum ini tinggal di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Pulau Pinang.

Saya pun tak pasti kenapa mereka bercerai dulu,  sebelum ni pernah Mak Su saya hubungi ibu tiri Firdaus, tapi dia cakap Firdaus sibuk menghadapi peperiksaan. Lepas tu lost contact sampai sekarang.

WAN NUR NABIHAH WAN MUSA

Namun, dia kini berada di bawah jagaan keluarga Wana di Kepala Batas, sejak sebulan yang lalu.

"Mak Tam sakit sejak sebulan lepas. Tapi sekarang Alhamdulillah makin baik.

"Dia masih boleh makan sendiri, tapi kami kena angkat dia untuk mandi, pakaikan baju untuk dia dan letak atas kerusi roda," kata Wana.

Tambah Wana, dia juga sebak apabila pernah menyaksikan ibu saudaranya itu menangis beberapa kali sebelum ini.

Namun kata Wana, keluarganya sudah buntu mencari Firdaus memandangkan mereka kekurangan maklumat mengenai keberadaan pemuda itu.

"Mungkin Firdaus pun dah berkahwin sekarang. Kami pun kurang maklumat, tak tahu macam mana nak cari.

"Kadang-kadang tengok Mak Tam, rasa sedih. Saya terfikir macam mana kalau berada di tempat dia, macam mana perasaan Mak Tam?

"Saya pun tak pasti kenapa mereka bercerai dulu, sebelum ni pernah Mak Su saya hubungi ibu tiri Firdaus, tapi dia cakap Firdaus sibuk menghadapi peperiksaan. Lepas tu lost contact sampai sekarang," kata Wana.

Mak Tam mula berada di bawah jagaan keluarga Wana sejak sebulan yang lalu.

Di kesempatan yang sama, Wana turut mengharapkan agar Firdaus sempat pulang menjenguk Mak Tam sebelum wanita itu pergi buat selamanya.

"Sekalipun tak suka Mak Tam, baliklah tengok dia, takut tak sempat.

"Kita ni sebagai anak, dia ibu yang lahirkan kita. Kalau ada apa-apa, boleh hubungi saya.

"Kalau boleh, saya nak tengok Mak Tam sihat, boleh jumpa anak dia, boleh main dengan cucu kalau Firdaus dah ada anak-anak," ujar Wana lagi.

Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat, Wana berbesar hati jika ada yang mahu tampil membantu. Dia boleh dihubungi di talian 018-4743049.

Artikel Lain